Khamis, 3 Januari 2013

ISU ALAM SEKITAR : Alam sekitar mangsa kerakusan manusia


Oleh : Rejal Arbee

Pertingkat kesedaran jaga kebersihan

Kita memasuki tahun baru ini dengan harapan alam sekitar kita secara keseluruhannya dapat dipelihara dengan lebih baik yang mana pencemaran berada pada tahap paling minimum. Persoalannya, bolehkah rakyat secara keseluruhannya mengharapkan keadaan sedemikian ini?

Tentunya kita mahukan alam semula jadi anugerah Allah tidak berterusan terjejas hanya kerana kerakusan kita mahukan pembangunan tanpa menghiraukan kesannya ke atas alam dan persekitaran.

Pembangunan sememangnya perlu dilaksanakan demi pertumbuhan ekonomi untuk mendatangkan kesejahteraan kepada rakyat. Tetapi, tentunya ia harus dilaksanakan secara lebih prihatin dan teratur supaya alam persekitaran yang terpaksa dijejaskan berlaku pada tahap paling rendah. Malangnya, beberapa kejadian yang berlaku menjelang akhir tahun lalu menunjukkan sekali lagi bagaimana pembangunan yang tidak menepati kehendak persekitaran dan peraturan boleh membawa padah.

Pembangunan di lereng bukit

Kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan perumahan berterusan dan setiap kali ia berlaku, pihak berwajib akan menubuhkan jawatankuasa atau pasukan petugas untuk mengkaji apa yang berlaku dan mahu memastikan ia tidak akan berulang.

Sudah banyak kejadian tanah runtuh berlaku dalam negara ini dan sudah banyak pasukan petugas ditubuhkan. Malangnya, pembangunan di lereng bukit dan di atas bukit berterusan dilaksanakan tanpa mengendahkan pelbagai peraturan ditetapkan.

Pihak berwajib juga berterusan memberikan permit membenarkan pembangunan demikian. Nampaknya, kita masih tidak mahu belajar atau mengambil iktibar daripada pelbagai kejadian tanah runtuh demikian.

Tentunya tanah runtuh di Bukit Setiawangsa di Kuala Lumpur minggu lalu bukan yang terakhir berlaku jika dilihat dari pembangunan di lereng bukit dan di atas bukit yang berterusan di mana-mana, termasuk di Pulau Pinang dan di Taman Templer. Apa agaknya yang mendorong kita mahukan rumah di lereng bukit atau di puncak bukit?

Demikian juga sikap kita terhadap sungai yang berterusan dilanda pencemaran. Sudah berapa banyak sungai kita yang mati dan tidak lagi berfungsi seperti ditetapkan alam.

Kempen ratusan juta ringgit

Pelbagai usaha dan kempen yang membabitkan perbelanjaan ratusan juta ringgit untuk membersihkan sungai kita di seluruh negara yang sudah pun dilaksanakan. Tetapi hasilnya tetap tidak boleh dibanggakan kerana lebih 1,000 sungai dalam negara ini berterusan menghadapi ancaman pencemaran gara-gara tindakan dan sikap kita.

Walaupun sudah ramai rakyat sedar pentingnya persekitaran, khususnya sungai kita dapat dipelihara baik, sikap kita terhadap sungai tetap tidak berubah. Majoriti rakyat berterusan menganggapnya sebagai tempat membuang sampah.

Ramai juga tidak mengambil kisah bahawa segala macam benda buangan dan cucian dari dapur akhirnya mengalir melalui parit dan pelbagai saluran lain ke dalam sungai.

Hal ini berlaku bukan saja di rumah tetapi pelbagai macam sisa buangan, termasuk sisa kimia dan toksik dari pelbagai kilang serta premis perniagaan dan perdagangan, termasuk bengkel baiki kereta semuanya akan berakhir memasuki sungai kita.

Bahkan bangkai babi pun pernah dibuang penternak yang tidak bertanggungjawab ke dalam sungai seperti berlaku dekat Batang Berjuntai dan di Sungai Sepang ketika penternakan haiwan itu berleluasa di Bukit Pelandok, Tanah Merah Estate, Batu Dua Sepang dan Sungai Pelek.

Punca utama pencemaran

Tiga punca utama pencemaran sungai ialah sampah sarap, sisa biologi aktiviti penternakan serta buangan domestik dan bahan kimia daripada sisa industri.

Faktor lain yang menambah buruk lagi pencemaran sumber air itu ialah kepesatan pembangunan, pertambahan penduduk dan sikap masyarakat yang tidak mengambil berat aktiviti mereka yang boleh mengganggu keseimbangan alam sekitar.

Oleh itu, tidak menghairankan kenapa keadaan sungai kita berterusan bertambah buruk dan banyak sungai yang mati yang mana airnya sudah tidak lagi boleh mengalir dan menjadi busuk.

Dua kempen besar-besaran sudah pun dilaksanakan sejak 1993 dengan kempen ‘Cintai Sungai Kita’ dan dikuatkan lagi dengan satu lagi kempen ‘Satu Sungai Satu Negeri’ untuk membersihkan sebuah sungai dalam sebuah negeri pada 1997.

Tingkatkan kesedaran masyarakat

Malangnya, selepas berlangsung selama dua dasawarsa dan berjuta-juta ringgit dibelanjakan, apakah hasilnya? Kini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang merancang untuk mengadakan satu lagi kempen dalam usaha berterusannya untuk memelihara sistem sungai dalam negara.

Sebenarnya yang penting ialah meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya kebersihan sistem saliran dipelihara. Malangnya, ramai tidak sedar kebanyakan sungai di negara ini berdepan pencemaran teruk dengan kebanyakan punca daripada sikap dan aktiviti harian manusia yang tanpa segan silu menjadikan sungai sebagai ‘lebuh raya’ sampah hingga mengganggu keseluruhan sistem ekologi.

Penulis ialah Felo Kanan di UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan