Rabu, 22 April 2009

Pendekatan Menjawab Soalan Aspek Novel SPM

Soalan novel di peringkat SPM terdiri daripada dua soalan iaitu, 4a dan 4 b. Soalan 4a ialah soalan berdasarkan satu novel manakala soalan 4 b ialah soalan perbandingan antara dua novel. Soalan yang dikemukakan berupa soalan langsung yang menekankan reaksi, tanggapan, pandangan, alasan, atau pendapat calon tentang sesuatu aspek kesusasteraan dalam novel yang dikaji. Gabungan dua soalan aspek novel ini diperuntukkan 15 markah.

Untuk memastikan markah penuh diperoleh dalam peperiksaan, beberapa pendekatan menjawab yang berikut perlu dipatuhi:


i.Calon mesti menjawab soalan novel dalam bentuk esei. Jika tidak, calon akan kehilangan markah bahasa.

ii.Oleh sebab ada banyak novel yang tersenarai, maka calon perlu menyatakan dengan jelas nama novel yang dikaji.

iii.Seterusnya, jawapan calon perlu menjurus kepada aspek komsas yang ditanyakan dalam soalan.

iv.Setiap isi jawapan perlu dihuraikan dan disokong dengan contoh-contoh atau bukti-bukti yang bersesuaian berdasarkan novel yang dikaji ( bukan rekaan).

v.Calon perlu mempertimbangkan bilangan isi jawapan berpandukan peruntukan markah yang diberi.


CONTOH SOALAN:

Jelaskan empat nilai murni dalam novel yang anda pelajari. [8 markah]


Contoh jawapan 1:

(Tiada markah kerana menyebut nama watak dalam isi, bukan dalam bukti/ contoh)


Novel yang saya kaji ialah `Seteguh Karang’. Berdasarkan novel itu, Awanis menonjolkan nilai ketabahan. Contohnya, dia reda akan ketentuan takdir bahawa ayah dan ibunya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Selain itu, Kak Maysarah pula seorang wanita yang insaf. Dia menyedari perbuatannya yang selalu bermurung dan menyalahkan diri sendiri adalah sia-sia. Pak Oni pula seorang bapa saudara yang mempunyai nilai keprihatinan kerana dia mengambil berat akan anak-anak saudaranya. Kak Nor seorang ibu yang mempunyai nilai kasih sayang kerana sangat sayang akan anak-anaknya iaitu Ijam dan Farah.


Contoh jawapan 2:

(50 peratus markah kerana menjawab dalam bentuk poin)


Ketabahan:

Awanis tabah menghadapi kematian ibu dan ayahnya dalam kemalangan jalan raya.

Keinsafan:

Maysarah sedar akan sikapnya yang suka menyalahkan diri sendiri tidak wajar diteruskan.

Keprihatinan:

Pak Oni mengambil berat akan anak-anak saudaranya.

Kasih sayang:

Kak Nor sangat sayang akan anak-anaknya iaitu Ijam dan Farah.

4

Contoh jawapan 3 :

(Markah penuh kerana ada isi dan bukti / contoh yang sesuai dan ditulis dalam bentuk esei)


Novel yang saya kaji ialah `Seteguh Karang’. Novel ini memaparkan nilai kasih sayang. Buktinya, Awanis sangat mengasihi Anita walaupun Anita hanyalah adik angkatnya.

Selain itu, nilai kegigihan turut ditonjolkan dalam novel ini. Buktinya, Budi mengorbankan masa remajanya dengan bekerja keras di ladang kelapa sawit untuk menyara kehidupan keluarganya di Indonesia.

Dalam novel ini terdapat juga nilai keprihatinan. Buktinya, Pak Oni ialah seorang bapa saudara yang prihatin kerana dia mengambil berat akan anak-anak saudaranya.

Nilai keinsafan turut dipaparkan. Buktinya, Maysarah akhirnya sedar bahawa perbuatannya yang selalu bermurung dan menyalahkan diri sendiri hanya sia-sia.

2 ulasan:

  1. Cikgu Taufiq,
    Menurut pandangan saya, bagi kes (2), peraturan pemarkahannya begini :

    (1) Pelajar memberi nilai dan huraian bukti yang betul walaupun dalam bentuk poin. Maka markah isi ialah 6 jika ketiga-tiga nilai dan huraian bukti tepat seperti yang terdapat dalam skema jawaban.

    (2) Oleh sebab pelajar menjawab dalam bentuk poin, dia hanya berhak mendapat 50% daripada markah bahasa yang sepatutnya dia dapat. Jika dia menulis dalam ayat yang lengkap, markah bahasanya ialah 2, maka dia memperoleh 50% markah iaitu 1 markah bagi bahasa.

    Harap maklum.

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas pandangan tuan.Sememangnya benar peraturan pemarkahan LPM menyatakan sebagaimana pandangan tuan, namun pelajar sepatutnya dilatih untuk tidak mengabaikan jawapan berbentuk esei supaya tidak kehilangan sebarang markah dalam jawapan mereka.

    BalasPadam