Oleh : Ruhaiza Rusmin
Biarpun ada pihak berpendapat, penarafan
bukan satu keutamaan dalam mengukur kemampuan sesebuah institusi, namun tiada
siapa mampu menyangkal kepentingan dan prestijnya anugerah itu.
Dilihat sebagai standard
institusi membina nama di persada dunia pendidikan tinggi, penarafan sama ada berstatus
tempatan mahupun antarabangsa sering kali menimbulkan komentar sokongan ataupun
kritikan.
Simboliknya, ada beranggapan
penarafan hanya satu pengiktirafan di atas sehelai sijil dengan tidak mungkin
memudaratkan tanggungjawab sedia ada.
Ada pula beranggapan, ia bukan
semata-mata melonjakkan imej institusi, malah memberi kelebihan berganda dalam
usaha menjadikannya lebih dikenali.
Jadi, sejauh mana kepentingan
penarafan itu?
Naib Canselor Universiti Tun
Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata,
kepentingan penarafan boleh ditakrifkan sebagai penanda aras bagi memacu
kewibawaan institusi ke arah lebih profesional dan diperakui.
Beliau berkata, meskipun ada
pihak mempertikaikannya, penarafan menjadi pemangkin terhadap usaha dilakukan
bagi memartabatkan penguasaan ilmu serta peningkatan kualiti.
“Justeru, pemberian penarafan itu
memang penting kerana sebahagian besar aspek akan dinilai dan diberi penanda
aras bagi menentukan piawaian.
“Bukanlah bermakna jika tiada
penarafan institusi tidak bagus tapi ini adalah pencapaian. Jadi bagi mereka yang
mempertikaikannya, lihat daripada skop luas betapa perlunya penarafan ini.
“Pengiktirafan itu adalah simbol
kekuatan, kejayaan dan kesungguhan institusi dalam setiap usahanya,” katanya.
Beliau juga tidak menyangkal isu
penarafan sering dipolemikkan terutama institusi yang dikatakan hanya gah di
peringkat tempatan, namun gagal menyerlah di peringkat antarabangsa.
“Minda kita sering dimomokkan
dengan tanggapan negatif seperti institusi kita tidak setanding, kurang
keupayaan dan bertahap sederhana.
“Seharusnya mentaliti ini tidak
ada sebab ini adalah institusi kita. Seharusnya kita bangga kerana institusi
kita berani menyahut cabaran dan bersaing untuk memperoleh kedudukan yang baik.
“Biarpun tahu tahap masih jauh,
itu bukan penghalang mereka mencuba. Sekurang-kurangnya mereka dapat belajar
untuk mengatasi dan memperbaiki kelemahan,” katanya yang turut kesal apabila
penarafan dibuat seolah-olah diperlekehkan.
“Ini bukan soal kalah menang atau
mampu memperoleh kedudukan baik. Ini soal peningkatan kepercayaan, kemahuan
bersaing juga penambahbaikan kelemahan.
“Kita perlu melihatnya dari sudut
positif, jangan asyik membina prasangka yang bukan-bukan.
“Institusi juga perlu belajar dan
sentiasa belajar untuk mencapai kemajuan. Lagipun, ini soal pendidikan jangka
panjang dengan pembabitan bukan saja untuk institusi, malah semua pihak,”
katanya.
Setiap usaha untuk mencapai
penarafan, juga adalah rentetan untuk memperoleh perkongsian pengalaman, ilmu,
kerjasama serta menyahut cabaran.
“Sebab itu, jangan ada pihak
mengatakan penarafan institusi tidak penting. Ia sebenarnya sebahagian
eksperimen untuk melihat sejauh mana keupayaan sistem pendidikan kita berfungsi
dari semasa ke semasa.
“Mungkin mereka yang menidakkan
ini juga merasakan, ia hanya berkaitan nombor kedudukan yang bukan menjadi satu
masalah besar.
“Masalahnya, kita berurusan
dengan kepercayaan masyarakat yang boleh berkata apa saja. Justeru, peningkatan
sistem pendidikan tinggi mesti diambil kira untuk kita nilaikan di mana tahap
kemampuan sedia ada,” katanya.
Beliau menegaskan, pemberian
penarafan sama ada dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Sistem
Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) atau luar negara seperti Times
Higher Education (THES) bukanlah untuk mengkritik atau membandingkan sesebuah
institusi.
Sebaliknya sebagai ‘amaran’
supaya institusi memperbaiki kelemahan sedia ada dan berusaha melonjakkan
potensi ke tahap paling tinggi.
“Dunia pendidikan hari ini sangat
kompleks, persaingan juga pilihan wujud di mana-mana. Akses pendidikan juga
tidak terbatas.
“Penilaian untuk penarafan
diberikan agar kita mahu berubah dan berusaha melangkau kemampuan.
“Kita tentu mahu institusi
tempatan menjadi buah mulut orang luar, jadi jangan banyak ragam atau rungutan
kerana ia sangat merugikan,” katanya.
Biarpun kebelakangan ini isu
berkenaan kurang mencetuskan reaksi masyarakat, masih dianggap antara
keutamaan dalam nadi dunia pendidikan tinggi negara.
Penarafan berkenaan turut
diiktiraf sebagai kayu pengukur dalam menentukan kemampuan institusi negara
menyahut cabaran pendidikan global selain meninggikan lagi status sedia ada ke
tahap sasaran.
Mengulas mengenai perbandingan
penarafan diberi iaitu tempatan dan antarabangsa, beliau berkata, penilaian
biarpun berbeza namun masih mengekalkan ciri-ciri sama.
Menurutnya, setiap ciri itu
pastinya menekankan mengenai aspek tertentu seperti bilangan pelajar,
pensyarah, pengantarabangsaan, jurnal dan budaya kerja menjadikan kedua-duanya
tetap serupa biarpun berbeza taraf.
“Setiap penilaian melihat
komposisi atau spesifikasi tertentu, namun sama ada tempatan ataupun
antarabangsa, aspek dinilai tidak banyak bezanya.
“Ia disesuaikan dengan keperluan
mengikut kelas penilaian serta penilai tertentu bagi mematuhi kriteria
ditetapkan.
“Keutamaannya ialah mahu melihat
bagaimana keberkesanan institusi terbabit melaksana dan mencapai piawaian
mengikut garis panduan ditetapkan. Boleh atau tidak,” katanya menyangkal
standard tempatan lebih rendah.
“Itu tanggapan tidak tepat.
Memang kalau sudah bertaraf antarabangsa, standard ditetapkan tinggi dan
profesional.
“Tapi tidak bermakna tempatan
tidak mempunyai standard kerana penilaian dibuat juga berstatus tinggi.
“Jika tidak, masakan hanya ada
beberapa institusi saja mampu memperoleh tahap (tier) lima daripada ratusan
institusi tempatan sedia ada. Ini menunjukkan penarafan tempatan juga bukan
mudah diperoleh,” katanya.
Walaupun kedudukan institusi
tempatan dalam penarafan antarabangsa dikatakan tidak konsisten, masih belum
terlambat untuk memperbaiki kedudukan.
“Dalam aspek pendidikan, tiada
istilah terlambat atau tercepat kerana proses pengembangan ilmu sentiasa
berlaku.
“Yang perlu digerakkan ialah
memperbaiki kelemahan, menetapkan sasaran, berani berfikir di luar kotak dan
melakukan perubahan.
“Pada masa sama, kita berikan
juga penghormatan sewajarnya kepada institusi negara supaya mereka sentiasa
kuat untuk bersaing,” katanya.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan