Selasa, 15 Mei 2012

ISU SOSIAL : PEMBACAAN ELAK TERIMA FAKTA DISELEWENG




OLEH : WARTAWAN SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat perlu banyak membaca rujukan ilmiah berbentuk keagamaan untuk pemahaman supaya tidak menerima fakta diseleweng oleh mereka yang  berkepentingan politik.

Beliau berkata, syarahan agama atau pandangan ulama perlu diperkukuh  melalui pembacaan dan melihat sendiri mesej jelas yang disampaikan melalui terjemahan al-Quran supaya menjadi pengajaran.

“Kebanyakan masyarakat kita hanya menerima bulat-bulat pendapat mereka yang bergelar ulama melalui syarahan tanpa menilai semula melalui penguasaan pembacaan.

“Sedangkan penguasaan itu dapat dilakukan sekiranya budaya membaca dapat dipertingkatkan,” katanya selepas dilantik sebagai Ikon Membaca Kebangsaan di Majlis Pelancaran Ikon Membaca, semalam.

Menurutnya, wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW juga berhubung dengan pembacaan.

Ia menunjukkan pentingnya membaca dan maklumat diperoleh dijadikan sandaran untuk menguruskan hal berkaitan dengan dunia.

Beliau berharap, masyarakat dapat meningkatkan pembacaan dan tidak hanya menyandarkan kepada maklumat daripada kaca televisyen kerana melalui pembacaan, seseorang manusia itu dapat menyimpan maklumat secara kekal kerana mengulangi perbuatan tersebut.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan