Selasa, 15 Mei 2012

ISU BAHASA : Sastera tanah air terpecah


Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Peminatnya terbahagi, manakala pembaca selesa dengan kelompok sendiri

DI sebalik kemelut dan polemik yang tidak berkesudahan dalam persada sastera, rupa-rupanya kelompok pembaca tumbuh dan subur dengan ruang tersendiri.

Pada satu pihak khalayak sastera berdepan dengan persoalan yang mencabar realiti dan masa depannya termasuk seni dan sastera dalam petak yang berasingan, manakala pembaca pula lebih selesa dengan komuniti mereka yang kecil, tetapi terampil.

Sekiranya acara pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini, boleh menjadi petunjuk, maka dua kelompok itu masih dipisahkan oleh jurang perbezaan.

Meskipun segmen Wawancara Sofa Putih Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Bersama Rahimidin Zahari: Benarkah Penulis Muda Terpinggir? dan Slot Kota Buku: Gerakan Buku Bawah Tanah, Bagaimana Kami Lakukannya adalah sebahagian kecil daripada pelbagai acara di PBAKL 2012, petunjuk daripada acara dua kelompok itu mungkin mengesahkan keterasingan mereka.

Penyair yang juga Editor Pentas, Istana Budaya, Rahimidin Zahari, berkata dunia seni dan sastera tanah air wujud secara terpisah-pisah sehingga ranah sastera wujud dalam ruang yang berasingan daripada filem, seni lukis, teater dan muzik.

“Hal ini tidak berlaku di Indonesia kerana ruang budaya mereka seperti Taman Ismail Marzuki (TIM), Jakarta, mengumpulkan semua khalayak seni dan sastera.

“Kita boleh lihat pelbagai ruang wujud di TIM seperti Perpustakaan HB Jasin, pawagam dan panggung teater sehingga seniman yang tidak berpuas hati dengan persembahan di panggung umpamanya, boleh menampilkan persembahan sendiri di luar panggung,” katanya pada wawancara yang dikendalikan pengacara televisyen, Syed Munawar Syed Mustar.

Rahimidin berkata, pada masa sama, Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) yang pernah diangkat sebagai subjek besar dalam kongres pada zaman mantan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein, hanya tinggal dalam lipatan bukunya.

“Malang sekali apabila buku mengenai DKK itu bukan saja sudah lama diterbitkan, bahkan sudah habis dicetak, rakyat tidak membaca dan ada yang tidak tahu-menahu mengenainya.

“Apa yang kita lihat, program yang diadakan kelihatan merakyat dari segi luaran, sebaliknya dari segi rohnya, ia terasing yang barangkali menjadi tanggungjawab ahli politik,” katanya yang juga Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Barangkali benar pandangan Rahimidin mengenai tanggungjawab pemimpin dalam memecahkan kotak dan merealisasikan DKK kembali, tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), khususnya persatuan penulis juga berperanan untuk memperbesarkan khalayaknya.

Sudah tentulah khalayak yang wajar dipancing oleh persatuan penulis adalah kelompok pembaca yang lebih selesa berlegar pada subjek tertentu sama ada penulis kegemaran, agenda buku atau platform tertentu.

Kelompok itu hadir pada kesempatan yang diberikan Perbadanan Kota Buku (PKB) pada Slot Kota Bukunya, iaitu Fan Club Ramlee Awang Murshid yang berpusat pada penulis kegemaran; Gerakan Membaca Sambil Menunggu dan Baca@ (agenda buku) serta Goodreads Malaysia (laman sosial pembaca buku).

Pengendali Goodreads Malaysia, Najibah A Bakar, berkata pembaca memerlukan ruang untuk berkongsi pengalaman membaca, tetapi ruang sedia ada sangat terhad.

“Justeru, kami mewujudkan forum dalam talian di Goodreads dengan menyediakan topik yang santai, tetapi berisi seperti perbincangan mengenai budaya membaca, berita buku dan buku kesan maksimum.

“Ahli yang menyertai laman ini memberi dorongan kepada pengendali untuk terus melaksanakan kegiatan sama ada dalam talian atau di luar seperti galakan membaca 50 judul setahun atau ganding baca, iaitu memilih judul setiap bulan untuk dibaca dan dibincangkan bersama,” katanya pada forum yang dipengerusikan penulis bebas, Zamri Mohamad.

Pengendali Gerakan Membaca Sambil Menunggu, Zatika Izati Puade, berkata matlamat gerakan membaca diadakan untuk menjadikan tabiat membaca sebagai budaya yang ‘cool’, sekali gus menunjukkan contoh kepada masyarakat.

“Kami juga mengagih-agihkan buku dan majalah kepada hospital kerana kebanyakan pusat perubatan yang saya kunjungi memiliki rak yang kosong kecuali diisi risalah kesihatan atau majalah yang sudah lama.

“Jumlah terkini hospital kerajaan ialah 139; klinik kesihatan (2,834); klinik pergigian (668) dan klinik 1Malaysia (54) tetapi kami baru bermula dengan sebahagian kecil daripadanya,” katanya.

Gerakan pembaca yang terpecah-pecah dan berasingan itu sudah tentu mempunyai objektif dan modus operandi tersendiri tetapi persatuan penulis wajar merencanakan mekanisme yang sesuai untuk mendekatkan mereka dengan khalayak sastera.

Ini kerana pembaca yang terbabit dalam gerakan sebegitu adalah kelompok yang mempunyai tujuan membaca yang jelas dan bukannya hanya sekadar mengisi masa lapang, tetapi mungkin segan dan berasa terpinggir atau tidak terpanggil untuk menyertai ruang yang digerakkan pengarang.

Pada masa sama, kelompok pembaca juga perlu ‘memberanikan diri’ untuk bercampur dengan khalayak sastera dan tidak terpengaruh dengan stigma seperti idealisme dan sukar difahami yang sering dilontarkan kepada pengarang sastera.

Tidak mustahil kemelut dan polemik yang tidak berkesudahan dalam dunia sastera itu dapat menemukan jalan penyelesaian sekiranya ia dikongsi pula dengan kelompok pembaca, manakala dunia pembaca semakin melebar dan meriah apabila bergaul dengan pengarang dan penulis.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan