Khamis, 24 April 2014

ISU BAHASA : Satu daripada 7,000 bahasa kecil mati setiap 14 hari


Oleh : Dr Anwar Ridhwan

Terdapat kira-kira 85 bahasa besar di dunia yang digunakan oleh 78 peratus penduduk dunia. Ini termasuklah bahasa Melayu/Indonesia dengan sekitar 300 juta penutur, bahasa Mandarin, bahasa Hindi, bahasa Inggeris dan sebagainya.

Di samping itu ada lebih kurang 7,000 bahasa lain di seluruh dunia, kebanyakannya di tempat yang terpencil, yang hanya digunakan oleh sejumlah 22 peratus penduduk dunia.

Contoh bahasa kecil termasuklah bahasa Tuvan di Rusia (235,000 penutur), bahasa Wintu di California, Siletz Dee-ni di Oregon, Ormuri di Pakistan-Afghanistan, Mamuju di Sulawesi Barat, serta 231 bahasa etnik asli yang bertaburan di seluruh Australia, termasuk bahasa Amurdak di Wilayah Utara Australia. Juga bahasa kelompok penduduk kecil di pulau-pulau serta belantara.

Sentiasa terumbang-ambing

Nasib 7,000 bahasa kecil ini sentiasa terumbang-ambing. Isu ini turut diangkat oleh National Geographic dalam sirinya Vanishing Voices. Satu bahasa akan mati setiap 14 hari. Kalau diibaratkan musim jerebu, bahasa kecil itu berada dalam analogi beberapa ‘titik panas’, yang akan terbakar hangus dan hilang atas beberapa sebab.

Sebab pertama, kerana jumlah penuturnya kecil. Apabila penduduknya meninggal dunia, jumlah penutur semakin sedikit. Sebab kedua, bahasa tersebut hanya berfungsi dalam lingkungan kehidupan etnik, flora dan faunanya, sehingga tidak dapat berkembang untuk kegunaan lebih luas.

Sebab lain, kerana bahasa itu tidak dipelajari dan diturunkan secara sistematik kepada generasi barunya. Situasi ini diburukkan lagi dengan tiadanya teks bertulis yang merakam khazanah bahasa tersebut, juga tiadanya media cetak dan media elektronik yang dapat berfungsi mengembangkan bahasa dalam masyarakat.

Daripada sejumlah sebab serta alasan hapusnya bahasa kecil itu, punca yang paling ketara adalah pengaruh bahasa lain yang lebih kuat. Sempadan bahasa lain itu akan meluas, termasuk menindih sempadan geografi bahasa kecil. Bahasa lain itu kuat kerana sekurang-kurangnya memiliki tiga kualiti berikut;

Bahasa itu sudah mempunyai sistem tulisan atau graphization (sistem aksara/ejaan). Jadi, bahasa kecil yang belum mempunyai sistem tulisan atau ejaan, bahasa itu mudah terhapus dan dilupakan.

Bahasa itu sudah mempunyai suatu ragam atau bentuk ‘bahasa tinggi’ yang disebut a supradialectal form, maksudnya bentuk yang mengatasi segala dialek bahasa itu, jadi bahasa kecil yang masih berada di peringkat dialek daerah, bahasa itu lama kelamaan akan hapus.

Bahasa itu sudah mampu digunakan sebagai alat untuk mengungkapkan modern form of discourse, maksudnya idea, ilmu dan pemikiran ‘moden.’ Bahasa itu sudah boleh menterjemahkan isi pemikiran atau ‘ilmu moden’ dari bahasa yang sudah maju – yakni maju dari segi fungsinya. Bahasa kecil tidak memiliki kualiti ini, oleh itu sukar berkembang.

Lambang kebijaksanaan

Kehilangan setiap bahasa, walau sekecil manapun bahasa tersebut, merupakan sesuatu yang mendukacitakan. Ini kerana bahasa merupakan produk budaya serta lambang kebijaksanaan para penuturnya. Bahasa kecil yang lenyap, yang tidak sempat dirakamkan khazanahnya, turut menghapuskan kearifan tempatan tentang flora, fauna, dan kebudayaan kelompok masyarakatnya.

National Geographic meramalkan, menjelang abad yang akan datang, separuh daripada 7,000 bahasa kecil di dunia ini akan lenyap begitu sahaja. Memetik kata-kata David Harrison, ahli bahasa dari Swarthmore College, “Kadar kepupusan bahasa kecil jauh mengatasi kepupusan burung, mamalia, ikan atau tumbuh-tumbuhan, dan kepupusan bahasa selalunya menyamai kelenyapan spesies-spesies biologikal.”

Kita tidak boleh membuat andaian bahawa bahasa Melayu tidak akan lenyap di Malaysia. Untuk menjadikan bahasa Melayu terus kekal, bahasa ini harus terus menjadi bahasa ilmu, digunakan dalam sistem pendidikan rendah, menengah dan tinggi; dan terus tersebar dalam penerbitan, media cetak dan media elektronik.

Perubahan zaman dan teknologi harus menyedarkan institusi perancang bahasa (seperti Dewan Bahasa dan Pustaka), ahli bahasa, penulis dan aktivis bahasa, untuk memanfaatkan peranti digital moden seperti aplikasi iPhone, video You Tube, laman Facebook dan sebagainya, untuk mengembangkan bahasa Melayu. Dengan cara itu khalayak dapat terus merasai denyut perkembangan bahasa Melayu.

Penulis ialah Sasterawan Negara dan Pensyarah di Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan