Oleh : ZAINAL ABDUL KADIR
SASTERA Melayu bukan sahaja
ditulis dan dibaca oleh orang Melayu tetapi turut ditulis dan dibaca oleh kaum
lain di negara ini. Penglibatan penulis bukan Melayu dapat dikesan seawal tahun
1960-an dengan Amir Tan dalam bidang cerpen dan novel, Goh Thean Chye dalam
bidang puisi dan terjemahan dan Joseph Selvam. Ini diikuti tahun 70-an dan
80-an muncul nama-nama penulis bukan Melayu yang kebanyakan karya mereka diakui
bermutu dan menerima pelbagai hadiah dan anugerah di peringkat kebangsaan dan
antarabangsa.
Sehubungan itu, sastera Melayu
merupakan wadah warganegara Malaysia menjayakan gagasan 1Malaysia iaitu
menuntut bahawa rakyat daripada pelbagai kaum dan agama perlu berfikir melepasi
sempadan kaum masing-masing. Justeru, jika dilihat pencapaian penulis bukan
Melayu dalam bidang kesusasteraan, apakah tidak wajar Sasterawan Negara
dikurniakan kepada mereka?
Jika dilihat senarai penerima
Anugerah SEA Write Award sejak 1979-2012 (34 orang), ada dua nama
penulis bukan Melayu iaitu Lim Swee Tin (2000) dan Jong Chiang Lai (2006) yang
turut diperakui dalam bidang sastera Melayu. Malah, jika dilihat senarai
penerima Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan di peringkat antarabangsa, penerima
adalah mewakili dari pelbagai negara termasuk seorang penerima tanpa
kewarganegaraan.
Justeru, tanpa wujud prasangka,
sebagai rakyat Malaysia, pencapaian penulis bukan Melayu dalam sastera Melayu tidak
perlu dipertikaikan lagi. Tokoh penulis bukan Melayu yang dimaksudkan ialah Lim
Swee Tin. Ketika artikel ini ditulis, saya mendapat tahu bahawa Lim Swee Tin
baru sahaja meraikan usianya yang ke-60 tahun, dan 40 tahun menceburi bidang
penulisan kreatif. Kedua-duanya sangat menarik kerana ia dikaitkan dengan
kematangan; kematangan usia dan kematangan dalam berkarya.
Lim Swee Tin mula menceburi
bidang penulisan kreatif seawal tahun 1971 secara rasminya apabila sebuah
cerpen beliau termuat dalam majalah hiburan yang popular ketika itu, Mesra.
Tetapi disebabkan tarikan minat yang besar, beliau cenderung kepada puisi, dan
pada tahun 1973, 14 Oktober puisi pertamanya terbit dalam Mingguan Malaysia.
Dengan mengambil tarikh itu, Lim merayakan tahun ke-40-nya cergas dalam
lapangan ini.
Bertolak dari situlah, Lim Swee
Tin mengembang di dunia puisi Melayu. Kerap menyatakan, "Sastera Melayu
sastera saya," Lim tidak boleh membaca dan menulis dalam bahasa Cina.
Mempelajari bahasa itu pun terasa pelik kerana dia bermula dengan 'learn a
word a day', malahan banyak mengambil tahu tentang kesusasteraan klasik
China hatta perkembangan dan kemajuan kesusasteraan Cina moden pun melalui
medium bahasa Inggeris atau Indonesia, hal yang sama dilakukannya tatkala
mendalami kesusasteraan asing yang lain, terutama prosa Jepun moden yang sangat
diminatinya.
Mempunyai kekuatan bahasa dan
kreativiti seawal menyertai pelbagai aktiviti semasa di Pulau Pinang dan
kemudian di Kelantan, Lim merupakan antara pengikut Sasterawan Negara Usman
Awang, A. Samad Said dan beberapa yang lain yang tekun dan tekal. Maka, dengan
hal yang demikian karyanya berkembang pantas. Lim memenangi Anugerah Puisiputra
II pada tahun 1983 melalui kumpulan puisi Akrab yang kemudian meletakkan
dirinya antara pengarang generasi baharu yang perlu diberikan perhatian.
Dengan memenangi sejumlah besar
hadiah kesusasteraan, terutama Hadiah Sastera Perdana Malaysia melalui kategori
puisi eceran dan hadiah utama kumpulan puisi remaja, selain Hadiah Sastera Utusan
Public Bank (kemudiannya ExonMobil), Lim memperkukuhkan dirinya melalui
sejumlah puisi terjemahan. Pengalaman pentingnya diundang ke South Bank, United
Kingdom, ke Amerika Syarikat, Indonesia, Brunei Darussalam, Taiwan, Singapura
dan Thailand banyak memberinya pendedahan ke pentas antarabangsa.
Penobatan Lim Swee Tin sebagai
penerima S. E. A. Write Award pada tahun 2000 membuktikan hasil usaha, penat
lelah dan kegigihan beliau berkreatif mendapat perhatian. Sekretariat anugerah
di peringkat Malaysia yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka tidak ragu-ragu
menamakan beliau sebagai calon kategori puisi tahun tersebut kepada sekretariat
S.E.A. Write Award di Bangkok, Thailand membuktikan kesusasteraan Melayu di
Malaysia adalah milik semua. Dan, Lim Swee Tin merupakan penerima pertama
anugerah ini daripada kalangan pengarang yang bukan Melayu.
Karya Lim Swee Tin mendapat
sorotan banyak pembicara terkemuka. Antaranya, Budi Dharma di Indonesia,
Naowarat Pongpaiboon di Thailand, Ulrich Kratz di United Kingdom, dan banyak
lagi. Ia tidak terkecuali dijadikan teks rujukan di Rusia bahkan di Australia
juga. Ketika di Taiwan pada Taipei International Poetry Reading tahun
2001, puisi-puisi Lim berkumandang melalui medium bahasa Melayu (dengan
terjemahan bahasa Cina), demikian di South Bank dalam acara Four Leading
Poets from the South East Asia (dengan terjemahan bahasa Inggeris), dan
Bangkok, pada acara World Peace Poetry Festival from Bangkok, Thailand
(dengan terjemahan bahasa Thai). Kecenderungan beliau menyampaikan deklamasi
dalam bahasa asal merupakan kesungguhannya memperkenalkan bahasa Melayu kepada
khalayak dunia.
Ketika menyambut 40 tahun
berkarya, Lim Swee Tin sudah mengumpulkan sejumlah 62 buah buku yang dihasilkan
secara persendirian, manakala lebih 120 lagi adalah dalam bentuk antologi.
Sebahagian puisi Lim turut dimuatkan dalam buku terpenting di tanah air
seumpama Puisi Melayu Baharu, Malaysia dalam Puisi, The Puppeteer Wayang,
Emas Tempawan/Burnished Gold, dalam teks untuk kegunaan pelajar
Kesusasteraan Melayu di sekolah menengah. Terkini, dua kumpulan puisi beliau
(dwi-bahasa) Bond atau Akrab, (2009) dan The Moon amidst the
Cogongrass / Bulan antara Lalang (2011) diterbitkan Institut Terjemahan dan
Buku Malaysia (ITBM) dan kumpulan esei Pemikiran Kesusasteraan: Wajah dan Wadah
Kebudayaan Kebangsaan, dan Bahasa di jajaran Masa: Isu dan Tanggapan (2011)
diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).
Karya-karya Lim untuk tatapan
segenap lapisan masyarakat. Tidak membataskan temanya kepada sesuatu kelompok
tertentu sahaja, Lim menyelinap masuk ke sukma warga petani dan nelayan, ke
redup dan gundah manusia kecil seperti pengemis dan orang gelandangan,
keharmonian kampung dan negerinya, pancaroba permasalahan kehidupan semasa
sehinggalah soal-soal politik juga. Lim mengangkat tema persahabatan dan
persaudaraan yang tulus lagi tulen, perpaduan dan integrasi masyarakat serta
bangsa, sehinggalah ke isu perang dan kekejaman di luar sana. Sebuah kumpulan
50 puisi seluruhnya bertemakan patriotisme Cakerawala Kemerdekaan (2007)
barangkali satu-satu yang serupa itu pernah diterbitkan di negara kita,
Malaysia. Karya beliau banyak yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris,
Cina, Thai, Jerman, Portugis, dan beberapa lagi bahasa dunia yang lain.
Kesimpulannya, tidaklah
keterlaluan bahawa idealisme sebagaimana didendangkannya melalui sajak Seorang
Anak Kecil lebih 40 tahun yang lalu masih digenggamnya sehingga kini,
meletakkan Lim sebaris dan setaraf dengan penulis Melayu yang membolehkan dan
mewajarkan Lim dipertimbangkan dan dianugerahkan sesuatu yang paling bermakna
dalam jagat kesusasteraan Melayu.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan