Isnin, 4 Februari 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Memperkasa peranan, inovasi IPT tempatan


Oleh : Dr Ibrahim Komoo
 
Amanat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sempena tahun baru 2013 adalah kesinambungan wawasan beliau yang telah disampaikan pada 2011 dan 2012. Tema amanat tahun ini ialah ‘Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia’.

Beliau ingin membawa IPT negara ke suatu tahap kecemerlangan yang tinggi, dihormati pada peringkat global dan menjadi sumber rujukan keilmuan berwibawa pada peringkat kebangsaan.

Jelas dalam ucapan beliau, satu paradigma baru perlu diperkenalkan untuk memasyarakatkan pengajian tinggi. Beliau menyatakan, universiti bukan sekadar pusat pengajian tinggi atau menara gading, tetapi adalah institusi pencinta ilmu, tempat di mana pengetahuan dikumpul dan ilmu baru diterokai, disampaikan kepada pelajar dan dipindahkan kepada masyarakat.

Ini bererti, penjanaan ilmu tidak mempunyai makna jika ia hanya dikongsi sesama rakan cendekiawan.

Gerak R&D

Tidak seperti di kebanyakan negara maju, IPT di Malaysia mempunyai tanggungjawab berat untuk menggerakkan R&D dalam beberapa bidang strategik negara untuk menjana ekonomi berinovasi. Ini adalah peranan baru yang diberikan kepada lima Universiti Penyelidikan - UKM, UM, USM, UPM dan UTM.

Pelbagai inisiatif, meliputi dana penyelidikan khas, diberikan selama ini untuk menganjak keupayaan institusi menghasilkan produk berteknologi tinggi untuk dikomersialkan. Kini, telah tiba masanya masyarakat ingin melihat hasilnya.

Pada 2013, KPT telah memperkenalkan beberapa inisiatif baru, khususnya untuk memantau produktiviti dan keberkesanan pemindahan teknologi. Dua platform baru bakal diperkenalkan ialah mewujudkan Idea Interchange and Connection Bank yang berupaya mengalirkan hasil intelek berpotensi ke pasaran global.

Bagi Universiti Komprehensif Berfokus pula, Mohamed Khaled menunjukkan keprihatinan tinggi untuk melonjakkan keupayaan penyelidikan dan inovasi pada tahap lebih tinggi.

Beliau menegaskan: “Kini telah tiba masanya kita memberikan tanggungjawab dan kepercayaan kepada Universiti Komprehensif Berfokus untuk menentukan hala tuju, strategi dan pengurusan penyelidikan dan inovasi mereka supaya lebih berkesan dan berimpak tinggi”.

Untuk mengembalikan roh pembelajaraan dan pengajaran, beliau percaya kualiti graduan IPT mesti diperkukuhkan lagi, terutama dalam aspek kemahiran pemikiran peringkat tinggi.

Beri lebih perhatian

Dalam konteks ini, beliau menyeru supaya IPT memberikan perhatian utama dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Perancangan strategik untuk menganjak pendekatan lama kepada transformasi kurikulum berasaskan hasil dan pengajaran berpusatkan pelajar perlu diperkukuh.

Satu aspek yang menarik perhatian saya dalam amanat menteri ialah wawasan menjadikan IPT di Malaysia pemacu komuniti ASEAN. Kita sedia maklum menjelang 31 Disember 2015, negara di rantau ini sepakat untuk mewujudkan gagasan ‘Komuniti ASEAN’ dan Malaysia bakal menjadi pengerusi Sidang Kemuncak pertamanya.

Pada prinsipnya, komuniti ASEAN bakal dibangunkan bertunjangkan penguasaan pengetahuan berasaskan penyelidikan, tenaga mahir, ekonomi hijau dan masyarakat yang berdaya saing dalam persekitaran lestari. Soalnya, apakah ahli akademik tempatan sudah bersedia untuk memacu gagasan baru ini?

Saya dapati kebanyakan program pengajian dan penyelidikan di IPT tempatan, khususnya universiti awam masih menyahut keperluan dan cabaran tempatan. Ahli akademik yang mempunyai orientasi rantau atau global masih sangat terbatas dan mereka dilihat sebagai golongan terpinggir yang tidak peka terhadap tuntutan kebangsaan.

Hadapi cabaran besar

Paradigma berorientasi global bakal menghadapi cabaran besar dalam konteks pelaksanaan. Oleh itu, pandangan jauh beliau membawa gagasan komuniti ASEAN adalah langkah pertama yang perlu disanjung dan mampu membawa IPTA berganjak ke arena global.

Amanat tahun baru telah menghuraikan pelbagai wawasan dan inisiatif baharu untuk merangsang universiti tempatan menjadi pemacu daya saing Malaysia. Keupayaan dan pandangan jauh beliau menterjemah pelan transformasi kerajaan dalam konteks hala tuju dan pelan tindakan pelaksanaan pembangunan tinggi negara perlu dipuji.

IPT tempatan bernasib baik kerana mempunyai pemimpin negara yang sangat prihatin untuk meletakkan pengajian tinggi pada kedudukan tepat. Pemimpin di peringkat universiti perlu menterjemahkan amanat ini kepada perancangan pembangunan berasaskan keupayaan dan hala tuju universiti masing-masing.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan