PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan merancang untuk memansuhkan jaminan jawatan, yang selama ini diberi secara automatik kepada guru pelatih daripada institut pendidikan guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menteri Pendidikan II Datuk Seri
Idris Jusoh berkata langkah itu yang mungkin dilaksana secara berperingkat,
bertujuan memastikan hanya pelatih berkualiti ditawar jawatan sebagai guru di
sekolah.
"Amalan pada masa ini, guru
pelatih IPG dan IPTA dijamin sebagai guru tanpa mengambil kira prestasi mereka
tetapi kali ini kita hendak guru menjadi
profesion yang mulia.
"Jadi kita perlu memilih yang
terbaik, mempunyai keperibadian mulia, baru boleh melahirkan masyarakat yang hebat
pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen
Institut Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran kali ketiga, di sini, Isnin.
Mengulas lanjut, Idris berkata
langkah itu juga bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar berminat dengan
kerjaya guru dilantik, bukan mereka yang berbuat demikian kerana tiada pilihan
lain.
"Di Finland misalnya hanya
calon terbaik sahaja akan dipilih menjadi guru. Oleh sebab itu taraf pendidikan
di negara itu tinggi," katanya.
Bagaimanapun kata Idris,
rancangan itu masih pada peringkat perbincangan dan memerlukan penelitian
mendalam sebelum boleh dilaksana.
Pada konvokesyen tiga hari
bermula hari ini, sebanyak 3,988 graduan menerima ijazah masing-masing. -
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan