ISLAM mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik
kepada ibu bapa. Jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim
hingga kita dilahirkan begitu besar. Mereka bertanggungjawab mencari nafkah dan
mendidik kita hingga dewasa.
Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri
demi mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak. Kepayahan dan
pengorbanan ibu bapa mendidik dan membesar anak sekurang-kurangnya dalam tiga
keadaan, ketika mengandung, saat melahirkan dan dari kecil sehingga dewasa.
Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita,
mungkin ada antara kita ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin
ada yang masih lagi bersama. Cuba kita hayati wajah yang telah kedut ditelan
usia, namun tetap tersimpul senyuman menggambarkan kasih sayang.
Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa
kepada anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang
malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak.
Apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat,
kesenangan dan keluarga kita adalah hasil daripada pengorbanan mereka. Tanpa
mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan
mereka kita tidak akan memiliki semua ini.
Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati,
mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan
tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.
Tidak dapat dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi
segala-galanya. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap
anaknya walaupun sesaat, kadang kala ibu tidak dapat menyuap makanan,
melelapkan mata dan ada kala tergenang air mata kerana teringatkan anaknya.
Rebutlah kesempatan yang ada ketika hidup sebelum mereka
pergi buat selama-lamanya. Hari ini, ada dalam kalangan anak yang sibuk dengan
jawatan, mengejar kuasa dan pangkat tiada masa menziarahi ibu bapa walaupun
kepulangannya sentiasa dinantikan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi ibu bapa
satu tuntutan kepada seorang anak.
Anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita
ada masalah, kita luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan
ibu, jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT
memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya.
Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya
kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa
serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan perlu direnung
kita semua sebagai anak, sudahkah menunaikan kewajipan terhadap ibu.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud,
beliau pernah bertanya Rasulullah SAW amalan paling utama. Baginda bersabda:
Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda:
Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi?
Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.”
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga jenis manusia
yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua ibu bapanya,
seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas
isteri itu dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang
berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara
sesamanya dengan hasutannya.” (Hadis riwayat Ad Dailami)
Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As
bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar
ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah!
Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW:
Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu
memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu
seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”
Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang
melupai ibunya dan durhaka selepas mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si
anak itu diberi balasan oleh Allah SWT di dunia ini.
Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih
hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur.
Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke
langit dan segala amalan itu dipertontonkan kepada roh ibu bapa kita.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan