Oleh : Akhbar Satar
Institusi kewangan kena tingkat kawalan
Kegiatan merompak mesin ATM
semakin berleluasa, terutama di sekitar Lembah Klang. Mesin ATM menjadi sasaran
pilihan penjenayah untuk mendapatkan wang dengan cepat, mudah dan lumayan.
Biasanya kegiatan merompak mesin ATM dilakukan antara jam 2 pagi dan 5 pagi
ketika suasana sunyi dan tiada orang ramai. Antaranya kes rompakan mesin ATM di
Lembah Klang ialah di Universiti Malaya; Universiti Kebangsaan Malaysia; Giant
Taman Melawati; Stesen KTM Subang Jaya; Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam;
Balakong; Stesen LRT Universiti, Bangsar; Carrefour Wangsa Maju dan Taman Tun
Dr Ismail yang membabitkan jumlah wang sebanyak RM3 juta. Nilai wang paling
banyak dilarikan pencuri membabitkan rompakan empat mesin di Carrefour Wangsa
Maju, iaitu RM1.17 juta.
Ada bermacam-macam taktik
penjenayah merompak mesin ATM. Modus operandi jenayah ini biasanya secara
berkumpulan dengan mengheret mesin menggunakan kabel atau tali lebar lalu
memasukkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda. Sebelum ini, mereka juga menggunakan
jengkaut untuk melarikan mesin ATM. Penjenayah juga menggunakan alat pemotong
besi dan gerudi untuk menebuk mesin berkenaan. Mereka memikirkan cara yang
lebih agresif dan berusaha mencipta teknik baru untuk mengatasi kekebalan
sistem keselamatan.
Alat kimpalan digunakan untuk
menebuk mesin ATM di Giant Taman Melawati manakala bahan kimia pencair besi
digunakan di Carrefour Wangsa Maju. Penjenayah memasuki bangunan menerusi
laluan bawah tanah dibuat sendiri. Untuk mengelak wajah mereka dirakam, penjenayah
terbabit menutup kamera litar tertutup (CCTV) pada dua skrin mesin ATM dengan
kertas dan sejadah. Di stesen LRT Universiti pula, penjenayah terbabit menebuk
dinding konkrit dengan menggerudi dari bilik bersebelahan tanpa dikesan sistem
penggera. Kejadian paling berbahaya berlaku di Alor Gajah dan Alor Setar yang
mana mesin ATM diletupkan dengan bom buatan sendiri.
Rompakan terbaru membabitkan
mesin ATM ke-10 sejak Mac lalu berlaku pada 1 Syawal lalu pada jam 2.30 pagi di
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Mesin ATM itu diletakkan berhampiran sebuah
restoran yang beroperasi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Tetapi penjenayah
membuat perancang rapi dan teliti kerana mengetahui restoran itu ditutup pada
malam Aidilfitri. Mereka menggunakan alat pemotong besi jenis ‘portable
ocytelene’ dan melarikan RM220,000.
Persoalannya, bagaimana sebuah
bank boleh meletakkan mesin ATM di tempat sunyi di mana semua kedai ditutup
pada jam 5.00 petang kecuali restoran terbabit. Suasana sunyi dan terlindung di
kawasan itu membolehkan penjenayah merompak mesin ATM dengan mudah.
Bilangan mesin ATM yang kini
berjumlah 9,200 buah, tidak termasuk di luar premis bank, juga antara sebab
meningkatnya jenayah itu. Perompak mempunyai banyak pilihan dan sudah tentu
mencari lokasi paling kurang risiko. Tambahan pula, kesalahan cuba merompak
mesin ATM biasanya disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau
kedua-duanya sekali sedangkan jika melakukan rompakan di bank dengan senjata,
mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang
memperuntukkan hukuman penjara sehingga maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan
sebatan jika sabit kesalahan.
Penulis percaya kegiatan mencuri
mesin ATM kini banyak dilakukan penjenayah terancang dan profesional. Kelemahan
sistem kawalan dan keselamatan di lokasi mesin ATM dipercayai antara punca
jenayah ini berleluasa. Perlumbaan antara bank untuk meletakkan mesin ATM di
merata tempat tanpa mengambil kira faktor keselamatan juga mendorong dan
membuka peluang kepada penjenayah.
Ada penjenayah menggunakan orang
dalam membantu merompak mesin ATM. Pengawal keselamatan, penyelenggara mesin
ATM atau kakitangan bank kesempitan wang, suka berjudi atau kaki perempuan
mudah diajak menjadi rakan subahat. Mereka ini memberi maklumat kepada penjenayah
atau sama-sama terbabit dalam rompakan.
Justeru, bank perlu mengkaji
tahap keselamatan sesuatu kawasan sebelum menepatkan ATM di kawasan berkenaan.
Bank juga harus mengkaji balik prosedur penghantaran wang ke ATM serta
memastikan kakitangan, termasuk pengawal keselamatan dan penyelenggara mesin
mempunyai integriti diri yang tinggi seperti jujur, amanah dan dipercayai.
Sistem keselamatan mesin ATM
perlu dipertingkatkan dengan penggunaan Sistem Kedudukan Global (GPS) secara
bijak dan sistem CCTV lebih baik serta pengwujudan sistem Pusat Kawalan Utama
(CMS). CMS berfungsi sebagai pemantau supaya sebarang cubaan mencuri ATM
disalurkan terus kepada syarikat kawalan keselamatan atau polis bagi memudahkan
mereka bertindak secepat mungkin. Polis juga perlu meningkatkan usaha kawalan,
termasuk menubuhkan pasukan khas bagi menangani kes rompakan mesin ATM.
Penulis ialah Pengarah
Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan