KUCHING - Dianggarkan lebih 15,000 pesakit di Malaysia
sedang menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ, dan majoritinya adalah
pesakit buah pinggang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul
Rahman.
Beliau berkata memandangkan angka itu dijangka meningkat
dalam tempoh beberapa tahun akan datang, cabaran utama kementerian ialah
merapatkan jurang antara permintaan dan bekalan organ serta sel tisu manusia di
negara ini.
"Amat malang untuk mengetahui jumlah pesakit yang
menjalani rawatan dialisis meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh sepuluh
tahun lepas, seperti yang dilaporkan Daftar Dialisis dan Transplan Malaysia,
iaitu daripada 7,800 pesakit dialisis pada 2001 kepada 23,000 pada 2010,"
katanya pada pembukaan Mesyuarat Saintifik ke-15 Persatuan Transplan Malaysia
2012 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Jabatan Kesihatan
Sarawak Dr Zulkifli Jantan.
Meskipun kadar derma organ di Malaysia dianggap rendah,
iaitu kira-kira 0.6 untuk sejuta penduduk, Dr Hasan berkata perlu diakui ia
menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini
dengan 29,500 penderma yang meninggal dunia dicatat tahun lepas, jumlah tertinggi sejak 1975 (47 penderma).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kementerian
tidak menggalakkan rakyat ke luar negara untuk melakukan pemindahan komersial,
menerusi kajian dan pelaksanaan polisi termasuk yang berkaitan dengan
pembekalan imunosupresan.
Baru-baru ini, katanya, kementerian mengeluarkan garis
panduan berhubung pendermaan organ daripada penderma hidup yang tidak ada
kaitan kekeluargaan, perlu mendapat penilaian dan kelulusan satu jawatankuasa
bebas iaitu Jawatankuasa Kelulusan Transplan Tiada Kaitan Kekeluargaan (UTAC). - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan