Isnin, 4 Februari 2013

ISU PENGAJIAN TINGGI : Mendidik, bukan mengherdik


Oleh : SAIFUDDIN ABDULLAH

Video “Listen, listen, listen” menjadi buah mulut ramai. Ia menayangkan situasi KS Bawani, pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), yang sedang bercakap dihentikan percakapannya oleh Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin, Pengerusi Suara Wanita 1Malaysia (SW1M), dengan cara yang tidak sesuai, iaitu dengan nada suara yang meninggi dan menarik pembesar suara. Ini diikuti dengan Sharifah berleter terhadap Bawani yang senyum mendengarnya sebelum beredar ke tempat duduknya.

Insiden ini berlaku dalam Forum Suara Mahasiswa di UUM yang dihadiri kira-kira 2,300 mahasiswa UUM pada awal Disember 2012. 

Video ini telah ditonton kira-kira 1.5 juta kali. Sekiranya dicampur dengan video, remix dan vlog tentangnya, ia menjangkau 5 juta kali. Ini sebelum dicampur dengan komentar-komentar dalam Facebook, Twitter, blog dan sebagainya. Sebahagian penontonnya turut menonton video/filem “2+2=5” dan “3 Idiots”, yang ada kaitan dengan video ini.

Saya mendapat maklumat tentangnya pada 14 Januari lalu. Saya menontonnya, menyatakan pendapat dalam Facebook dan Twitter, serta menelefon Bawani. Pada 18 Januari lalu, saya bertemu Bawani di Bangsar.

Pada saya, Sharifah sepatutnya membenarkan Bawani menghabiskan percakapannya. Kalaupun ingin menghentikannya, terdapat cara lain yang lebih baik. Selepas itu, Sharifah boleh tidak bersetuju dengan apa yang diutarakan Bawani. Tetapi, berhujahlah dengan bijaksana. Sekurang-kurangnya, tidak perlu menggunakan ayat yang membawa maksud adalah lebih baik Bawani meninggalkan Malaysia dan UUM.

Cara Sharifah yang berleter dan memperkecilkan Bawani adalah tidak baik. Beliau sepatutnya menggunakan cara yang lebih baik, misalnya, seperti yang ditunjukkan oleh ayat al-Quran, an Nahl:125, iaitu: dengan bijaksana, dengan pengajaran yang baik dan berdebat atau berhujah dengan cara yang terbaik.

Kini, persoalannya ialah mengapakah video ini menjadi viral? Ia bukan sahaja ditonton oleh sekian ramai, malahan menjadi perbualan dan jenaka di mana-mana – media sosial, kedai kopi, seminar dan mesyuarat.   

Saya fikir ia menjadi viral kerana terdapat begitu ramai yang pernah, sama ada terkena, melihat atau mengetahui tentang insiden yang seakan-akan sama. Justeru, mereka dapat menyelami apa yang dirasai Bawani. Ada yang merasa senasib dengan Bawani. Ada yang bersimpati pada Bawani. Malahan ada yang menganggap Bawani adalah ikon mereka.

Sebenarnya insiden “Listen, listen, listen” atau yang seakan-akan dengannya selalu berlaku dalam masyarakat kita. Berterus-teranglah.

Ia berlaku, antara lain, akibat “budaya takut” yang menular, contohnya: sebahagian guru/pensyarah tidak menggalakkan pelajar bertanya atau berhujah; sebahagian orang dewasa memperlekeh orang muda; salah tafsir undang-undang tertentu, seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan wujudnya peraturan-peraturan tidak munasabah; melabel orang yang berbeza pendapat; syarat-syarat mesti dipatuhi untuk mendapat sesuatu, contohnya, tinggal di asrama pelajar; takut dapat markah kurang atau tidak naik pangkat; dan sebagainya. 

Tetapi, oleh sebab ia tidak dilaporkan atau didokumenkan, maka, ia umpama “api dalam sekam”. Apabila video ini muncul, maka, ramai yang seakan-akan berkata, “Wahai dunia, dengarlah!”. 

Secara kebetulannya, insiden ini berlaku pada masa yang strategik. Pada 30 Januari lalu, Kabinet membincangkan laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, iaitu strategi baru pendidikan negara peringkat sekolah. Manakala, sehari sebelumnya, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin mengumumkan bahawa Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara juga akan dikaji semula.

Semua ini diharap dapat meningkatkan kualiti pendidikan negara. Ia juga diharap dapat mengurangkan, kalaupun tidak menghapuskan sama sekali, budaya takut dalam masyarakat kita.

Akhirnya, saya cadangkan pembaca menonton (Youtube) video Mat Luthfi, “Parodi forum suara mahasiswa”.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan