Oleh
NURUL ANUAR KARI
PROGRAM Galakan
Membaca merupakan satu usaha kerjasama pelbagai pihak yang diselia Perpustakaan
Negara Malaysia (PNM) bersama jabatan dan agensi kerajaan.
Turut memberi
kerjasama, syarikat-syarikat swasta, persatuan penulis, penerbit, institusi
pengajian tinggi (IPT), sekolah serta orang perseorangan dalam melaksanakan
bermacam program secara berterusan.
Secara
keseluruhan, tidak kurang daripada 8,000 program dijalankan setiap tahun di
seluruh negara sejak 2009 dengan penglibatan 1.7 juta peserta pada 2009, lebih
600,000 peserta pada 2010 dan lebih 2 juta peserta pada 2011.
Kajian Profil
Membaca Rakyat Malaysia juga menunjukkan program galakan membaca yang bermula
pada 2006 meningkatkan trend pembacaan rakyat dari dua buku setahun pada 2005
kepada lapan hingga 12 buku setahun pada 2010.
Bagi memenuhi
kehendak membaca 'Generasi Y' pula, pembacaan menggunakan medium selain buku
seperti portal dan pangkalan data elektronik turut dibangunkan dengan 21.61
juta akses perkhidmatan atas talian pada 2010 berbanding 5.74 juta pada 2008.
Ini akan terus
ditingkatkan PNM selaras dengan kemunculan pelbagai gajet elektronik yang
canggih di pasaran seperti komputer tablet dan telefon pintar yang mempunyai
aplikasi untuk mengakses bahan bacaan seperti e-book.
Untuk terus
menggalakkan amalan membaca, PNM juga akan meneruskan program Ikon Membaca
sebagai kaedah menarik minat umum terhadap kempen tersebut melalui aura tokoh
dan idola ternama negara.
"Seorang
angkasawan negara, seorang lagi pelakon terkenal yang kedua-duanya berjaya
kerana mereka membudayakan membaca dalam mengejar cita-cita dan memenuhi tanggungjawab
kerjaya masing-masing.
"Melihat
kesan nyata hasil penyertaan dua tokoh itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mencadangkan negarawan kita, Tun Dr.
Mahathir Mohamad diangkat sebagai Ikon Membaca Kebangsaan," katanya.
Tambahnya,
selepas berjumpa dan menjelaskan tentang program itu, Dr. Mahathir akhirnya
bersetuju demi menarik minat membaca di kalangan rakyat.
Walaupun cadangan
tersebut dikemukakan pada 2010, beliau memaklumkan tarikh 14 Mei 2012 (hari
ini) dipilih untuk perasmian Ikon Membaca Kebangsaan kerana menunggu masa
sesuai untuk semua pihak yang terlibat.
"Dr.
Mahathir mempunyai serba serbi bakat hasil pembacaan perkara kecil hingga yang
besar, ringan dan berat, membolehkan beliau membuka kedai roti dan pertukangan.
Beliau membuat apa yang dibacanya. Jika tidak, sukar untuk beliau menguruskan
krisis ekonomi negara dahulu," katanya.
Katanya lagi, Dr.
Mahathir pasti akan mengunjungi kedai buku ketika melawat negara lain dan mampu
menghabiskan bacaannya dalam penerbangan pulang sebelum buku itu disimpan di
perpustakaan di rumahnya.
Beliau berharap
latar belakang serta sejarah Dr. Mahathir yang membudayakan membaca buku,
kadang kala sehingga tiga buku sehari, dijadikan teladan untuk semua
termasuklah kebolehannya membaca dengan pantas .
"Walaupun
sudah ada peningkatan amalan membaca, kehadiran Dr. Mahathir sebagai ikon akan
menarik lebih ramai lagi penyertaan, seterusnya menambah kesedaran tentang
pentingnya membaca di kalangan rakyat negara ini.
Raslin
menjelaskan, penting untuk meluaskan lagi amalan membaca, bukan sekadar amalan
hidup malahan demi menjayakan konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Menurut beliau,
selaku negarawan dan bekas pemimpin yang dihormati, kedudukan Dr. Mahathir
sebagai idola juga penting agar boleh dijadikan contoh individu yang berjaya
melalui membaca, oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka.
"Kita mahu
menerapkan konsep pembelajaran sepanjang hayat dalam jiwa setiap rakyat dan
tingkatkan pemikiran, minda serta nilai-nilai murni melalui bahan-bahan bacaan
berkualiti.
"Tetapi,
jika bahan bacaan di luar tidak berkualiti, pemikiran umum juga akan menyusul
sama. Tiada guna meningkatkan amalan membaca jika tidak dapat meningkatkan
pemikiran rakyat," katanya.
Oleh itu, beliau
berharap pihak penerbit juga memberi kerjasama dalam kempen tersebut melalui
pengeluaran bahan ilmiah ataupun separa ilmiah dan bukan sekadar mencari
keuntungan melalui bahan bacaan ringan semata-mata.
Tambahnya,
gerakan pembelajaran sepanjang hayat juga tidak mahu seseorang itu kekal di
takuk lama sebaliknya perlu ada peningkatan walau dalam bidang apa sekalipun.
"Jika
seorang petani, kita tidak mahu kekal petani biasa sahaja. Cuba baca bagaimana
untuk menjadi petani moden seperti petani di Jepun. Amat sukar mencapai taraf
tinggi jika malas membaca.
"Kita tidak
boleh bergantung kepada pengalaman semata-mata. Kerana itu kita memilih Dr.
Mahathir sebagai ikon kerana mahu pemikiran rakyat juga maju menjelang Malaysia
mencapai status negara maju pada 2020," tegasnya.
Beliau
menjelaskan, peluang tersebut akan digunakan sebaik-baiknya secara berterusan
kerana Dr. Mahathir boleh menjadi ikon untuk tempoh yang panjang serta dikenali
semua, di dalam dan luar negara.
Menurut Raslin,
program Ikon Membaca Kebangsaan itu dimulakan tahun lalu dengan pertandingan
esei berkaitan Dr. Mahathir di kalangan murid sekolah dan orang ramai yang akan
diumumkan pemenangnya pada hari ini.
"Kita juga
telah menyediakan banyak bahan promosi untuk kempen kali ini melalui rakaman klip
video dan dokumentari khas, rencana iklan, bahan cetakan dan sebagainya.
"Semua ini
akan diedarkan kepada umum dan juga pertubuhan bukan kerajaan bagi menyampaikan
mesej mempromosi amalan membaca," ujarnya.
Beliau
menjelaskan medium seperti klip video akan dijadikan bahan promosi di seluruh
negara kerana tidak mahu membebankan kesihatan Dr. Mahathir jika membawanya ke
merata tempat.
Tambahnya, di
samping mengambil aura ikon membaca itu melalui bahan promosi, wacana membaca
melalui Bicara Perdana juga akan dibawa sehingga ke luar bandar bagi
membincangkan budaya membaca amalan Dr. Mahathir.
"Kita juga
akan mengadakan pameran khas selama satu minggu di Perpustakaan Negara mulai 14
Mei, memaparkan buku-buku yang pernah dibaca Dr. Mahathir, ada antaranya
ditanda dan ditulis nota berkaitan maklumat terpilih.
"Ini
termasuk draf buku beliau yang ditulis menggunakan tangan. Jika diizinkan, kita
mungkin akan membawa koleksi peribadi beliau ini untuk dipamerkan di seluruh
negara kelak," katanya.
Dengan itu,
Raslin turut menjemput orang ramai menghadiri program Ikon Membaca Kebangsaan di
Perpustakaan Negara dari pagi hingga ke majlis perasmian pada sebelah petang.
"Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan merasmikan program ini dengan
anugerah berbentuk jubah khas akan disampaikan kepada Dr. Mahathir sebagai
penghargaan dan pengiktirafan intelek beliau," jelasnya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan