Khamis, 8 November 2012

ISU GLOBAL : Obama dipilih semula sebagai presiden


Catat sejarah sebagai calon Demokrat kedua sejak Perang Dunia Kedua yang berjaya pertahan jawatan

WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, berjaya mempertahankan jawatannya buat penggal kedua semalam, sekali gus mencatatkan sejarah dengan menundukkan pencabarnya daripada Parti Republikan,  Mitt Romney.

Beliau menjadi calon Parti Demokrat kedua selepas Bill Clinton yang berjaya mempertahankan jawatan presiden Amerika sejak era Perang Dunia Kedua.

Pilihan raya kali ini dilihat sebagai yang paling sengit dalam sejarah Amerika walaupun Obama menang dengan selesa empat tahun lalu dan muncul sebagai pemimpin kulit hitam pertama memenangi jawatan presiden pada 2008.

Dengan hanya undi di Florida belum diketahui apabila akhbar ini dicetak, Obama telah memperoleh 303 undi perwakilan iaitu melebihi 270 undi yang diperlukan untuk memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika ke-57 itu.

Obama menewaskan Romney di tujuh wilayah atas pagar iaitu Ohio, Virginia, Iowa, New Hampshire, Wisconsin, Nevada dan Colorado.

Romney pula memperoleh 206 undi perwakilan dan satu-satunya negeri atas pagar yang dimenanginya ialah di North Carolina, menyebabkan harapan calon Republikan itu untuk menjadi presiden berakhir.

Obama memasuki penggal kedua selama empat tahun lagi dengan tugas sukar menangani defisit tahunan bernilai AS$1 trilion ($1.2 trilion); mengurangkan hutang negara sebanyak AS$16 trilion dan merombak program sosial yang mahal.

Beliau, bagaimanapun, dilihat sebagai calon lebih baik bagi golongan berpendapatan rendah dan pertengahan memandangkan Romney disifatkan sebagai calon yang lebih condong memperjuangkan nasib golongan kaya.

Seperti kata Bernadetter Hatcher, 42 tahun, seorang pengundi yang menyokong Obama:

"(Pilihan raya) ini mengenai apa yang telah beliau lakukan. Tiada sesiapa yang boleh memperbetulkan semua dalam tempoh empat tahun, terutama ekonomi."

Di peringkat awal pengiraan undi, beberapa kali Romney mendahului Obama tetapi Obama yang kemudian melepasi garisan minimum 270 undi perwakilan.

Dari segi undi popular, Obama menang dengan kelebihan tipis dengan mendapat 50 peratus undi, berbanding 49 peratus yang diraih Romney.

Obama telah memenangi pilihan raya kali ini dengan kadar pengangguran yang masih tinggi iaitu 7.9 peratus.

Dalam ucapan kemenangannya di Chicago, Obama membayangkan masa depan yang lebih cerah.

"Ekonomi kita sedang pulih, perang yang berlarutan sejak sedekad lalu telah hampir tamat," ujar beliau.

Sambil mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diterimanya, Obama berkata:

"Saya telah belajar daripada anda, dan anda telah menjadikan saya seorang presiden yang lebih baik. Saya kembali ke Rumah Putih dengan tekad lebih bulat dan lebih berinspirasi mengenai tugas yang perlu dilakukan."

Sedar akan cabaran itu, Obama menambah:

"Malam ini, dalam pilihan raya ini, rakyat Amerika telah mengingatkan kita bahawa sementara laluan yang perlu kita tempuhi adalah sukar, perjalanan yang kita lalui jauh, kita telah berjaya bangkit, kita telah memperjuangkan nasib kita. Dalam hati kita, kita tahu, bagi Amerika Syarikat, yang terbaik bakal menjelang."

Obama turut menghadapi Kongres yang berpecah-belah, dengan Parti Republikan mengekalkan majoritinya dalam Dewan Perwakilan, sementara Parti Demokrat mengekalkan kawalannya di Dewan Senat.

Bagi mengatasi kebuntuan itu, Obama berkata beliau sedia berbincang dengan Romney mengenai cara menggerakkan negara itu ke depan.

"Kami mungkin telah bertarung dengan sengit, tetapi ia hanya kerana kami sangat cinta akan negara ini dan kami amat prihatin akan masa depannya," kata beliau. - AP, AFP, Reuters.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan