Oleh Ustaz Zaman
bhagama@bharian.com.my
KITA sebagai manusia biasa memerlukan sokongan dan bantuan
orang lain dalam mencapai kecemerlangan.
Sokongan dimaksudkan termasuk daripada
ibu bapa, ahli keluarga, sahabat handai dan khususnya warga pendidik atau guru
yang diraikan pada 16 Mei lalu.
Sudah pastinya sumbangan dan pengorbanan mereka tidak dapat
dibandingkan dengan sebarang anugerah di dunia. Golongan pendidik semestinya
diberi penghormatan dan pengiktirafan kerana mereka adalah golongan yang
berpotensi untuk melonjakkan transformasi ke arah perkembangan minda lebih
dinamik.
Inilah sebenarnya peranan yang perlu dimainkan mereka kerana
proses pengajaran dan pembelajaran akan berubah dari masa ke semasa. Jadi
merekalah yang yang perlu mengaplikasikan segala sumber ilmu melalui kaedah
berinovasi sesuai gelaran ulul albab iaitu mereka yang bijak pandai seperti
dicatatkan al-Quran.
Lafaz diulang lebih daripada 15 kali dalam al-Quran
menunjukkan kehebatan mereka di sisi Allah SWT.
Firman-Nya bermaksud: “Dia (Allah) memberikan kefahaman
kepada siapa yang dikehendaki. Sesiapa yang mendapat anugerah ini, sesungguhnya
dia telah mendapat banyak kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 269)
Imam Qurtubi berpendapat, ayat ini adalah perintah
menggunakan anugerah akal fikiran bagi mengkaji isi alam. Pengkajian dan
pembelajaran mestilah diterapkan di kalangan guru bagi menggarap elemen inovasi
dalam proses lonjakan transformasi pendidikan.
Untuk melahirkan modal insan beriman dan bertakwa sukar dan
memerlukan pengorbanan, ilmu dan kemahiran tinggi. Komitmen serta kesungguhan
dalam misi menghapuskan kejahilan adalah asas kejayaan yang harus disemat dalam
jiwa setiap warga pendidik.
Mereka juga berperanan sebagai ejen perubahan dalam
masyarakat yang dahagakan peradaban dan integriti. Pembangunan minda melalui
fardu ain dan fardu kifayah tidak harus diketepikan kerana ia termasuk dalam
falsafah pendidikan sejajar kehendak agama.
Sabda Baginda SAW dalam hadis diriwayatkan Abu Hurairah
bermaksud: “Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya
kecuali tiga perkara iaitu sedekah dikeluarkan, ilmu yang dicurahkan dan anak
soleh yang sentiasa mendoakan untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)
Jelas menunjukkan profesion ini akan menjadi putaran di mana
ilmu dipelajari akan diajar semula kepada orang lain bagi memastikan
kesinambungan pahala ganjaran terus berlarutan walaupun empunya diri sudah
meninggalkan dunia yang sementara ini.
Peringatan Baginda SAW mengenai peristiwa akhir zaman dalam
sabda Baginda bermaksud: “Akan datang suatu waktu di mana umatku menjauhi orang
berilmu dan ahli feqah. Maka mereka akan ditimpakan dengan tiga musibah.
Antaranya ialah dihilangkan keberkatan terhadap hasil pendapatannya,
dianugerahkan kepada mereka pemimpin yang tidak adil dan mereka akan
meninggalkan dunia dalam keadaan tidak beriman.” (Mukasyaf Asrar)
Namun, cabaran yang dihadapi guru dewasa ini adalah pelajar
itu sendiri di mana mereka sering terjebak dalam era globalisasi yang
menyebabkan pengaruh sosial tidak terkawal, pengaruh jenayah yang berleluasa,
tidak menghormati guru dan masalah akhlak.
Ditambah pula ibu bapa tidak memberi kepercayaan penuh
kepada warga pendidik untuk memajukan anak mereka sehingga ada yang sanggup
menjadikan guru sebagai musuh.
Sebenarnya, bukan tanggungjawab guru saja, ibu bapa dan
masyarakat diperlukan dalam usaha menyokong guru membentuk dan mendidik
generasi muda hari ini. Mereka mestilah memainkan peranan secara kolektif
dengan menggunakan ruang yang ada untuk menjana idea dan bersama menyelesaikan
masalah generasi kini.
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press
(NSTP)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan