Khamis, 17 April 2014

ISU SOSIAL : Kes gengster remaja tuntut perhatian serius semua pihak


Oleh : Mohd Ayob Abd Razid

Isu peningkatan gengsterisme dalam kalangan remaja hari ini wajar diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa keselamatan negara. Pembabitan remaja dalam aktiviti itu jelas tidak bertanggungjawab.

Ia bercanggah dengan nilai yang terkandung dalam prinsip Rukun Negara. Tindakan mereka menunjukkan kurangnya kefahaman dan penghayatan terhadap prinsip berkenaan.

Lima prinsip Rukun Negara adalah tunjang penting yang perlu diamalkan oleh generasi kita bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan negara. Jika ramai remaja kita terbabit dalam aktiviti tidak sihat ini maka ia akan memberi kesan tidak baik kepada masyarakat.

Remaja yang membabitkan diri dalam kumpulan gengsterisme tidak mempunyai nilai kemasyarakatan yang tinggi. Pastinya mereka tidak lagi menghormati undang-undang negara. Mereka juga dianggap menyimpang daripada tata susila kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan perpaduan.

Aktiviti tidak sihat ini juga akan mendorong mereka terbabit dalam kegiatan lain seperti penagihan dadah, alkohol, perjudian, peras ugut, kekerasan dan rogol.

Mengikut statistik, pembabitan remaja dalam jenayah menunjukkan peningkatan dalam tempoh dua tahun (2012-2013).

Peningkatan kes jenayah

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Jaafar, peningkatan dalam jenayah kekerasan yang dilakukan remaja membabitkan tujuh kategori iaitu bunuh, rogol, samun berkumpulan dengan senjata api, samun berkumpulan tanpa senjata api, samun bersenjata api, samun tanpa senjata api dan mencederakan.

Jenayah harta benda yang dilakukan remaja pula membabitkan curi motokar, curi motosikal, curi kenderaan berat, ragut dan lain-lain. Menurut Wan Junaidi, walaupun berlaku peningkatan kes jenayah yang serius agak terpencil serta tidak sampai ke tahap membimbangkan masyarakat (BH 9 April 2014).

Pada pendapat penulis, walaupun ia dianggap terpencil, namun berdasarkan statistik didapati setiap kategori jenayah itu meningkat hingga dua kali ganda. Contohnya, bunuh meningkat daripada 35 kes (2012) kepada 74 kes (2013), samun tanpa senjata api meningkat daripada 39 kes (2012) kepada 116 kes (2013), samun berkumpulan tanpa senjata api juga meningkat daripada 238 kes (2012) kepada 685 kes (2013) dan rogol daripada 386 (2012) meningkat kepada 824 kes (2013).

Tindakan tegas

Justeru, polis wajar memberi perhatian serius terhadap isu ini. Remaja yang terbabit dalam aktiviti gengsterisme ini mesti dipantau dan diambil tindakan tegas. Bagi remaja yang baru terbabit dalam aktiviti ini, tindakan awal dapat menyelamatkan mereka daripada terus tersasar daripada landasan dan peraturan yang sepatutnya dipatuhi.

Tindakan awal juga boleh dilakukan oleh pihak sekolah dengan memberikan kaunseling dan bimbingan kepada pelajar yang sering mempunyai masalah disiplin seperti kerap ponteng sekolah dan buli. Pelajar bermasalah ini mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk terbabit dalam kumpulan gengsterisme.

Ibu bapa juga tidak boleh lepas tangan kerana kegagalan mereka memberikan didikan dan bimbingan yang sempurna antara punca anak mereka terbabit dalam pelbagai gejala sosial.

Diingatkan bahawa negara memerlukan remaja dan belia yang sihat bagi membolehkan mereka memperkukuh kemajuan dan pembinaan negara bangsa.

Kesimpulannya, pembabitan remaja dalam aktiviti gengsterisme perlu dibendung dan mereka yang terbabit wajar dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang ada di negara ini.

Sebagai pelapis kepada negara, mereka harus mempamerkan sikap terpuji dengan mematuhi undang-undang negara agar negara aman dan rakyat dapat hidup harmoni.


Penulis ialah Penganalisis Media di Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan