Oleh : Amidi Abdul Manan
Perayaan patut perkukuh
iltizam majukan diri, bangsa dan masyarakat
Seramai 13 pasangan ditahan oleh
penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam operasi cegah maksiat
pada malam tahun baru. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pula
menahan beberapa orang Islam kerana meminum arak dalam pesta meraikan tahun
baru, begitu juga penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah dan Negeri
Sembilan juga dilaporkan melakukan operasi pencegahan jenayah syariah di lokasi
tertentu dan pastinya berkaitan perayaan menyambut kedatangan tahun baru
Masihi.
Itu belum pesta liar yang
dianjurkan di pelbagai lokasi yang tidak dapat digapai oleh penguat kuasa
jabatan berkuasa agama. Kini ia bukan saja membabitkan kelompok remaja atau
muda mudi, tetapi turut disertai mereka yang lebih dewasa dengan pelbagai
status, duda, janda, suami orang, isteri orang, datuk dan nenek.
Lalu timbul pertanyaan, apakah
sebenarnya sambutan tahun baru? Apakah tujuannya? Apakah kesan dan manfaatnya
terhadap pembinaan generasi dan bangsa? Ia dilihat sebagai satu ‘lesen’ untuk
keluar malam lalu melakukan gelagat tidak bermoral tanpa segan silu lagi.
Sejarah tahun baru
Menelusuri sejarah tahun baru
Masihi, ada banyak pandangan mengenainya. Ada yang berpendapat ia bermula dari
zaman empayar Rom di bawah pemerintahan Maharaja Julius Caesar yang mahu
merombak kalendar yang digunakan secara tradisional. Baginda mahukan ia berasaskan
peredaran matahari. Baginda dibantu oleh seorang ahli astronomi Rom yang
bermastautin di Iskandariah, Mesir.
Kebanyakan penganut Kristian
berasal dari Eropah pula meraikan tahun baru bagi merayakan kelahiran Jesus.
Jesus dianggap penyelamat, yakni yang menyelamatkan manusia daripada dosa
warisan (inherited sins). Justeru, sambutan tahun baru adalah bagi memperingati
permulaan perjuangan yang dianggap suci oleh penganut Kristian.
Malah, ada pelbagai cara meraikan
kedatangan tahun baru Masihi seperti menaburkan bunga, berkumpul di dataran
tertentu, menghadiahkan bunga kepada rakan dan seribu satu cara lagi. Kembali
kepada persoalan tujuan, konsep dan kaedah meraikan tahun baru di Malaysia. Ia
semakin teruk dicemari dengan pelakuan sumbang yang meruntuhkan pembentukan
budaya bangsa yang beragama.
Mari kita bicarakan satu persatu.
Jika melihat dari aspek agama kita dapati penganut Kristian sendiri
merayakannya dengan sambutan di gereja bagi memperingati kelahiran Jesus. Sudah
tentu ia berintikan menyanjung belas kasihan tuhan yang mengutuskan anaknya
sendiri bagi menyelamatkan manusia.
Jika ditinjau dari sudut budaya,
ia tidak mempunyai akar budaya yang kukuh. Jika sambutan Maal Hijrah yang
bertemakan kedatangan tahun baru hijrah, masyarakat Malaysia khususnya Muslim
diperingatkan mengenai peri pentingnya perjuangan Rasulullah SAW dalam
menegakkan akidah sahih. Begitu juga bangsa Tionghua yang meraikan Tahun Baru
Cina dengan meraikan semangat kekeluargaan yang kukuh.
Perkukuh iltizam
Maka di manakah letaknya
signifikan meraikan tahun baru ini. Mungkin ia perayaan negara yang seharusnya
mengukuhkan iltizam memajukan diri, bangsa dan masyarakat. Jika inilah
sebabnya, maka ia sepatutnya berintikan keinsafan terhadap pencapaian setahun
yang berlalu dan membakar semangat untuk terus meluru laju ke hadapan bagi
membina masa depan yang lebih gemilang. Masyarakat khususnya generasi muda
mesti diperingatkan mengenai kepentingan melengkapkan diri dengan segala ilmu,
kemahiran dan segenap kekuatan, memerah tenaga sebagai ejen perubah masyarakat.
Bukan mencari parti liar untuk
dihadiri dan mencari pasangan untuk ditiduri. Pendek kata ia adalah malam untuk
kita bersedia mempersiapkan diri memulakan langkah di tahun baru dengan penuh
semangat perjuangan.
Pemimpin negara khususnya perlu
menerangkan fokus dan hala tuju setahun akan datang agar kemajuan dapat dipacu
dengan jayanya. Barulah rakyat dan masyarakat akan terarah ke arah yang
sewajarnya.
Di manakah keberanian kita untuk
berbeza dengan warga dunia? Mungkin ada yang membangkitkan kenapa kita harus
berbeza, tetapi sebelum itu jawapan kepada kenapa kita perlu mengikut warga
dunia, perlu hadir terlebih dulu. Adakah ia tidak dinamakan sambutan jika tanpa
konsert atau tanpa dentuman bunga api atau tanpa parti liar atau ditukar kepada
waktu siang yang dapat menghindarkan kita daripada pelbagai gejala sosial yang
menjijikkan?
Penulis ialah Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia
Sumber : http : //www.bharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan