KUALA LUMPUR 17
Mei - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat Malaysia
menjadikan sejarah kehancuran bangsa dan negara yang banyak dipaparkan dalam
karya-karya sastera klasik Melayu serta tamadun lain sebagai teladan.
Menurutnya, kisah
seumpamanya harus dijadikan peringatan agar Malaysia tidak terjerumus dalam
kancah perebutan kuasa yang tidak demokratik terutama melalui pelbagai muslihat
kotor dan tidak beretika.
Beliau turut
menyeru rakyat negara ini agar menolak segala bentuk anasir dan tindak tanduk
melampau yang sengaja dicetuskan oleh sesetengah pihak yang cemburu terhadap
keharmonian rakyat pelbagai keturunan di negara ini.
''Peristiwa ini
banyak dipaparkan dalam buku seperti Hikayat Tiga Negara dan sejumlah karya
klasik Melayu dan kita lihat banyak pihak yang akan mengambil kesempatan
menangguk di air keruh apabila timbul huru-hara. Justeru sewajarnya kita
jadikan ia sebagai teladan ,'' katanya.
Beliau berkata
demikian dalam ucapan pelancaran buku karya Agung, Hikayat Tiga Negara yang
turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon;
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Awang Sariyan dan Presiden
Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif), Goh Hin
San di DBP, di sini hari ini.
Muhyiddin turut
mengingatkan rakyat negara ini agar tidak memandang ringan keutuhan perpaduan
agar ia tidak mudah dimusnahkan oleh gerakan atau tindakan yang tidak bertanggungjawab.
''Banyak pihak
yang mencemburui kejayaan Malaysia sehingga ada yang beria-ia hendak
menidakkannya dengan pelbagai gelagat yang berniat jahat dan tohmahan yang
tidak berasas,'' katanya.
Justeru beliau
berkata, rakyat harus memastikan ia tidak dirosakkan oleh golongan yang tidak
bertanggungjawab.
''Tolak apa juga
bentuk ketaksuban dan ekstremisme demi memastikan bangsa dan negara kita tetap
aman, stabil dan maju,'' katanya.
Sementara itu
beliau berkata, nilai kesetiaan kepada Raja dan Negara yang diolah dalam
karya-karya klasik Melayu dan China seperti Hikayat Tiga Negara merupakan nilai
luhur yang seharusnya dipertahankan.
''Ia adalah nilai
dan amalan abadi untuk kestabilan masyarakat dan negara, dan sebarang usaha
untuk menidakkan kesetiaan kepada raja dan negara hendaklah dihindari oleh
semua pihak yang cinta kepada kestabilan negara,'' tegas beliau.
Dalam pada itu,
Muhyiddin mencadangkan agar para cendekiawan dan budayawan bekerjasama dengan
DBP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperbanyakkan wacana
intelektual berkaitan falsafah dan pemikiran bangsa-bangsa dunia yang terdapat
dalam karya agung masing-masing.
Beliau yakin
melalui wacana, hasil kajian dan gagasan yang menjurus pembinaan kegemilangan
negara bangsa dapat dijana sebaik mungkin.
Sementara itu,
buku Hikayat Tiga Negara ialah terjemahan novel San Guo Yan Yi, sebuah karya
agung dalam kesusasteraan klasik China yang telah diterjemahkan ke dalam
pelbagai bahasa pelbagai seperti Perancis, Jepun , Itali, Rusia dan Thailand.
Buku itu berkisar
fakta dan latar belakang sejarah pemberontakan, kejatuhan dan kebangkitan tiga
negara iaitu Wei, Shu dan Wu yang sentiasa berperang bermula tahun 220 Masihi
dan berakhir pada 280 Masihi.
Sumber : http : /www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan