Khamis, 8 November 2012

ISU BAHASA : Warga setia kuasai bahasa kebangsaan


Oleh : Rejal Arbee 

Menghairankan kerana selepas merdeka selama lebih 55 tahun dengan persetujuan menjadikan bahasa Melayu bahasa kebangsaan, penggunaannya masih menjadi persoalan. Terbaru ialah usaha untuk meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris dalam negara.

Diakui bahasa Inggeris sudah pun menjadi bahasa antarabangsa yang sepatutnya boleh dikuasai  rakyat. Usaha juga perlu dilaksanakan supaya semua lepasan sekolah dan universiti kita dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Tetapi apakah penguasaannya hanya boleh dilakukan dengan mengabai atau memperlekehkan bahasa Melayu hingga ada pula beberapa kerat rakyat yang mahu sekolah Inggeris, iaitu sekolah dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, dikembalikan?

Apakah ini saja jalannya untuk memastikan seseorang pelajar fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris? Mestikah penguasaan baik bahasa Inggeris hanya boleh dicapai dengan mengabaikan bahasa Malaysia?

Tak serius guna bahasa Malaysia

Sehingga sekarang masih terdapat sebilangan rakyat negara ini yang berterusan tidak serius berhubung penggunaan bahasa Malaysia hingga ada lepasan sekolah, khususnya dari sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) yang tidak boleh bertutur atau memahami bahasa Melayu dengan baik.

Persoalan mengenai penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah tidak seharusnya timbul lagi, begitu juga pandangan bahawa hanya dengan wujudnya sekolah bahasa Inggeris barulah rakyat negara ini boleh menguasai bahasa itu.

Dalam keghairahan mahu rakyat menguasai bahasa Inggeris dengan baik, janganlah kita meminggirkan bahasa Malaysia. Ia sudah pun diterima sebagai bahasa kebangsaan. Semua yang mengakui warga negara ini seharusnya bersedia mendukung dan mencintai bahasa Malaysia, iaitu bukan sekadar memahami tetapi juga boleh bertutur dengan baik.

Bahasa Malaysia sebenarnya adalah tonggak kenegaraan dan kedudukannya juga mengatasi bahasa lain termasuk bahasa sukuan. Hakikat ini perlu difahami oleh semua rakyat negara ini tanpa berdolak dalih lagi.

Justeru, semua individu yang mengakui cintakan negara ini tidak harus terikut dengan kemahuan pendukung sekolah Cina yang tidak serius mahukan lepasan sekolah itu dapat menguasai bahasa Malaysia dengan baik.

Pembelajaran Bahasa Melayu di SJKC pada masa ini hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga, iaitu untuk pelajar mereka lulus dalam mata pelajaran itu dan memperoleh sijil persekolahan.

Sudut perkauman sempit

Itulah juga kenapa hingga sekarang persatuan seperti Dong Zong tetap tidak berganjak daripada syarat bahawa semua guru yang mengajar Bahasa Melayu mesti boleh bertutur bahasa Mandarin. Apa kena mengena pembelajaran Bahasa Melayu dengan penguasaan bahasa Mandarin? Malah jika guru yang mengajar Bahasa Melayu tidak tahu bahasa Mandarin, keadaan ini akan memaksa muridnya berusaha mempelajarinya untuk berinteraksi dengan guru.

Kesimpulan yang boleh kita andaikan ialah puak Dong Zong dan sekutunya tidak mahu menerima bahasa Melayu sebagai tonggak negara. Mereka tidak mahu menerima usaha memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu di SJKC kerana kononnya masyarakat Cina membantah. Mereka ini jugalah yang berterusan melihat semuanya dari sudut perkauman sempit.

Selagi mereka tidak bersedia berperasaan terbuka, selagi itulah syak wasangka terhadap puak begini tidak dapat diketepikan. Justeru, orang Melayu tidak harus terpesong dengan kehendak melampau begini yang tidak mahu menunjukkan mereka benar-benar adalah warga negara yang mencintai negara sendiri dan sanggup mendukung tonggak kenegaraan dengan menghormati bahasa kebangsaan.

Puak ini jugalah apabila dipersoalkan kesetiaan mereka terhadap negara ini akan melenting kononnya mereka juga adalah rakyat yang setia dan cintakan negara. Kesetiaan apa kalau bahasa negara sendiri pun diabaikan dan seolah-olah tidak mahu mengiktirafnya?

Kini pihak berkuasa perlu pula mengadakan lagi kempen Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan semula pada 2010 untuk mempromosikan kedudukan bahawa kita adalah “satu bahasa, satu bangsa dan satu negara”. Puak yang tidak mengendahkan penggunaan bahasa Melayu sepatutnya berasa malu dengan ratusan ribu rakyat asing yang selepas berada di sini beberapa bulan saja sudah boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

Sepatutnya selepas begitu lama mencapai kemerdekaan, soal tentang  tahap penguasaan bahasa Melayu oleh sesetengah rakyat tidak harus wujud lagi. Mereka yang mengakui diri sebagai warga setia yang cintakan negara tidak akan sesekali mengabaikan bahasa kebangsaan.

Penulis Felo Kanan di UKM

Sumber : http : //www.bharian,com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan