Ahad, 20 April 2014

ISU KEIBUBAPAAN : Program Sarana dapat sambutan positif


Oleh :  Faiza Zainudin dan Mohd Hamizar Hamid

Pembabitan ibu bapa dalam, luar sekolah satukan pihak berkepentingan

Serdang: Program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang dilancarkan Kementerian Pendidikan tahun lalu mendapat sambutan positif daripada semua pihak, khususnya ibu bapa dan guru serta komuniti setempat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program bertujuan meningkatkan pembabitan ibu bapa dalam pembelajaran anak di dalam dan luar sekolah berjaya menyatukan setiap pihak berkepentingan bagi memberi tumpuan kepada modal insan penentu masa depan negara.

“Saya dapat melihat perkembangan positif di bawah program Sarana ini apabila ada ibu bapa yang prihatin dan datang melawat bilik darjah dan juga asrama, meninjau secara dekat perkembangan anak mereka dan melihat keperluan yang masih kurang di sekolah.

Ambil berat masalah disiplin

“Ibu bapa yang prihatin turut terbabit mengambil berat masalah disiplin di sekolah dan membantu meringankan beban tugas guru.

“Ada juga ibu bapa menggunakan kepakaran istimewa mereka termasuk kemahiran dalam bahasa Inggeris, perubatan dan kejuruteraan membantu pihak sekolah meningkat kecemerlangan pelajar,” katanya pada majlis Anugerah Cemerlang Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Peringkat Kebangsaan 2012/2013 di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur diumumkan penerima Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Keseluruhan dan membawa pulang cek bernilai RM50,000, plak dan sijil penyertaan. Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Amir Sahudi menerima anugerah berkenaan daripada Muhyiddin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, melalui Sarana Sekolah, peranan PIBG diupayakan untuk menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) yang ditubuhkan bagi merapatkan hubungan antara ibu bapa, murid dan sekolah.

Beliau berkata, sehingga kini, 62.3 peratus KSIB ditubuhkan di sekolah menengah, manakala 60.3 peratus di sekolah rendah seluruh negara.

“Sarana ini diperluaskan bagi memastikan interaksi ibu bapa dengan anak berada pada tahap maksimum, sekali gus memberi peluang ibu bapa menyumbang idea, tenaga, kepakaran dan kewangan kepada sekolah.

Bantu proses pembelajaran

“Hubungan sinergi yang padu dan jaringan komunikasi yang baik antara pentadbir sekolah dengan PIBG mampu melonjakkan keberhasilan yang memberi manfaat bersama,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata peranan komuniti dan sektor swasta dalam pendidikan juga tidak kurang penting seperti usaha menambah baik keperluan asas pendidikan, membantu orientasi semula proses pembelajaran dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kecemerlangan anak dalam pendidikan.

Sementara itu, di ibu negara, Muhyiddin menyarankan semua Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) meningkatkan produktiviti dan kapasiti dengan menggunakan sumber terhad sama ada dari segi kewangan dan sumber manusia.

Katanya, dalam menghadapi cabaran, elemen kreativiti dan inovasi diperlukan supaya kecemerlangan jentera perkhidmatan awam dapat diperkukuh.

“Perkhidmatan awam hari ini berdepan cabaran yang cukup besar, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu dan permintaan pasaran yang dinamik,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Perak Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan isteri, Puan Sri Rohani Abdullah serta Presiden Alumni PTD, Tan Sri Sallehuddin Mohamed.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan