Khamis, 4 Ogos 2011

ISU PENDIDIKAN : Cabaran dan perubahan dasar pendidikan

ABAD ke-21 akan mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Perkembangan ini berlaku di seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang membangun. Ramai penulis berpendapat perubahan itu berkait rapat dengan sistem pendidikan dan perkembangan sistem maklumat.

Alvin Toffler seorang penulis terkenal pernah menyatakan bidang pendidikan di abad ini sangat penting dan mesti berupaya melahirkan pelajar yang kreatif yang mampu menyelesaikan masalah dan boleh berfikir secara kritis.

Ini memberi gambaran bahawa pendidikan tidak lagi berkisar hanya memberikan pengetahuan asas 3M (membaca, menulis dan mengira). Tetapi mestilah boleh melahirkan orang yang berilmu pengetahuan dan mempunyai pelbagai kemahiran bagi menghadapi cabaran di abad ini.

Bagi mencapai hasrat itu pendidikan perlu bersifat dinamik dan holistik yang sentiasa segar serta berubah mengikut keperluan masa dan persekitarannya.

Kini perubahan terus berlaku di mana masyarakat dunia di abad ke-21 telah memasuki zaman baru yang dikenali sebagai knowledge age atau k-ekonomi. Keperluan kepada perubahan baru ini menekankan tentang peri pentingnya maklumat, kreativiti dan inovasi dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Perubahan ini juga menekankan perlunya pendekatan berfikir secara kreatif, menyediakan strategi penyelesaian masalah dan turut melibatkan aktiviti ekonomi berbentuk global.

Apa yang menariknya dalam zaman maklumat ini ialah ia sentiasa memberi ruang dan peluang kepada setiap individu untuk mengembangkan bakat, kebolehan dan potensi mereka melaluitechology-powered knowledge yang boleh didapati di mana-mana melalui kemudahan ICT.

Seorang lagi penulis terkenal yang mengupas tentang perubahan dan cabaran abad ke-21 ialah Thomas Friedman dalam bukunya The World Is Flat : A Brief History of the Twenty-First Century. Menurutnya ekonomi dunia adalah sangat terikat serta terjalin rapat antara satu negara dengan lain dalam suatu bentuk ekosistem ekonomi.

Ini bermakna jika berlaku krisis ekonomi dalam sebuah negara ia akan memberi kesan kepada negara lain. Sebagai contoh, krisis pinjaman perumahan yang baru-baru ini berlaku di Amerika Syarikat maka tempiasnya dirasai negara-negara lain. Keduanya, terdapat kecenderungan bertambah lebar jurang perbezaan ekonomi antara negara maju dan negara sedang membangun.

Perkembangan yang tidak sihat ini dikatakan akan membawa kepada berlakunya ketegangan sosial, konflik, munculnya kumpulan pelampau dan menjadikan dunia seolah-olah tidak selamat.

Ketiganya, wujudnya isu kepanasan global yang membawa kepada kemarau panjang atau perubahan iklim yang boleh menjejaskan bidang pertanian dan keperluan bahan makanan.

Selain itu pertambahan mendadak penduduk dunia yang seolah-olah tidak dapat dikawal terutama di negara-negara sedang membangun. Keadaan ini menyebabkan bertambahnya kadar kemiskinan dan melebarnya perbezaan dalam strata masyarakat yang boleh membawa kepada berlakunya krisis sosial dan politik.

Menurut Friedman ketiga-tiga isu besar itu sebenarnya boleh dikurangkan atau ditangani melalui transformasi dan perubahan dasar pendidikan. Jelasnya pendidikan turut memainkan peranan penting dan menjadi kunci utama kepada kejayaan ekonomi dan kelestarian dunia dalam abad ke-21 ini.

Perkembangan pendidikan di negara kita juga tidak terlepas daripada keperluan masyarakat serta persekitaran politik, sosial dan ekonomi pada masa tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan terbentuknya Dasar Razak 1956, Dasar Rahman Talib 1961 dan Dasar Pendidikan Kebangsaan 1970 semuanya adalah berkait rapat dengan tuntutan dan keperluan negara pada masa itu.

Bagi menangani perubahan dan cabaran baru di peringkat global maka negara juga tidak terlepas dari memperkenalkan dasar-dasar baru dalam pendidikan. Oleh itu baru-baru ini Menteri Pelajaran, Tan Sri Mahyuddin Yassin, mengumumkan pelaksanaan Transformasi Kurikulum yang bertujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran berbentuk kreatif dan inovatif serta menarik minat pelajar.

Selain itu, diperkenalkan dasar 'Satu Murid Satu Sukan' yang bertujuan meningkatkan minat dan keupayaan pelajar dalam permainan dan sukan supaya lebih aktif. Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) pula bagi mengembalikan semula peranan utama bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu di samping meningkatkan keupayaan pelajar dalam menguasai bahasa Inggeris.

Sementara itu, dasar mengehadkan 12 mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan penambahbaikan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah adalah jelas untuk meningkatkan kualiti pendidikan supaya melahirkan pelajar yang seimbang dan mampu mengembangkan potensi diri. Dengan kata lain dasar ini mengubah persepsi pendidikan supaya tidak hanya berorientasikan peperiksaan tetapi berupaya melahirkan modal insan cemerlang.

Satu lagi dasar baru ialah mewajibkan lulus mata pelajaran Sejarah dalam peperiksaan SPM mulai 2013. Ini bertujuan meningkatkan semangat patriotik dan menanamkan rasa cintakan negara. Usaha menanamkan semangat cintakan tanah air melalui pendidikan khususnya dalam mata pelajaran Sejarah sebenarnya turut menjadi amalan di negara-negara lain di dunia ini.

Cabaran baru dunia sekarang ialah melalui k-ekonomi. Dalam hal ini sebenarnya negara kita bersedia dan bertindak awal. Sejak awal 1980-an apabila bermulanya ledakan teknologi maklumat, sekolah-sekolah kita telah mula memperkenal dan menggunakan peralatan komputer.

Kini penggunaan ICT begitu meluas sekali di mana makmal komputer didirikan di semua sekolah. Guru-guru diberi kemahiran melalui latihan dan penggunaan LCD, laptop dan Internet dan pelajar-pelajar kita mendapat manfaat yang besar.

Kesimpulannya, Malaysia akan bertambah maju jika rakyatnya dapat menguasai teknologi maklumat dan menggunakan kemudahan ICT dalam semua urusan. Sesungguhnya zaman k-ekonomi merupakan perubahan global dan cabaran baru yang perlu kita tangani melalui perubahan dalam dasar pelajaran.

PENULIS adalah bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan