Oleh : PROF. SALLEH BUANG
SUKAR bagi kita yang sayang akan
keamanan dan kesejahteraan, membicarakan episod berdarah yang berlaku di Sabah
kebelakangan ini tanpa emosi.
Apa tidaknya? Bukan satu perkara
biasa kita melihat penjenayah bersenjata menceroboh kampung halaman kita,
menangkap jiran tetangga kita, menahan mereka sebagai tebusan, menyiksa dengan
kejam dan membunuh anggota keselamatan kita - semuanya kerana, kata mereka,
"Sabah adalah milik nenek moyang mereka pada satu ketika di zalam
silam".
Apakah benar Sabah milik nenek
moyang penceroboh dan pengganas ini?
Mengikut pakar sejarah, Prof
Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim walaupun wilayah ini pada satu ketika dahulu
adalah sebahagian daripada wilayah Sultan Sulu, syarikat Borneo Utara British
telah menguasainya sejak 1882.
Mengikut Datuk Seri Dr. Rais
Yatim (Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan bekas peguam) di bawah
undang-undang antarabangsa, Sabah adalah sebahagian Malaysia, satu negara yang
berdaulat dan telah lama diiktiraf oleh seluruh dunia.
Suruhanjaya Cobbold pada tahun
1963 (pada akhir saat referendum) mendapati majoriti orang Sabah mahu menjadi
sebahagian Malaysia.
Nampaknya pakar sejarah setuju
kesultanan Sulu adalah sebuah negara yang berdaulut sejak tahun 1457, di mana
wilayahnya meliputi sebahagian Mindanao di sebelah timur, Borneo Utara di
sebelah barat, dan Palawan di sebelah utara.
Sultan Sulu memperolehi Borneo
Utara sebagai hadiah daripada Sultan Brunei selepas menolongnya mempertahankan
negara itu daripada serangan musuh dan pemberontak. Perkara itu berlaku di
sekitar tahun 1704.
Pada tahun 1878, Baron Von
Overbeck (warga Austria) dan Alfred Dent (seorang British) memperoleh apa yang
dipercayai ramai sebagai satu "pajakan" wilayah Borneo Utara daripada
Sultan Sulu. Perjanjian ini dimeterai antara Sultan Sulu (pada satu pihak) dan
Overbeck serta Dent (pada pihak yang lain), kedua-duanya ini bertindak atas
nama East India Company.
Sebagai balasan, syarikat itu
berjanji akan membayar Sultan Sulu sejumlah wang yang dipersetujui sebagai
"sewaan tahunan".
Saya belum lagi berpeluang
meneliti terma sebenar yang terkandung dalam perjanjian 1878 itu. Tetapi saya
ada melihat kandungan perjanjian bertarikh 6 Jun 1800 antara Sir George Leith,
Lieutenant-General of Penang (bagi pihak English East India Company) dan Yang
di-Pertuan Raja Muda Perlis dan Kedah (bagi pihak Sultan Kedah) - yang
dinamakan "Triti Persahabatan dan Perikatan" (Treaty of Friendship
and Alliance).
Perjanjian atau triti ini
berkuasa "di laut dan di darat, selagi matahari dan bulan memancarkan cahayanya"
(on sea and on land, as long as the Sun and the Moon retain their motion and
splendour).
Jika kita boleh ambil iktibar
daripada perjanjian yang melibatkan Pulau Pinang itu, Fasal 1 dalam Perjanjian
itu ada menyebutkan bahawa sejumlah wang akan dibayar kepada Sultan Kedah dan
Perlis selama mana orang Inggeris "ada milikan" (continue in
possession) Pulau Pinang dan Prai.
Dalam perjanjian atau triti yang
mengandungi 14 Fasal itu, kita tidak jumpa istilah "pajakan" (lease).
Dalam bahasa mudah, hak yang diberi oleh Sultan Kedah adalah hanya hak
menduduki, bukan hak milik mutlak.
Sebagaimana yang terdapat dalam
perjanjian antara Overbeck dan Dent dengan Sultan Sulu, Sultan Kedah juga
dijanjikan akan dibantu oleh Francis Light melawan musuhnya sebagai balasan
kepada persetujuan Sultan membenarkan syarikat Inggeris itu menduduki Pulau
Pinang. Sebenarnya ini hanya satu janji kosong, dan tidak ditunaikan oleh
Francis Light.
Tidak mustahil bila Overbeck dan
Dent menandatangani perjanjian yang bersejarah itu dengan Sultan Sulu pada
tahun 1878, terma dan syarikat yang serupa seperti yang terkandung dalam
perjanjian 1800 melibatkan Pulau Pinang itu digunakan. Saya tidak yakin istilah
moden seperti "pajakan" sudah digunakan pada masa itu.
Apa pun istilah sebenar yang
digunakan, syarikat British North Borneo itu kemudian telah gagal atau enggan
meneruskan bayaran kerana ia tidak pasti siapa waris Sultan Sulu yang sebenar.
Akibatnya satu tuntutan difailkan di Mahkamah Tinggi Borneo Utara pada 1939
terhadap kerajaan Borneo Utara dan syarikat.
Mahkamah memutuskan bayaran
hendaklah terus dibayar kepada waris Sultan Sulu yang sah, dan mahkamah
mengenal pasti dan menamakan siapa mereka.
Tujuh tahun kemudian, pada 10
Julai 1946 kerajaan British mengisytiharkan Sabah sebagai satu jajahan takluk
British. Kita perlu ingat kembali apa yang dilakukan oleh British kepada Pulau
Pinang. Jika pada mulanya Francis Light hanya dibenarkan menduduki (continue in
possession) pulau itu, kerajaan British kemudian telah mengisytiharkan pulau
itu sebagai satu jajahan takluk - sebagai Negeri-Negeri Selat bersama Melaka
dan Singapura.
Ini amalan dan perangai buruk
penjajah - mengisytiharkan wilayah dan negara yang bukan milik mereka sebagai
tanah jajahan mereka! Disebabkan kuasa ketenteraan mereka, tidak ada sesiapa
pun yang dapat melawan mereka.
Pada 12 September 1962, Sultan
Sulu, Sultan Muhammad Esmail E. Kiram 1, secara formal menyerahkan (ceded)
Sabah kepada Kerajaan Filipina. Peristiwa penting ini berlaku dalam zaman
pemerintahan Presiden Macapagal. Berbeza dengan hak menduduki atau "hak
milikan" sahaja, satu "penyerahan" (cession) adalah pemindahan
hak milik dan kedaulatan atas suatu wilayah oleh satu pemerintah kepada
pemerintah yang lain.
Dari sudut undang-undang, antara
Sultan Sulu dan Kerajaan Filipina, hak milik terhadap Sabah sudah bertukar
tangan.
Oleh yang demikian, jika masih
timbul persoalan "Sabah siapa punya?" pihak-pihak yang layak
mengemukakan isu ini ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa di Hague, Belanda adalah
Filipina, bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya lagi.
Ini membawa kita kepada persoalan
berikutnya. Apakah penceroboh bersenjata yang mengganas di Sabah itu
waris-waris sah Sultan Sulu? Tanpa bukti yang kukuh dan meyakinkan, sukar bagi
kita membuat sebarang andaian atau keputusan.
Saya sempat bertanyakan isu ini
kepada seorang pakar undang-undang antarabangsa, pengamal undang-undang Datuk
Dr. Tunku Sofiah Jewa. Menurut beliau, daripada apa yang kita pelajari dalam
kes Batu Putih (yang mana kita kalah dengan Singapura), asal usul sejarah
sesebuah wilayah itu tidak penting lagi.
Yang lebih penting dan diberi
keutamaan ialah siapakah yang telah memerintah, mentadbir dan mempamerkan
kedaulatannya di wilayah itu untuk satu jangka masa yang lama? Dalam kes Batu
Putih, memang tidak ada ragu-ragu pulau kecil itu pada asalnya adalah milik
Sultan Johor. Pun begitu, kita kalah kepada Singapura kerana untuk sekian lama
kita membiarkan Singapura mentadbir dan melaksanakan kuasanya (mempamerkan
kedaulatannya - exercising its sovereignty) di pulau kecil itu.
Dalam kes Sabah, kita telah
sekian lama (sejak 1963) memerintah, mentadbir dan mempamerkan kedaulatan kita
- bukan Sultan Sulu atau waris-warisnya, sementara Kerajaan Filipina pula
(setakat ini) belum memfailkan apa-apa tuntutannya di ICJ. Nampaknya kerajaan
itu lebih mengutamakan kerangka kerjasama dalam ASEAN.
Keturunan Sultan Sulu dan
pengikut-pengikutnya yang menceroboh Sabah sejak sebulan yang lalu itu tidak
lebih sebagai pengganas. Mereka bukan wira atau pejuang seperti yang mereka
dakwa, "dalam perjalanan pulang ke wilayah asal mereka."
Penulis ialah ialah penganalisis undang-undang.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan