Sabtu, 6 Julai 2013

ISU SOSIAL : 10 Sifat Majikan Terbaik


Oleh : Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail
 
Kecemerlangan memimpin mampu jalin hubungan baik dengan pekerja

Dalam memacu perkhidmatan bertaraf dunia dan kelas pertama, sering kita menoleh ke arah pekerja yang sememangnya menjadi modal utama organisasi.

Ia adalah suatu hakikat yang tidak boleh disangkal bahawa pekerja yang cemerlang adalah jaminan kepada organisasi yang cemerlang.

Namun, antara faktor utama penentu kecemerlangan pekerja itu adalah majikannya. Majikan cemerlang sebenarnya adalah pengemudi kejayaan organisasi.

Kecemerlangan majikan bukan saja terletak pada kejayaannya memenuhi sasaran kerja dan organisasi, tetapi kemampuan memimpin dan mengurus pekerja dalam suasana kasih sayang.

Pengurusan kasih sayang bermaksud pengurusan yang menjalinkan hubungan yang baik dengan menunjukkan rasa hormat, menghargai dan menjaga kebajikan pekerja.

Pengurusan kasih sayang juga tidak menggadai ketegasan khasnya dalam membuat keputusan yang menjamin kesejahteraan jangka panjang kepada pekerjanya.

Ini tidak bererti yang majikan terpaksa pula bersifat lemah lembut dalam semua keadaan dan tidak pula bertegas dengan pendiriannya saja dalam semua keadaan.

Tiada ertinya sesebuah organisasi itu berjaya sehingga dijulang ke tahap dunia tapi pekerjanya sendiri tidak merasa bangga dan seronok melaksanakan tugasan. Hal ini sangat penting apatah lagi apabila rata-rata pekerja menghabiskan masa yang lebih panjang di tempat kerja dari di rumah.

Saling menghormati

Justeru, suasana yang harmoni dengan jalinan hubungan majikan pekerja yang baik serta saling menghormati tidak boleh dipandang remeh kerana kita mahu berjaya dan merasakan kejayaan, bukannya tekanan yang mengundang ketidakpuasan hati, krisis, konflik, stres, gangguan emosi dan kesihatan.

Indeks Persekitaran Kerja menunjukkan bahawa suasana kerja yang selesa dan perhubungan majikan dan pekerja yang baik menyumbang kepada pengurangan pertikaian dalam organisasi.

Justeru, dalam mengurus dengan kasih sayang, beberapa langkah penting untuk memenuhi hak pekerja perlu diambilkira oleh majikan.

Ia meliputi matlamat, misi dan visi yang ingin dicapai dari semasa ke semasa agar benar-benar difahami oleh pekerja. Majikan perlu menyediakan ruang untuk pekerja menyalurkan pandangan dan hasrat mereka dengan jelas serta menggalakkan budaya menyuarakannya secara berhemah.

Pandangan dari pihak bawahan kepada pihak atasan perlulah dinilai secara objektif dan dimanfaatkan dalam perancangan dan membuat keputusan.

Pekerja akan merasa dihargai apabila pandangan dan keputusan majikan turut mewakili mereka. Majikan perlu mengamalkan ketelusan. Majikan boleh dianggap mengkhianati pekerja jika tidak mengamalkannya dalam pengurusan.

Penyediaan polisi pekerjaan yang menarik dan kompetitif meliputi peluang kenaikan pangkat, skim latihan, polisi keselamatan dan insentif. Elakkan budaya pilih kasih serta membodek agar semua pekerja dilayan dengan adil dan saksama.

Sabda Rasulullah SAW: Orang yang bekerja untukmu adalah saudaramu. Allah telah mentakdirkan mereka bekerja di bawahmu. (Riwayat Imam Bukhari dan al-Tirmizi).

Justeru, selain pekerja yang perlu menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berdedikasi, majikan juga perlu mengamalkan sifat dan nilai kecemerlangan.

Sepuluh panduan sifat majikan terbaik yang memiliki sifat al-Qawi dan al-Amin (kuat dan beramanah) ialah tidak membebani pekerja di luar kemampuan, mengutamakan kebajikan, menjamin keselamatan, mengeluarkan kata-kata dan bahasa sopan serta menghargai pekerja.

Selain itu, pembayaran gaji dan imbuhan dengan segera dan setimpal, menilai pekerja dengan objektif dan adil, menyediakan saluran dan peluang menyampaikan hasrat dan pandangan pekerja, mengamalkan perbincangan serta permuafakatan.

Pengurusan aduan dan konflik dengan bijaksana dan menyemarakkan suasana harmoni melalui jalinan tidak formal seperti dalam aktiviti keagamaan, rekreasi dan riadah adalah antara sifat majikan yang boleh dicontohi.

Rapatkan jurang hubungan

Langkah dan sifat yang diamalkan dengan benar oleh majikan ini dapat merapatkan jurang hubungan antara majikan dan pekerja serta menyediakan suasana persekitaran kerja yang kondusif lagi membahagiakan.

Ia sekali gus mampu mengubah suasana prejudis, menjemukan, putus asa, marah, konflik dan krisis kepada suasana tenang, ceria, optimis, berkeyakinan dan bersemangat yang dapat memberikan kepuasan bekerja. Pekerja yang ceria adalah pekerja yang inovatif, kreatif dan produktif.

Usaha ini menjadikan warga organisasi sebagai suatu pasukan kerja yang mantap sesuai dengan apa yang diingatkan dalam Surah al-Saff: Ayat 4 yang bermaksud, Sesungguhnya Allah suka orang yang berperang dijalan-Nya (untuk membela agamanya) dalam barisan yang teratur bagaikan sebuah bangunan yang tersusun kukuh.


Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan