Tugas sampingan hilang fokus guru
Oleh Ruhaiza Rusmin, Mohd Rifaat Abd Hamid dan
Ihsan Noorzali
rencana@hmetro.com.my
SAMBUTAN Hari Guru 16 Mei setiap tahun menjadi simbolik
pengiktirafan istimewa kepada warga pendidik yang tidak jemu melahirkan insan
berjaya dan terbilang.
Sama ada pengetua, pensyarah atau guru semuanya berjasa
biarpun zaman sudah menjengah alaf baru dengan pelbagai tanggung jawab yang
kian sukar serta mencabar.
Malangnya, di tengah kelelahan golongan terbabit mendidik
anak bangsa, masih ramai yang mempertikaikan kredibiliti dan integriti guru
hingga mencemarkan imej mereka.
Pelbagai permintaan dan desakan diutarakan dengan alasan,
guru perlu bersedia dan mengubah anjakan paradigma sejajar perubahan dunia
pendidikan global zaman millennium.
Justeru, persediaan apakah yang perlu ada bagi golongan
terbabit mengharungi dunia pendidikan era baru?
Pensyarah Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan
Dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Mohmad Noor
Mohmad Taib, berkata, guru zaman millennium perlu mempersiapkan diri dengan
kekuatan mental serta fizikal bagi mengemudi masa depan dunia pendidikan.
Beliau berkata, itulah cabaran utama yang perlu
diperkukuhkan terlebih dulu sebagai persediaan berdepan pelbagai kerenah tidak
terjangka dunia pendidikan global.
“Sebagai guru alaf baru, kerenah bukan saja merangkumi aspek
pematuhan tugas dan dasar malah mengawal selia pelajar selain memastikan
standard ditetapkan tercapai.
“Aspek itu bukan mudah kerana penanda arasnya sentiasa
berubah selain menguji sejauh mana ketahanan guru.
“Ia bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, lebih penting
kekuatan emosi bagi mengelak tekanan. Guru zaman ini harus menyediakan perisai
untuk menghadapi segala kemungkinan itu lebih awal,” katanya.
Tahun ini, tema ‘Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi
Pendidikan Negara’ menggambarkan betapa besarnya tanggungjawab dan peranan guru
menjana transformasi pendidikan selari tuntutan semasa.
Bagaimanapun, imej guru yang tinggi di mata masyarakat kini
juga terpalit dengan isu luar jangkaan.
Apatah lagi dengan kuasa kian terbatas menyebabkan ada
menganggap guru hari ini sekadar menjalankan tugasan semata-mata tanpa sokongan
komitmen tinggi.
Beliau berkata, biar apapun tohmahan dilemparkan, guru perlu
meletakkan rasa tanggungjawab di tangga tertinggi selain memperlengkapkan diri
dengan ilmu serta kemahiran.
“Ini membolehkan mereka berfungsi sebagai pencetus,
pembentuk, pengajar dan pendidik kepada anak bangsa. Bukankah mereka antara
idola yang baik dan sering menjadi rujukan?
“Guru perlu sentiasa bersikap profesional, berusaha dan
sabar menangani keadaan.
“Kebijaksanaan dalam berfikir dan menentukan tindakan perlu
kerana masyarakat masa kini sangat peka,” katanya.
Guru, katanya ada pelbagai kategori. Pertama, memang mahu
menjadi guru dan mampu memberikan komitmen diri yang baik terhadap tugasan.
Mereka puas jika melihat pelajar berjaya dan tidak mengharapkan balasan.
“Kedua, bercita-cita menjadi guru pada peringkat awal namun
tidak bertahan kerana gagal mengikut rentak dan ketiga menjadikan profesion ini
sebagai pilihan terakhir,” katanya.
Pendapatan guru di negara ini juga, akuinya, tidak setimpal
dan kurang mendapat pengiktirafan seperti kerjaya lain berbanding guru di
negara maju.
“Ini juga salah satu sebab mengapa ada yang kurang bermotivasi
menjadi guru dan melaksanakannya kerana terpaksa. Berbeza di luar negara,
mereka bertindak profesional kerana kerjaya itu memang profesional.
“Bagaimanapun jangan jadikan ia alasan bertugas sambil lewa.
Guru pemegang amanah, justeru laksanakan dengan jujur dan ikhlas,” katanya.
Guru juga, akuinya, tidak boleh membandingkan kegemilangan
zaman pendidikan dulu dan masa kini.
Menurutnya, setiap ruang masa mempunyai ciri latar dan
pengisian peristiwa serta cabaran berbeza.
“ Justeru tidak adil mengatakan zaman pendidikan dulu lebih
baik berbanding sekarang. Setiap tempoh ada perbezaannya dan ia dilaksanakan
mengikut kesesuaian.
“Cabaran dunia pendidikan sentiasa wujud. Yang berbeza ialah
bentuk cabaran yang perlu dihadapi.
“Setiap cabaran itu pula memerlukan formula dan pendekatan
berbeza. Di sinilah guru memerlukan paradigma pemikiran yang sentiasa berkembang
sekali gus membantu pelajar berjaya,” katanya.
Mantan pengetua SMK Alor Janggus (SMKAJ), Kedah, Datuk Harun
Mohd Hashim, bersetuju peranan guru hari ini semakin mencabar dan memerlukan
kudrat tinggi untuk melaksanakan setiap tugas.
Menurutnya, guru pada zaman ini terlalu terikat dengan
peraturan sebaliknya dulu diberi kuasa penuh melaksanakan peranan tanpa campur
tangan masyarakat juga ibu bapa.
“Masyarakat dan ibu bapa dulu sangat padu membantu guru
melaksanakan tanggungjawab. Mereka prihatin sekali gus memudahkan proses
pendidikan dijalankan.
“Kekurangan kemudahan bukan alasan guru mendidik pelajar
menjadi insan yang baik dan berdisiplin. Mereka berjaya hasil didikan guru manakala
hubungan juga mesra.
“Kini sudah berbeza dan menyedihkan. Guru, pelajar dan
masyarakat saling bercakaran hingga menyukarkan usaha melahirkan produk
cemerlang, produktif kemahiran serta jadi diri,” katanya.
Manakala mantan pengetua SK Datuk Wan Muhammad Saman
(SKDWMS) Alor Star, Kedah, Abdul Aziz Zainol, berkata tanggungjawab guru zaman
millennium sangat mencabar kerana turut terpaksa memikul beban sampingan.
“Dulu guru hanya mengajar dan memantau masalah pelajar, tapi
hari ini terpaksa berdepan ‘permintaan lain seperti kerja perkeranian, kursus
dan sebagainya.
“Justeru tumpuan terhadap tanggungjawab hakiki akan terjejas
sekali gus memberi ruang pelajar bertindak sesuka hati. Ini lari dari konsep
pendidikan dan tanggungjawab guru.
“Sekali gus semakin menyukarkan usaha menjadi guru yang baik
dan berkaliber,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan