PEKERJA adalah aset yang sangat
bernilai kepada negara. Tanpa pekerja yang komited dan berdedikasi dalam
melakukan pekerjaan banyak keperluan dan perkhidmatan yang diperlukan oleh
golongan pengguna tidak dapat disempurnakan.
Lebih daripada itu, pekerjaan merupakan
amanah yang dipertanggungjawabkan kepada golongan pekerja, tidak kira sama ada
seseorang bekerja disektor kerajaan mahupun swasta. Malah amanah ini akan
dipertanggungjawabkan di hari kemudian sekiranya gagal dilaksanakan dengan
bersungguh-sungguh.
Syariat Islam yang suci sangat
menggalakkan umatnya untuk bekerja terutama bagi menyara kehidupan diri dan
keluarga selain membantu golongan marhaen yang memerlukan. Ini penting bagi
mengelakkan perbuatan meminta-minta yang merendahkan maruah serta menjatuhkan
air muka sendiri.
Dalam hal ini Baginda Nabi
Muhammad SAW bersabda maksudnya; Lebih baik
seseorang bekerja dengan mengumpulkan seikat kayu api di belakangnya berbanding
dengan seseorang yang meminta-minta (mengemis) lantas ada yang memberi atau enggan
memberi sesuatu padanya." (Riwayat al-Bukhari).
Dalam riwayat lain, disebutkan
pula bahawasanya - Tidak ada seseorang memakan suatu
makanan yang lebih baik daripada makanan hasil kerja keras tangannya sendiri.
Dan Nabi Daud 'alaihis salam makan daripada hasil kerja keras tangannya."
(Riwayat al-Bukhari).
Sehubungan itu, tindakan
sesetengah pihak yang menjadikan perbuatan meminta-minta sebagai pekerjaan
harian seperti yang biasa dilihat di kawasan bank, stesen minyak dan tempat
tumpuan awam lain wajar diberhentikan. Malah tindakan mempergunakan kanak-kanak
dan pelajar sekolah adalah satu lagi kegiatan yang tidak bermoral dan boleh
mencalar imej Islam yang wajib dipelihara.
Selain itu, setiap Muslim secara
khususnya perlu memahami bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan mestilah selari
dengan peraturan agama supaya dinilai sebagai ibadah dalam skop yang
menyeluruh. Untuk itu juga syariat Islam melarang keras sebarang penglibatan
umat Islam dalam kerja-kerja yang membabitkan minuman keras yang memabukkan.
Begitu pula segala aktiviti maksiat seperti pelayan pelanggan (GRO), pelacuran,
khidmat rumah urut dan lain-lain lagi.
Daripada
Annas bin Malik katanya: Bahawasanya Baginda Rasulullah SAW melaknat 10
golongan berkaitan arak iaitu : Yang memerahnya, yang minta diperahkannya, yang
meminumnya, yang membawanya dan minta dibawa kepadanya, yang menuangkannya,
yang menjualnya, yang makan harganya, yang membelinya dan yang minta
dibelikan". (Riwayat al-Tirmizi)
Ini kerana terdapat segelintir
individu Muslim yang seolah-olah tidak merasa bersalah memilih pekerjaan dalam
bidang yang diharamkan. Ini mungkin tawaran gaji yang lumayan ataupun
diselubungi kesempitan hidup dan dalam situasi terdesak memerlukan sumber
kewangan tanpa mengira halal dan haram lagi.
Atau kemungkinan terdapat juga
yang sengaja memilih pekerjaan yang tidak bermoral kerana keseronokan dan minat
yang sememangnya jauh menyimpang daripada ajaran agama yang sebenar.
Perlu difahami betapa penglibatan
umat Islam dalam segala pekerjaan yang diharamkan hanya mengundang dosa dan
kutukan daripada Allah SWT. Malahan pendapatan yang diperoleh walaupun
kelihatan banyak tetapi tetap tidak akan pernah mencukupi kerana tiada
keberkatan hasil usaha haram yang diceburi.
Selain itu seseorang pekerja
hendaklah bersifat amanah lagi jujur dalam pekerjaan yang dilakukan. Perbuatan
meminta rasuah ataupun suapan dengan sedikit kuasa yang ada hanya akan
menggalakkan aktiviti tidak bermoral yang menyebabkan negara semakin mundur dan
tidak bertamadun. Lebih daripada itu, pelaku rasuah sama ada yang memberi
ataupun menerima tetap beroleh kutukan dosa yang akan dibawa bersama apabila
meninggalkan dunia yang fana ini.
Aspek pergaulan di tempat kerja
juga perlu diberi perhatian. Bagi yang sudah berumahtangga diingatkan agar
tidak terlalu mesra dengan rakan sekerja kerana dikhuatiri akan mengundang
kepada keruntuhan rumahtangga akibat kehadiran orang ketiga.
Pakaian yang dipakai ketika
bekerja juga patut diberi perhatian. Kaum wanita terutamanya disarankan supaya
sentiasa menjaga tata susila dan kesopanan diri dengan mengenakan pakaian yang
menutup aurat ketika bekerja.
Usah juga terlalu berlebih-lebih
dalam mengenakan alat solekan kerana dikhuatiri mengundang fitnah dan kesan
buruk yang menyusahkan diri sendiri. Dalam hal ini etika pakaian ditempat kerja
khususnya bagi umat Islam elok dipatuhi demi kebaikan bersama.
Umat Islam dinasihat supaya tidak
lupa bekerja untuk Allah SWT yang merupakan tugas utama lagi perlu dititik
beratkan. Usah lalai dengan tugasan seharian hinggakan ibadah khusus terabai.
Apa yang lebih penting setiap
pekerja wajar mengikhlaskan niat ketika bekerja sehingga keseronokan dan
motivasi bekerja dapat dipertingkatkan sepanjang masa.
Dengan cara itu individu Muslim
akan memperoleh keberkatan dari pada rezeki yang diperoleh sehingga seluruh
ahli keluarga dan ummah mendapat kesan sampingan yang baik akibat curahan
rahmat Ilahi yang melimpah ruah dan tidak terhitung banyaknya.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan,
Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan