Anggota pasukan keselamatan rela berkorban demi keamanan negara |
DALAM sesetengah tulisan, dapat
kita temukan penggunaan ungkapan demi untuk. Dalam lirik lagu, ungkapan demi
untuk ini menjadi pilihan pencipta lagu. Tujuan penggunaan demi untuk dalam
binaan ayat ialah apabila ayat itu mengandung unsur penegasan. Perhatikan
ayat-ayat contoh seperti yang berikut ini:
1. Demi untuk
watan, kami rela berjuang bermati-matian.
2. Aku rela berbuat
apa-apa sahaja demi untuk kebahagiaan kita.
3. Tindakan tegas
pengetua sekolah ini wajar demi untuk kebaikan pelajar.
Betulkah ungkapan demi
untuk dalam ketiga-tiga ayat tersebut itu?
Sebelum dipastikan betul atau
salah penggunaan demi untuk tersebut, eloklah difahami akan maksud kata demi
itu. Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka, demi mempunyai empat pengertian. Makna pertama berkaitan dengan
perbuatan bersumpah, misalnya "demi Allah". Yang kedua membawa
pengertian "kerana" atau "untuk", misalnya "demi
kepentingan rakyat".
Dalam ayat 1, terdapat unsur
"bersumpah". Dalam konteks ini, sesuatu penegasan itu menjadi lebih
berat dan berkesan lantaran adanya tanggapan seakan-akan sumpah. Selain itu,
semacam ada rasa lebih sedap jika dilafazkan bersama-sama kata untuk bagi
memberikan penekanan yang lebih. Ayat 1 dirasakan lebih bertenaga jika kita
hanya menggunakan demi atau untuk seperti ayat 1a dan 1b.
1. (a) Demi
watan, kami rela berjuang bermati-matian.
1. (b) Kami rela
berjuang bermati-matian untuk watan.
Demikian juga halnya
dengan ayat (2) dan (3). Ayat-ayat itu akan menjadi lebih persis jika
menggunakan salah satu demi atau untuk, seperti yang berikut:
2. (a) Aku rela berbuat
apa-apa sahaja demi kebahagiaan kita.
atau
2. (b) Untuk
kebahagiaan kita, aku rela berbuat apa-apa sahaja.
3. (a) Tindakan tegas
pengetua sekolah itu wajar demi kebaikan pelajar.
atau
3. (b) Untuk
kebaikan pelajar, tindakan tegas pengetua sekolah itu wajar.
Oleh itu, ungkapan demi untuk itu
kurang tepat dari segi tatabahasa kerana kehadirannya secara berpasangan
menghasilkan bentuk bahasa yang lewah sifatnya.
Dari segi makna pula, kata sendi
demi sama maknanya dengan kata sendi untuk. Oleh itu, sekiranya digunakan
kedua-dua kata sendi demi untuk ini, samalah halnya dengan penggunaan dua
perkataan yang bersinonim, seperti kita mengatakan saya saya atau aku ku, atau
"*Dia berjaya lantaran kerana dia berusaha dengan gigih", atau
"*Dia menangis kerana oleh sebab wangnya hilang" atau "*Dia akan
gagal jika sekiranya dia tidak berusaha bersungguh-sungguh".
Bentuk ungkapan demi untuk
itu sebenarnya menggugat kesempurnaan bahasa. Dalam berbahasa, kita perlu
menitikberatkan kepersisan bahasa. Dalam hal ini, ungkapan demi untuk
lebih baik diperbetul menjadi demi sahaja atau untuk sahaja, kerana
demikian itu cara pengungkapan yang betul.
Dua pengertian demi yang lain
ialah, yang pertama, membawa maksud sebaik-baik sahaja atau selepas, dan yang
kedua ialah lepas satu, satu. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang
berikut ini:
4. Dia terus menangis demi
mendengar berita buruk itu. (maksud sebaik-baik sahaja atau selepas)
5. Direnungnya orang itu
seorang demi seorang untuk mengenal pasti orang yang mencerobohi
rumahnya. (maksud satu lepas satu)
Begitulah huraian tentang
penggunaan demi untuk dalam berbahasa. Oleh itu, bertukarlah kepada penggunaan
bentuk yang lebih persis dan betul, iaitu demi sahaja atau untuk sahaja, tetapi
bukan demi untuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan