Isnin, 11 Mac 2013

ISU PENDIDIKAN : Guru dahulu bebas corak pelajar


Oleh :  Ruhaiza Rusmin

Dahulu, guru ibarat nadi dan penyambung kehidupan masyarakat hingga profesyen itu diiktiraf mempunyai kedudukan paling tinggi dan mulia.

Besarnya peranan dan jasa guru menyebabkan masyarakat tidak pernah mempersoalkan tindak-tanduk guru dan mempercayai tindakan itu bertujuan demi kebaikan.

Malangnya, di tengah masyarakat hari ini yang menggelarkan diri mereka berfikiran terbuka, maju dan moden, peranan guru seolah-olah semakin diperkecil dan dipertikaikan.

Guru kini bukan saja tidak lagi diibaratkan sebagai lilin yang menerangi kehidupan, malah pelajar, ibu bapa mahupun masyarakat seperti galak menghentam dan menghukum golongan berkenaan.

Dilema guru yang semakin terikat dikhuatiri akan menimbulkan tekanan sekali gus mengganggu urusan perjalanan sistem pendidikan dan ilmu.

Pengetua Kirkby International College, Bismillah Abdul Kader berkata, guru perlu menganggap tekanan dihadapi sebagai satu cabaran kerjaya untuk mempertingkatkan lagi kualiti diri.

Beliau berkata, tekanan bukan saja akan berlaku dalam kalangan guru malah mana-mana kerjaya juga mempunyai cabarannya sendiri.

“Mereka yang berada dalam bidang perguruan cabarannya berbeza jika dibandingkan dengan mereka yang berada dalam kerjaya lain.

“Kita tidak boleh mengelak namun sebagai guru, mereka perlu akur dan menyematkan dalam diri bahawa inilah cabaran seorang guru yang mahu mendidik anak bangsa.

“Bukan senang,  kerana kita mendidik mereka yang bakal bergelar pemimpin. Tapi inilah bakti guru yang tidak pernah berubah biarpun zaman semakin jauh ke depan,” katanya.

Mengakui bahawa cabaran guru dulu dan kini berbeza namun dari segi tanggungjawab tetap sama.

“Tugas hakiki guru adalah memberi ilmu dan mendidik, inilah tanggung jawab mereka.

“Bezanya, cabaran dan sistem yang perlu berubah selari perubahan zaman, komposisi pelajar, permintaan dan piawaian dunia moden.

“Memang tidak adil jika kita membandingkan mereka kerana kedua-duanya hidup dalam zaman tidak sama,” katanya yang tidak menafikan guru dulu mempunyai kekentalan semangat yang tinggi untuk mendidik anak bangsa.

“Hasilnya, lihatlah bagaimana pelajar yang datang daripada keluarga miskin atau tidak berpendidikan boleh berjaya,” katanya.

Guru hari ini, akuinya, semakin hebat berdepan tekanan kerana ada ibu bapa suka mencari sebab menyalahkan guru walaupun perkara remeh-temeh.

“Guru dulu biarpun keadaan prasarana kurang namun mereka mempunyai kebebasan mencorakkan pelajar. Ibu bapa pula memberi sokongan yang padu dan tidak mengambil hati sekiranya anak dihukum.

“Sekarang, ibu bapa pula yang berlebih-lebihan mempertahankan tindakan anak (pelajar) apabila dihukum.

“Sudahlah tangan terikat dengan pelbagai peraturan dan kekangan, campur tangan ibu bapa menambah ‘kesengsaraan guru,” katanya.

Malah anggapan mengatakan kerjaya guru mudah, gaji menarik, banyak masa santai dan dianugerahkan cuti banyak sudah tidak relevan pada masa ini.

Katanya, bidang tugas guru hari ini terlalu banyak sehingga merangkumi kerja-kerja perkeranian selain senarai kursus yang perlu dihadiri.

“Jadi bagaimana mereka mahu fokus sedangkan lambakan tugasan lain juga banyak.

“Percaya atau tidak, masa bagi guru sebenarnya tidak cukup 24 jam sehari apatah lagi dengan pengenalan pelbagai sistem sekarang malah ada yang terpaksa berjaga hingga jam 2 pagi untuk menyelesaikan tugasan,” katanya.

Beliau turut memuji langkah pelbagai pihak membantu menaikkan imej guru, sekali gus memperkasakan lagi sektor serta sistem pendidikan negara.

Menurutnya, penawaran pelbagai insentif  perlu sebagai mekanisme penghargaan kepada golongan itu.

“Kita tidak boleh membeli nilai bakti mereka tapi insentif ini boleh menjadi penawar atas bebanan ditanggung itu.

“Pada masa sama, berikan ruang kebebasan dan kepercayaan untuk guru mencorakkan idea bagi mendidik pelajar. Percayalah, mereka ada banyak idea tapi kerana kekangan, ia tersekat,” katanya.

Guru moden juga disarankan bijak menggabungkan pelbagai idea untuk menjadikan sistem pembelajaran lebih seronok.

“Mereka perlu menjadikan konsep pembelajaran lebih menarik, efektif, kreatif dan kritis, bukannya statik.

“Guru juga perlu mengambil kira faktor perubahan persekitaran seperti sains dan teknologi kerana proses pendidikan bukan melalui buku semata-mata.

“Rugi jika tidak menggunakannya bagi meningkatkan lagi mutu pembelajaran dan pengajaran,” katanya.

Usaha melahirkan guru berkualiti juga katanya perlu dilaksanakan tanpa kompromi bagi memastikan pelajar dan sistem pendidikan memperoleh impak paling maksimum.

“Bagaimanapun, ini bukan bermakna mahu memperlekeh atau mempertikaikan kemampuan guru sedia ada. Mereka tetap yang terbaik.

“Cuma pastikan, mereka yang mahu menjadi guru benar-benar mempunyai azam tinggi serta mampu memberi komitmen terhadap tugas,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan