Pucuk paku di dalam perahu,
Perahunya datang dari seberang,
Carilah AKU di dalam AKU,
AKU ada di dalam terang...
BISMILLAH itu mula disebut,
Rahman dan Rahim sifat mengikut,
Dunialah akhirat nyatalah luput,
Jalan hakikat pula diturut.
Alhamdulillah pujinya Insan,
Robbil Alamin sifatnya Tuhan,
Selawat Nabi akhir zaman,
Muhammad Amin
Habibur Rahman.
Jalan yang takzim pula dikata,
Atas Nabi junjungan kita,
Sahabat empat nyatalah serta,
Tiada berhenti sekejap masa.
Jalan hakikat sangat terbilang,
Tiada binasa urat dan tulang,
Daging dan darah tiada hilang,
Maka sifat itu dibawa pulang.
Jikalau sifat kita sudah binasa,
Kepada Nabi tiada berjumpa,
Segala amalan tiada tiba,
Tiada dapat syurga yang baqa'.
Jangan binasa sifatmu tuan,
Tiada bertemu hamba dengan Tuhan,
Hakikat kita tinggal di jalan,
Segala amalan menjadi haiwan.
Kalau kita tidak mengkaji,
Kepada Nabi mendapat keji,
Malaikat tidak membawa wahyu,
Allah tiada mungkirkan janji.
Mengenal Tuhan tak boleh nyata,
Kerana tak boleh dipandang mata,
Hingga diri jua dicita,
Kenal olehmu sifatnya kita.
Tatkala Adam dengan Hawa,
Dendam berahi antara keduanya,
Nafi dan Isbat itulah Dia,
Kepada kita menjadi rahsia.
Cari guru mengenal diri,
Yang diamanat olehlah Nabi,
Jangan takut penat dan rugi,
Asalkan dapat ilmu sejati.
Guru yang mursyid hendaklah dicari,
Itulah ulamak mewarisi Nabi,
Jika di situ ia mengajari,
Di situlah tuan menyerah diri.
Wahai sekalian saudara-saudaraku,
Mengenal waktu biarlah tentu,
Jikalau tak kenal waktu itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.
Waktu kita di alam roh
Berkata Allah pada nyawa,
Bukankan AKu Tuhanmu segala,
Betullah Tuhan itu katanya nyawa.
Jadi olehmu mursyid yang utama,
Yang sebenar makrifah boleh dibawa,
Seperti badan dengannya nyawa,
Dunia akhirat bersama-sama.
Hakikat makrifat menyucikan badan,
Air Maal Hayat yang menjalankan,
Zikrullah yang diasyikkan,
kurangkan tidur ataupun makan.
Jalan hakikat bukan kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Zahir dan batin semuanya lapang,
Kerana Sir yang empunya pandang.
Wahai saudaraku dengarlah tuan,
Yang sebenar hidup itu katanya Tuhan,
Kuntum yang tujuh di situlah tersimpan,
Itulah pakaian Wali sembilan.
Kuatnya tubuh itulah nyawa,
Sekalian yang zahir takluk padanya,
Syurga yang tujuh dia yang punya,
Kepada kita menjadi rahsia.
Jalan hakikat sangat terpilih,
Hendaklah tahu asalnya benih,
Napi di dalam hati yang putih,
Makrifat kita baharulah jernih.
Adapun sifat makni itu tiada bersekutu,
Sifat Allah namanya itu,
Tiada boleh bandingankan sesuatu,
Wujud Allah namanya itu.
Tuntutlah ilmu walau di mana,
Amal dan ilmu tiada terhingga,
Amal tanpa ilmu diazab kita,
Di akhirat tiada berguna.
Kejadian kita dari air yang lazat,
Cahayanya seperti kilat,
Tatkala asyik tiada ingat,
Baharulah ada junub dan janabat.
Di wadi mani manikam,
Asalnya ia daripada kalam,
Dengan khudrat Tuhan Khalikul Alam,
Yang menjadikan tubuh anak Adam.
Jika begitu kita tidak mengkaji,
Kepada Nabi mendapat keji,
Malaikat tidak mendapat wahyu,
Allah tiada mungkirkan janji.
Jika tarekat hendak dibawa,
Carikan guru akan petuanya,
Supaya kita jangan bertuhankan nyawa,
Hakikat kita tiada derhaka.
Syarat rukunnya sudah diketahui,
Sah batalnya demikian lagi,
Amal diterima Tuhan Ilahi,
Syarat rukunya sudah diketahui.
Siapa beramal dengan Jahalnya,
Tiada tahu sah batalnya,
Amal tiada diterima Tuhanya,
Di dalam neraka kekallah kita.
Wahai segala saudara-saudaraku,
Mengenal Kaabah biarlah tentu,
Jikalau tak kenal Kaabah itu,
Akhirnya kamu menyembah batu.
Wahai saudara tua dan muda,
Fikirkanlah kamu sentiasa,
Janganlah seperti orang yang buta,
Tinggal ilmu mencari harta.
Hidup tiada ingat akan mati,
Bersuka ria sepanjang hari,
Hanya harta dapatkan diri,
Tiga lapis kain kapan sahaja dia beri.
Jalan hakikat bukannya kepalang,
Jalan disuluh semuanya terang,
Jikalau hati syak dan waham,
Cahaya yang terang menjadi kelam.
Wahai sekalian saudara-saudaraku,
Jalan hakikat demikianlah itu,
Jikalau boleh pintalah selalu,
Jangan binasa sifatmu itu.
Hati yang mukmin suci dan ikhlas,
Laksana air di dalam gelas,
Cuci hatimu seperti kapas,
Makrifah kita baharulah jelas.
Syariat itu martabatnya tinggi,
Yang dipakai oleh Saidina Ali,
Barang siapa dapat asalnya jadi,
Yang bergantung tiada bertali.
Syariat, tarekat terlalu mulia,
Itulah pakaian Wali Ambia,
Barang siapa dapat asalnya,
Bolehlah membawa badan serta nyawa...
Sumber : http://lamanpahang.blogspot.com/
pantun penuh dengan seribu pergertian..
BalasPadamPenuh dalam dan berisi. Semoga kita terus ukhuwah
BalasPadam