PUTRAJAYA: Kerajaan pada
Isnin bersetuju untuk memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji
sebanyak satu kenaikan gaji tahunan (KGT) yang diawalkan pada 1 Julai 2013,
kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, ini
bermakna setiap penjawat awam akan mendapat kenaikan antara RM80 hingga RM320.
"Langkah itu akan melibatkan
perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya pada Majlis Perdana
Perkhidmatan Awam ke-13 bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam,
Merealisasikan Wawasan 2020', di sini.
Turut hadir pada majlis itu
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara
Datuk Seri Dr Ali Hamsa serta menteri-menteri Kabinet.
Najib berkata semua insentif yang
diumumkan merupakan sebahagian daripada sistem saraan baru yang akan dikenali
sebagai Sistem Saraan Transformatif (STI).
Perdana Menteri juga berkata
berkuatkuasa 1 Januari 2013 semua struktur gaji maksimum dalam jadual Gaji
Minimum-Maksimum akan diperuntukkan tambahan kenaikan gaji tahunan sebanyak
tiga KGT.
"Ini bagi membolehkan
seramai 182,434 pegawai yang berada di gaji maksimum mendapat faedah pergerakan
gaji tahunan mulai tahun ini (2013) tertakluk kepada peraturan yang
berkuatkuasa.
"Semoga insentif itu
dimanfaatkan penjawat awam bagi meningkatkan motivasi mereka untuk terus
memberi sumbangan kepada negara," katanya.
Najib berkata, dalam memastikan
penjawat awam sentiasa berprestasi tinggi dan berproduktiviti, kerajaan turut
bersetuju Pergerakan Gaji Khas sebanyak tiga peratus diberikan kepada pegawai
yang mencapai dan berada di gaji maksimum tertakluk memenuhi syarat pergerakan
gaji tahunan termasuk syarat prestasi yang ditetapkan.
Perdana Menteri turut
menyampaikan berita gembira kepada pegawai kontrak yang berjumlah hampir 50,000
orang yang tamat kontrak pada 31 Disember 2013 bakal disambung setahun lagi
sementara kajian secara menyeluruh dilaksanakan.
Najib berkata, kerajaan juga
bersetuju menambah baik pelaksanaan urusan kenaikan pangkat kumpulan pelaksana
dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada
15 tahun kepada 13 tahun.
"Ia akan memanfaatkan lebih
17,000 penjawat awam yang layak. Kriteria penilaian kecemerlangan penjawat awam
yang menjadi asas pertimbangan kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat itu
akan dimuktamadkan bersama dengan semua pihak berkepentingan," katanya.
Beliau berkata kerajaan secara
prinsipnya turut bersetuju bagi melunaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat
iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan
Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.
"Kaedah pelaksanaannya
termasuk pembangunan kriteria dan struktur panel khas untuk ketiga-tiga laluan
baru tersebut akan diperincikan sebelum dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah mula mengadakan perbincangan dengan Ketua
Perkhidmatan atau Ketua Jabatan yang terlibat bagi penambahbaikan 22 skim
perkhidmatan yang berkaitan daripada segi perluasan skop, fungsi dan tugas
sewajarnya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan