Oleh : SRI DIAH
Semalam saya bertemu dengan Man
Buncit. Dia masih seperti dulu. Tak perlulah saya terangkan lebih lanjut
siapakah beliau dan bagaimana bentuk tubuhnya. Nama panggilannya sahaja sudah
menjelaskan siapa dia dan seperti manakah perilaku orangnya.
Minggu lalu, saya berjumpa
dengan Tipah Lenggang. Iya, Latifah
kawan sekampung yang masih solo walaupun usia sudah menjangkau 50an. Latifah
masih lagi berlenggang - ke kedai, ke surau… tetap melenggang-lenggang apabila
berjalan.
Sepanjang bercuti Aidilfitri,
berziarah ke rumah rakan-rakan di ibu kota kita mendengar ada banyak nama pelik
digelar pada seseorang. Semasa balik kampung, lagilah banyak nama gelaran yang
kita dengar. Tersenyum simpul kita dibuatnya.
Suasana desa lain, tak sama
dengan di bandar. Jika di desa, panggilan-panggilan yang begitu adalah lumrah
dan orang kampung berkenaan tidak akan marah jika kita memanggil mereka dengan
gelaran pelik. Namun itu tidak di bandar, kita mungkin akan dikejar dengan
parang!
Bayangkan kalau kita panggil
rakan kita, terjerit-jerit memanggilnya Zin Badak! Hah… siaplah. Memang si
polan akan marah, naik angin dan silap-silap dia akan mengamuk berapi-api,
marah macam badak mengamuk…!
Nama mempunyai suatu pengaruh
yang signifikan dalam kehidupan kita. Daripada nama kita dapat mengetahui ras
seseorang serta status agamanya. Orang-orang tua masih percaya nama akan
mempengaruhi sifat dan sikap seseorang.
Sebab itulah, kadang-kadang kita
mendengar cerita orang-orang dahulu nama mereka ditukar daripada nama asal
diberikan semasa kecil, mungkin kerana tidak sesuai atau ada sesuatu yang tidak
kena.
Kita percaya panggilan atau
gelaran itu jika disebut banyak kali akan jadi satu doa. Tak dapat dijangka
apakah panggilan kita pada seseorang itu satu doa atau hanya satu pengenalan
sahaja.
Jika dia penjual gaharu kita akan
panggil dia Lan Gaharu. Samalah juga jika dia penjual nasi lemak, kita akan
panggil Mak Jah Nasi Lemak. Kita tidak ada niat buruk, melainkan untuk
menjelaskan siapa kita maksudkan.
Zaman sekarang nama seseorang
lebih bersifat populariti terutamanya dalam kalangan belia dan remaja. Mereka
mungkin segan atau malu jika rakan-rakan memanggil dengan nama asal seperti
Fatimah, Zulkarnain atau Fadhilah. Bahkan mereka mungkin meminta rakan-rakan
memanggil dengan nama lebih glamor seperti Fetty, Zack ataupun Dyla.
Ramai juga yang memanggil rakan
dengan sebahagian sahaja daripada nama mereka seperti Kamarul (Raul), Bazli
(Bazz), Firdaus (Fir) dan lain-lain. Ada juga yang ‘menukar’ nama kepada
ala-ala orang putih seperti Burn (Bakar), Kathy (Khatijah), Remy (Rahimi) dan
lain-lain.
Bagaimana pula jika namanya
dipanggil seperti mana tubuh badannya seperti Man Buncit tadi? Jika kebetulan
Maria itu jongang, kita akan panggil Maria Jongang. Jikalau Remlee itu tonggek
maka kita akan memanggil dia Ramlee Tonggek. Sekiranya Abu Bakar itu telinganya
agak besar dan kembang kita akan panggil Bakar Capang. Atau jika Zainal itu
botak, kita akan panggil dia Zai Bo (dia kawan saya!).
Gelaran-gelaran berkenaan
sepatutnya tidak disebut apabila berbicara kerana ia akan menimbulkan kemarahan
dan kebencian, seterusnya boleh membawa kepada berdendam serta bermusuhan.
“Wahai orang-orang beriman!
Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka
(yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada mereka (yang memperolok-olok), dan
janganlah pula perempuan-perempuan (mengolok-olok) perempuan lain, (kerana)
boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik daripada perempuan
(yang memgolok-olok).
Janganlah kamu saling mencela
satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelar-gelar yang buruk.
Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) sesudah beriman.
Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang
zalim.” (al-Hujurat: 11).
Semasa berziarah hari raya, saya
berkata pada tuan rumah pertama yang saya mahu ke rumah Cikgu Ismail. Tuan
rumah bertanya, “Cikgu Mail Panjang ya?”. Saya angguk, memang Cikgu Ismail itu
orangnya tinggi (panjang?). “Oh… rumah dia sebelah rumah Pak Tam Bongkok.
Sebelah belakang, rumah Mak Ngah Nyanyuk…”
Saya dan keluarga tersipu-sipu
mendengarnya. Dalam hati saya berkata, agaknya diri saya ini apalah panggilan
yang dia beri? Mungkinkah Sri Cantik, Sri Buruk atau Sri Gemuk? Aduhai…
Jangan ambil mudah, seorang Mak
Hajjah amat kecewa apabila dia sudah berhabis wang beribu ringgit menunaikan
haji cara pakej tapi orang tak panggil dia gelaran Hajjah.
Seorang Datin juga amat marah
sekiranya gelaran Datinnya tidak disebut. Seorang Tan Sri juga begitu. Siap dia
sebut namanya Tan Sri apabila dia berjabat tangan.
Tapi saya… tak apalah kalau tak
sebut Puan Sri Diah sebab gelaran puan sri saya itu hanyalah nama samaran
sahaja…
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan