Oleh : SUHARNE ZAINUDIN
SELALU kita mendengar kata-kata,
"umur masih mentah... apalah yang ditahunya" bagi merujuk kepada
remaja yang ditafsirkan sebagai golongan belum tahu serba serbi, berfikiran
tidak matang. Tetapi apabila menyaksikan kejutan jenayah yang dilakukan ramai
remaja kini, adakah kata-kata ini masih
relevan diguna pakai?
Mungkin agak tidak berapa sesuai
(kini), apabila mendakwa golongan remaja tidak tahu serba serbi hanya
semata-mata berusia muda, kerana laporan berita dan statistik jenayah yang
dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuktikan, apabila menyentuh
bab jenayah dan kesalahan melanggar undang-undang, ramai remaja 'bijak'.
Dalam jenayah merempit, ramai
anak remaja pandai mengubah suai motosikal semata-mata mahu menjadi jaguh di
litar haram, dalam jenayah lari dari rumah, memperlihatkan ramai golongan yang
dikatakan 'tidak tahu apa-apa' ini tahu meloloskan diri daripada jagaan ibu
bapa, manakala dalam jenayah buli, rata-rata remaja yang terlibat semuanya tahu
memukul dan bergumpal.
Jadi, melihat kepada keadaan ini
kata-kata 'umur masih mentah... apalah yang ditahunya' tidak sesuai lagi diguna
pakai, kerana dalam sesetengah perkara 'mereka' ini sangat pandai, mengalahkan
dewasa.
Kini, seiring dengan negara yang pesat
membangun, usaha melibatkan program sosial bagi menangani masalah sosial remaja
tidak lagi dipandang sepi. Contohnya pihak PDRM kini kerap melaksanakan program
cegah jenayah.
Bukan setakat itu, hukuman yang bakal diterima atas setiap jenayah dilakukan turut didedahkan.
Pihak sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga semakin giat mendedahkan
informasi berhubung jenis jenayah dan hukuman yang bakal diberi dalam usaha
mendidik dan membendung jenayah daripada berlaku dalam kalangan remaja.
Namun, persoalannya adakah usaha
tersebut berhasil mencapai objektif 100 peratus? Apakah keadaan tersebut tidak
berubah langsung atau ada sedikit perubahan? Atau sebenarnya semakin
menjadi-jadi? Dalam bahasa mudah dan sering dituturkan, ramai orang kini 'buat
dek'. Golongan remaja yang suka melakukan jenayah ini seperti ‘buat dek’ dengan segala hebahan dan nasihat yang
diberikan.
Ditambah pula kewujudan media baharu,
remaja kini semakin bijak. Pada asalnya kecanggihan media baharu dicipta untuk
kebaikan namun sebaliknya berlaku jika disalah guna sehingga ramai remaja
terjebak ke kancah jenayah seperti berkenalan dengan individu tidak bermoral
dan menonton gambar lucah yang berpotensi mendorong melakukan jenayah lari dari
rumah, bunuh, rogol, cabul dan buli.
Membicarakan perihal ramai remaja
kini berani melanggar undang-undang bukanlah sesuatu yang baru. Ia isu berulang
ibarat hal yang tidak pernah sudah. Maka, adakah kita tidak perlu membincangkan
hal ini lagi semata-mata menganggapnya isu lapuk? Jika wujudlah masyarakat yang
terus berpegang kepada pandangan
'biarlah, sebab tak pernah habis' adakah ini pendekatan paling baik? Bicara
Isnin percaya, sesuatu hal jika dibawa dalam bentuk nasihat, ia tidak wajar
dikatakan sebagai lapuk kerana dalam hal menasihati anak remaja janganlah kita
pernah berhenti walaupun menjangkau beberapa generasi lagi.
Jenayah lari dari rumah
Kajian menunjukkan tekanan
keluarga serta pernah dihalau menjadi faktor pendorong bagi golongan remaja
bertindak untuk melarikan diri dari rumah, menurut dapatan satu kajian yang dikeluarkan
oleh sebuah badan sosial.
Pengarah Institut Sosial Malaysia
(ISM) Prof Mohd Fadzil berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan pada 2010
itu, didapati sebanyak 37.2 peratus daripada 379 remaja yang pernah melarikan
diri dari rumah menyatakan mereka berbuat demikian kerana pernah dihalau keluar
rumah selepas melakukan kesalahan.
“Kajian ini dijalankan ke atas
remaja berusia 12 hingga 18 tahun masing-masing 42.7 peratus lelaki dan 57.3
peratus perempuan turut mendapati faktor lain berpunca daripada rasa ingin
bebas daripada kongkongan, pernah bergaduh dengan anggota keluarga dan rakan
selain daripada pengaruh ajakan rakan,” katanya yang dilaporkan Bernama.
Katanya daripada jumlah tersebut,
remaja berusia lingkungan 16 hingga 18 tahun mencatatkan peratusan tertinggi
bagi kes lari rumah iaitu 67.8 peratus diikuti dengan 14 hingga 15 tahun (27.9
peratus) dan 12-13 tahun (4.3 peratus).
Kes lari dari rumah untuk kali
pertama yang dilakukan oleh mereka ini adalah ketika mereka berusia 13 hingga
15 tahun dengan mencatatkan sebanyak 65.2 peratus diikuti dengan 10 hingga 12
tahun (20.1 peratus), 16 hingga 18 tahun (12.1 peratus) dan 10 tahun merekodkan
sebanyak 2.6 peratus.
Katanya, bagi golongan remaja
seperti ini mereka berpotensi bertindak secara berani untuk melarikan diri dari
rumah secara berulang apabila sekali mereka pernah berbuat demikian.
Prof Mohd Fadzil berkata, remaja
seharusnya sedar bahawa tindakan lari dari rumah itu sebenarnya secara langsung
boleh merisikokan mereka untuk terbabit dalam kegiatan jenayah.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan