Isnin, 27 Mei 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Taraf institusi bukan jaminan kejayaan


Oleh : Ruhaiza Rusmin

Penulis pernah ditanya seorang rakan, benarkah jika kita belajar di institusi luar negara prestijnya lebih tinggi berbanding melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan?

Sukar memberikan jawapan kerana penulis tidak pernah melanjutkan pengajian di luar negara. Namun, berdasarkan pemerhatian, pelajar institusi pengajian tinggi luar negara memang menerima pelbagai kelebihan.

Malah, kelebihan itu adakalanya diterjemahkan secara keterlaluan sehingga menenggelamkan kelebihan pelajar institusi tempatan yang turut mempunyai pencapaian membanggakan.

Justeru, ramai yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara apabila tidak mendapat penajaan, sedangkan sudah banyak institusi pengajian tinggi tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Presiden  Management and Science University (MSU), Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, dalam hal ini tidak perlu mewujudkan perbezaan taraf kerana kedua-duanya bermatlamat mendukung aspirasi pendidikan.

Menurutnya, tanggapan pemilihan institusi pengajian tinggi luar negara kerana status juga adalah sekadar persepsi.

“Percayalah, jika institusi itu adalah yang terbaik di dunia sekali pun, tetapi kemahuan pelajar untuk berjaya tiada, ia tidak mungkin akan membawa kejayaan.

“Taraf sesebuah institusi bukan jaminan kejayaan. Sebaliknya, individu sendiri yang menjadi penentu.

“Institusi berfungsi hanya menjadi platfom untuk memberikan pendidikan. Perkara lain termasuk mencorakkan keputusan adalah diri pelajar,” katanya.

Beliau juga menegaskan, adalah tidak benar jika kemasukan pelajar ke institusi luar negara lebih mudah asalkan sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri, walaupun ia membabitkan institusi pengajian tinggi swasta.

“Dalam soal kualiti, saya percaya setiap institusi tiada kompromi. Sama ada tempatan mahupun luar negara, piawaian tertentu mesti dipatuhi kerana ia membabitkan penanda aras, imej serta kredibiliti sesebuah institusi.

“Setiap kemasukan perlu mematuhi syarat. Ini bukan soal mampu bayar atau tidak tapi lebih kepada nilai etika pendidikan itu sendiri yang mesti mengekalkan prinsipnya,” katanya.

Menurutnya, walaupun sesiapa saja mempunyai peluang yang luas untuk mengakses pendidikan di peringkat pengajian tinggi, kata pemutus tetap terletak dalam bidang kuasa institusi berkenaan.

“Kita perlu sedar, bahawa kemasukan pelajar ke mana-mana institusi ada tapisan. Bukan sewenang-wenangnya institusi membuka pintu kepada pelajar jika mereka tidak memenuhi kelayakan.

“Biarpun akses pendidikan itu tidak terhad, institusi juga perlu mematuhi prinsip dan piawaian sedia ada bagi menjamin kualiti pelajar yang bakal dilahirkan,” katanya.

Pencapaian institusi tempatan juga kata Dr Mohd Shukri, sudah terbukti mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia, malah modul dan program ditawarkan juga setanding dengan institusi luar negara.

Menurutnya, penambahbaikan dalam setiap modul dan program sentiasa disemak serta dilakukan bagi menjamin kualiti pembelajaran.

“Kita sendiri juga sudah melihat transformasi pendidikan ditawarkan menerusi pelbagai pengenalan kursus, kemahiran dan sebagainya.

“Oleh itu, tidak wujud isu institusi kita tidak setanding, malah mungkin sebenarnya lebih baik. Cuma kita kurang maklumat mengenainya dan sering dimomokkan institusi luar lebih elit. Kita perlu melihat bagaimanakah konteks elit ini,” katanya.

Beliau mengakui, institusi lama dan tersohor seperti Cambridge dan Princeton University sebagai contoh memang berada dalam kelas tersendiri, namun bagaimana pula dengan sesetengah institusi lain?

“Adakah benar apa yang ditawarkan bersifat elit atau lebih kurang sama institusi kita? Mungkin perbezaan wujud dari segi kandungan dan cara pembelajaran. Namun, asasnya masih sama iaitu ­memberi pendidikan agar mereka memperoleh ilmu,” katanya.

Menurutnya, kini institusi pengajian tinggi tempatan juga giat menuju taraf antarabangsa dan berusaha memperoleh seberapa banyak pengiktirafan, malah ia menjadi satu tanda komitmen dan tanggungjawab yang sedang dilaksanakan dengan penuh dedikasi.

“Hal ini juga lambang komitmen institusi kita untuk menjadi yang terbaik. Kita perlu bangga, biarpun ada yang memberi reaksi berbeza.

“Institusi tempatan mampu bersaing kerana kita juga saling belajar antara satu sama lain. Akses pendidikan global memungkinkan pertukaran budaya ilmu berlangsung dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata, bagi MSU pihaknya menggariskan beberapa cara menjana proses mengantarabangsakan institusi, seperti melalui program ditawarkan, pelajar antarabangsa, kajian perbandingan, akreditasi, kelayakan, fakulti dan tenaga pengajar serta ­kerjasama dengan institusi luar negara.

“Usaha MSU ini merangkumi semua aspek yang digabungkan secara menyeluruh dengan satu tujuan iaitu meneroka konsep pendidikan terkini seiring globalisasi.

“Kepentingan MSU ialah pendidikan yang mampu melahirkan aset serta keupayaan pelajar dalam semua bidang. Justeru, apa yang dilaksanakan mestilah mempunyai kualiti yang mampu memperoleh pengiktirafan,” katanya.

Katanya, apa yang dilakukan itu menjadi kayu pengukur serta timbang tara MSU dalam melaksanakan misi pengantarabangsaan dengan setiap aspek dilaksanakan juga menuju ke arah pengukuhan jenama.

“Sejak 30 tahun penubuhan, bermula sebagai sebuah kolej, kami sentiasa menetapkan matlamat untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan terbaik.

“Namun, ia bukan mudah kerana perlu merentasi pelbagai halangan. Pengiktirafan sama ada tempatan mahupun peringkat antarabangsa menjadi bukti komitmen kami memberi pendidikan terbaik kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Komen