Khamis, 22 Disember 2011

ISU PENDIDIKAN : 'Usah cuba hidupkan PPSMI'


Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com

Dasar MBMMBI turut tekankan bahasa Inggeris di kalangan pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran meminta semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) tidak cuba menghidupkan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan, bagi mengelakkan isu itu terus menjadi polemik yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Kerajaan telah membuat keputusan muktamad berhubung perkara itu dan menggantikannya dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang turut menekankan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata cubaan untuk menghidupkan semula PPSMI tidak sepatutnya timbul kerana kerajaan memutuskan untuk melaksanakan ‘soft landing’ sehingga 2021 bagi membolehkan pelajar sekolah rendah dan menengah di bawah sistem PPSMI meneruskan pengajian seperti biasa dalam dwibahasa atau Bahasa Inggeris.

“Kita telah putuskan untuk mansuhkan PPSMI, tetapi untuk bersikap adil kepada pelajar kementerian buat ‘soft landing’ hingga 2021 supaya pelajar di bawah PPSMI tidak terganggu pelajaran mereka.

“Sepatutnya perkara ini (cubaan untuk hidupkan PPSMI) tidak timbul kerana ia akan menimbulkan polemik saja.

“Kalau pihak terbabit bimbang mengenai penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, kerajaan melakukan penambahbaikan itu dalam MBMMBI. Pengajaran bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam dasar baru itu bagi memastikan anak-anak kita dapat menguasai bahasa itu tanpa meninggalkan bahasa kebangsaan,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Mohd Puad mengulas tindakan Pertubuhan Ibu Bapa Prihatin Selangor (CPS) menyerahkan lebih 12,000 surat yang didakwa rayuan ibu bapa pelajar dari sekitar Petaling Jaya, kelmarin yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan proses pemansuhan PPSMI.

Pengerusi CPS, Samsudin Hamid berharap Perdana Menteri menimbang semula pemansuhan itu kerana ia membabitkan agenda nasional dan masa depan generasi muda dan pembangunan negara dengan menekankan pengajaran dan pembelajaran dua subjek itu dalam bahasa Inggeris tanpa mengetepikan peranan Bahasa Malaysia selaku bahasa kebangsaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan keputusan kerajaan memansuhkan dasar PPSMI adalah muktamad dan tidak akan tunduk kepada ugutan berbaur politik serta mahu polemik itu dihentikan demi kebaikan semua pihak.

Mohd Puad berkata, statistik terkini kementerian menunjukkan hanya lima peratus sekolah rendah di seluruh negara menggunakan bahasa Inggeris dalam kelas, manakala kurang 10 peratus sekolah menengah menggunakan bahasa itu sepenuhnya dalam kelas.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan