Oleh : Ruhaiza Rusmin
Tahun 2012 meninggalkan pelbagai
kenangan pahit manis peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.
Negara turut mencatat peristiwa
yang menjadi ingatan semua termasuk warna-warni yang menghiasi dunia pendidikan
tanah air.
Antara peristiwa panas terawal
tercatat dalam kalendar 2012 ialah tindakan ‘ganas’ sebahagian kecil mahasiswa
yang mahukan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dibubarkan.
Mereka berpendapat, AUKU menyekat
kebebasan bersuara serta berpolitik lantas menjadikan tindakan itu sebagai
platform yang kononnya memberi ruang menyuarakan kehendak dan pendapat tanpa
sekatan.
Mereka turut melontarkan tuduhan
bahawa universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seolah-olah ‘mencabul’
hak mereka sebagai warganegara bebas bersuara.
Biarpun begitu, kerajaan serta
pihak terbabit tetap menunjukkan sikap prihatin, cuba memahami dan
bertolak-ansur.
Selepas ‘berkonfrontasi’ sejak
sekian lama, akhirnya AUKU Seksyen 15C (3) dipinda, sekali gus memberi ruang
kepada mahasiswa untuk berpolitik. Bagaimanapun, politik kepartian masih tidak
dibenarkan di dalam kampus bagi menjaga keamanan bersama.
Masalah dunia pendidikan tinggi
negara juga tercalit lumpur apabila kemudahan melanjutkan pengajian yang
diberikan kerajaan kepada pelajar asing disalahgunakan dengan pembabitan
pelbagai gejala sosial.
Seramai 777 pelajar asing ditahan
pihak berkuasa sejak 2011 hingga Ogos lalu kerana pelbagai kesalahan termasuk
mendatangkan kecederaan, mencuri dan penyalahgunaan dadah selain jenayah
komersial.
Ini sekali gus memaksa kerajaan
memperketatkan proses kemasukan pelajar asing bagi memastikan hanya yang layak
dan berkemampuan sahaja melanjutkan pengajian di negara ini.
Dunia pendidikan tinggi juga
menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah membabitkan penganugerahan termasuk
kecemerlangan penyelidikan serta sumbangan demi mempertingkatkan kehidupan
sejagat.
Antaranya, Timbalan Ketua
Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan
Felo Kehormat The London Royal College of Physicians hasil kejayaannya
dalam bidang pembedahan endokrin dan penerbitan jurnal tempatan dan
antarabangsa.
Penganugerahan itu adalah
pengiktirafan tertinggi diberikan Royal College of Physicians kerana
anugerah Felo Kehormat pusat pengajian terkemuka itu terhad kepada 20 orang
setahun.
Sekumpulan penyelidik Universiti
Teknologi Mara (UiTM) pula mencipta perisian permainan jawi pada peranti mudah
alih (PSP) dan komputer tablet bagi memartabatkan semula tulisan jawi dalam
kalangan generasi muda.
Bagaimanapun, sasaran untuk
kementerian mencapai bilangan siswa sains, teknologi, kejuruteraan dan
matematik (STEM) sebanyak 60 peratus masih belum tercapai.
Sektor pendidikan negara juga
menyaksikan anjakan berani dan baru apabila Laporan Awal Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025 diperkenalkan.
Ia menggariskan 11 anjakan utama
bagi mengubah sistem pendidikan negara, sekali gus melonjakkan lagi standard
sedia ada ke arah penambahbaikan seiring keperluan global.
Antaranya, pelajar pintar akan
menyelesaikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam lima tahun dan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) empat tahun, sastera Inggeris diwajibkan di sekolah
menengah, penjenamaan semula tingkatan enam, bahasa Malaysia standard di SK
atau SJK mulai tahun empat pada 2014 manakala kelas peralihan dimansuhkan pada
2017 dan insentif bagi guru besar/pengetua di luar bandar dan sekolah
berprestasi rendah, antaranya elaun dan laluan pantas kenaikan pangkat.
Penilaian Menengah Rendah (PMR)
juga akan dimansuhkan pada 2014 dan kerajaan menggantikannya dengan Penilaian
Berasaskan Sekolah (PBS).
Sistem Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (SBA) diperkenalkan sebagai syarat pengambilan pelajar tingkatan empat
ke sekolah berasrama penuh.
Sistem itu mengambil kira
pencapaian cemerlang pelajar sepanjang sesi persekolahan termasuk aktiviti
kokurikulum dan latar belakang keluarga.
Keprihatinan terhadap permintaan
tenaga kerja berkemahiran untuk jangka panjang menjadi penanda aras kepada
kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TEVT).
Oleh itu, langkah menaik taraf
Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional mula diperkenal dan
diperkasakan, sekali gus diharap mampu menyelesaikan masalah kekurangan tenaga
buruh mahir.
Sebanyak 15 sekolah vokasional
dipilih untuk dijadikan program rintis Kolej Vokasional dan selebihnya akan
dinaik taraf secara berperingkat pada 2015.
Pengenalan baru itu akan membolehkan
semua pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Vokasional ini mengikuti
pengajian selama empat tahun, meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus
akademik.
Pelajar yang menamatkan pengajian
di kolej ini akan mendapat diploma vokasional kerana mengikuti kursus selama
lapan semester (empat tahun) manakala pelajar sekolah menengah tingkatan satu
hingga tiga yang mengikuti peringkat Program Asas Vokasional (PAV) akan diberi
sijil tahap dua.
Bagaimanapun, di tengah-tengah
kerancakan usaha pelbagai pihak memperkasakan sistem pendidikan sedia ada,
keputusan kejatuhan bagi beberapa subjek terutama membabitkan Sains dan
Matematik menimbulkan kebimbangan.
Dianggap antara subjek penting
dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya, kemerosotan pencapaian
pelajar dalam dua subjek berkenaan dalam peperiksaan utama dikatakan kerana
kurangnya minat mengikuti aliran sains berbanding sastera.
Kajian turut memperlihatkan
kebanyakan pelajar, baik di bandar mahupun di luar bandar dan pedalaman gagal
mengikuti proses pengajaran serta pembelajaran untuk dua subjek ini dengan
baik.
Laporan Trends in Mathematics
Science Study (TIMSS) juga memperlihatkan pencapaian pelajar Malaysia untuk
Matematik menjunam dari tempat ke-10 pada 2003 ke tempat ke-20 pada 2007.
Begitu juga pencapaian dalam
Sains yang memperlihatkan kemerosotan membimbangkan menjadikan ia pada masa
sama sebagai ‘senjata’ sesetengah pihak mengaitkannya dengan pemansuhan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Pelbagai suka duka dunia
pendidikan negara pada 2012 bakal ditinggalkan dan menjelang 2013, diharap
sektor pendidikan negara mampu membawa dimensi baru yang mampu melonjakkan lagi
pencapaian dan kegemilangannya.
Selamat datang 2013 dan selamat
tinggal 2012.
Sumber : http : //www.hmetro.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan