Dasrizal Marah Naini (kanan) bersama Hajah Boussaq meraih Johan Tilawah Al-Quran pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-55 di PWTC malam tadi. |
KUALA LUMPUR - Tilawah
Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke-55 yang berlangsung di Pusat Dagangan
Dunia Putra di sini selama lapan malam berakhir malam tadi dengan peserta
Indonesia Dasrizal Marah Nainin muncul sebagai johan qari.
Bagi bahagian qariah, ia
dimenangi peserta Maghribi, Hajar Boussaq.
Naib johan qari pula dimenangi
peserta dari Iran, Mohammad Mashmoul sementara peserta Malaysia, Anuar Hasin
menduduki tempat ketiga.
Sementara Hanimzah Jalaluddin
dari Malaysia muncul naib johan bahagian qariah dan peserta Thailand, Natita
Manasiya menduduki tempat ketiga.
Johan bagi kedua-dua kategori
membawa pulang kepingan emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 bersama wang
tunai RM40,000, sebuah piala iringan, cenderamata dan sijil penghargaan yang
disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim
Mu'adzam Shah.
Turut berangkat Raja Permaisuri
Agong, Tuanku Hajah Haminah. Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul
Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff dan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir.
Dasrizal yang ditemui pemberita
selepas majlis penyampaian hadiah menyifatkan kemenangannya itu sebagai
anugerah daripada Allah S.W.T di atas usahanya selama ini selain dorongan
daripada keluarganya.
"Tak ada kata lain yang bisa
diungkap atas kemenangan ini yang bukan mengambil masa yang sekejap, dan saya
bersyukur menjadi peserta antara yang terbaik," kata pensyarah di Maahad
Tinggi Agama Islam Indonesia ini.
Hajar Boussaq, 23, pula
menyifatkan pengiktirafan sebagai johan qariah sebagai batu loncatan untuk
beliau mengembangkan pengetahun serta kemahirannya dalam bacaan ayat suci
Al-Quran.
"Saya tujukan kemenangan ini
kepada kerajaan Malik Mohammed ke-VI selain bersyukur kerana menjadi juara
dalam pertandingan yang mencabar di peringkat antarabangsa ini," kata
pelajaran jurusan Pengajian Islam di Universiti Hamzah II, menerusi terjemahan
kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Khalid Osman.
Hanimzah pula berazam untuk terus
memperbaiki mutu bacaannya yang diakuinya masih mempunyai kelemahan.
"Segala usaha saya tidak
sia-sia dan saya berpuas hati dengan kejayaan ini," kata penjawat Jakim
ini.
Seramai 43 peserta lain turut
menerima hadiah saguhati bernilai RM3,000 setiap seorang beserta cenderamata
dan sijil penyertaan.
Para juri berpendapat setiap
peserta telah memperdengarkan mutu bacaan yang amat baik serta lancar dengan
memelihara hukum tajwid.
Seramai 15 juri dari 10 negara
antaranya Jordan, Mesir, Maghribi, Arab Saudi, Lubnan dan Qatar
dipertanggungjawabkan untuk menilai bacaan setiap peserta.
Tilawah yang bertemakan
'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' bermula sejak 29 Jun lepas disertai 59
peserta terdiri daripada 37 qari dan 22 qariah dari 48 negara termsuk Sudan,
Timor Leste, Mesir, Maldives, Sri Lanka serta Mauritius. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan