Oleh : NORIZAN ABDUL MUHID
Setiap kali bermulanya pembukaan
sesi persekolahan baharu setiap tahun, Kementerian Pelajaran pasti berdepan
senario pendaftaran murid tanpa dokumen sama ada dalam kalangan ibu bapa warga
tempatan mahupun rakyat asing yang bermastautin di negara ini.
Namun begitu, menurut Pengarah
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan
Mohamad, halangan itu tidak pernah dipandang ringan dan sentiasa diperbaiki
pihaknya bagi memastikan kanak-kanak dan remaja di negara ini mendapat
pendidikan sewajarnya, tanpa mengira agama, bangsa atau latar belakang
keluarga.
Beliau memberitahu, terdapat
banyak kategori berkaitan masalah pendaftaran murid atau pelajar dari peringkat
prasekolah hingga tingkatan enam seperti ibu bapa warga tempatan yang tidak
mempunyai dokumen yang mengesahkan kelahiran anak.
"Kes seperti ini berlaku
disebabkan banyak faktor antaranya termasuklah ibu bapa yang bernikah di luar negara
dan tidak mendaftarkan perkahwinan tersebut, yang menyebabkan Jabatan
Pendaftaran Negara (JPN) tidak dapat mengeluarkan sijil kelahiran anak.
"Namun, murid berkenaan
masih boleh memasuki sekolah dengan syarat ibu bapa mengisi dua borang yang
disediakan Unit Perhubungan dan Pendaftaran Jabatan Pendidikan negeri di
samping perlu mendapat pengesahan daripada ketua kampung di kediaman masing-masing,''
katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.
Menurutnya, kesulitan pendaftaran
masuk murid yang tidak mempunyai dokumen diri berlaku apabila ibu bapa membuat
tafsiran tiada halangan mendaftarkan anak mereka ke sekolah walaupun tidak
mempunyai sijil kelahiran.
"Ramai yang masih mempersoalkan
pihak sekolah tentang perkara ini, antaranya kenapa anak tidak boleh masuk
sekolah sedangkan ibu bapanya rakyat tempatan; tetapi kita mahukan kepastian
tentang status anak berkenaan, mungkin anak angkat sebab itu perlu ada pengesahan ketua
kampung,'' katanya.
Senario tersebut, katanya,
walaupun hanya melibatkan segelintir kecil ibu bapa namun kementerian tetap
memandang serius perkembangan itu kerana membuktikan masih wujud kekeliruan
berhubung garis panduan tersebut.
Katanya, kesulitan juga berlaku
apabila ibu bapa tidak mempunyai dokumen diri dan senario tersebut sering
berlaku di kalangan masyarakat Orang Asli dan pedalaman namun melalui proses
pendaftaran JPN, persekolahan murid tetap diteruskan.
Senario lain yang turut berlaku
adalah di kalangan ibu bapa rakyat asing yang bekerja secara sementara dengan
agensi kerajaan atau badan berkanun.
Kelompok ini dikehendaki membayar
yuran pendaftaran RM120 setahun per murid untuk sekolah rendah manakala RM240
setahun per murid pula bagi sekolah menengah dan tanpa sebarang kemudahan
pendidikan seperti bantuan buku teks, bantuan makanan atau wang khas RM100.
"Selain boleh ke sekolah
antarabangsa, kita juga menyediakan pusat pembelajaran setempat misalnya untuk
pekerja ladang Indonesia di Sabah dan kita pastikan pembelajaran mempunyai
konsep 3M (Membaca, Menulis dan Mengira),'' katanya.
Sementara itu, kata beliau, ibu
bapa warga asing yang mahu mendaftarkan anak mereka perlu membayar yuran
persekolahan sama ada RM120 atau RM240 beserta pas belajar.
Menurut Mazlan, kesulitan seperti
itu boleh diatasi sekiranya ibu bapa memainkan peranan dengan mematuhi garis
panduan yang ditetapkan dan tidak menunggu saat-saat akhir untuk mendaftarkan
anak mereka memasuki sekolah.
"Paling utama, kerajaan
sentiasa menitikberatkan kepentingan pendidikan untuk semua, tidak kira latar
belakang keluarga murid terlibat, apa yang penting, dia tetap mendapat
pendidikan sewajarnya namun bagi warga negara asing, mereka harus mematuhi
peraturan yang ditetapkan,'' tegasnya.
Setakat Julai tahun lalu,
terdapat kira-kira 2,261 murid bukan warga negara bersekolah rendah di negara
ini termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara dengan
bilangan paling ramai dikenal pasti di Sarawak iaitu seramai 830 orang.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan