Institut Integriti Malaysia (IIM)
ditubuhkan sebagai sebuah badan autonomi yang didaftarkan di bawah Akta
Syarikat 1965 pada 4 Mac 2004
Sebagai agensi penyelaras dan
pemantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN), IIM diharap dapat
membangunkan sebuah bangsa yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati
nilai-nilai murni sejagat.
Dalam isu memerangi rasuah, IIM
memainkan peranannya yang tersendiri. Walaupun tidak semua secara terus, IIM
memikul tanggungjawab besar dalam membentuk dan melahirkan bangsa berintegriti.
Ikuti temubual khas, Presiden
IIM, Datuk Dr Mohd Tap Salleh bersama Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah
Nasir dan wartawan, Nurul Riduan Nor Ashaha serta jurugambar, MIZAN MAT TAMIN
mengenai pembentukan masyarakat berintegriti, khususnya bagi mencegah penularan
gejala rasuah.
Secara ringkas peranan utama
IIM sejak ditubuhkan dan bagaimana ia boleh membantu mengurangkan jenayah
rasuah?
Peranan utama IIM adalah sebagai
pelaksana terhadap lima perkara yang termaktub di dalam PIN.
IIM bukan hanya memfokuskan
kepada rasuah semata-mata tetapi berusaha melahirkan bangsa yang penuh
integriti.
Jika integriti itu dapat
diserapkan di dalam diri setiap masyarakat, aktiviti rasuah secara langsung
dapat dikurangkan. Kesan daripada penghapusan rasuah sangat besar. Perolehan
awam dapat dilaksanakan dengan kadar terbaik tanpa melibatkan aktiviti rasuah
serta menidakkan hak pengguna.
Begitu juga dengan unit korporat
dan politik. Mereka dapat mempertingkatkan tadbir urus dengan cemerlang tanpa
sebarang penipuan.
IIM tidak ada kuasa
sebagaimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, jadi sejauh mana kuasa dan
bidang tugas IIM ini dalam usaha pencegahan rasuah?
Jika kita mahu menjadi negara
maju, bukan hanya pada duit atau kemajuan fizikal semata-mata, tetapi kematangan
dan integrasi masyarakat juga perlu maju.
IIM memang tidak ada kuasa dalam
menangkap atau menyiasat pesalah rasuah, tetapi IIM sebagai pelaksana kepada
usaha ke arah mengurangkan gejala rasuah itu. Sudah tentu pelaksana itu membawa
maksud untuk memastikan misi PIN tercapai.
Sebagai contoh, jika rasuah di
kalangan badan penguatkuasa meningkat, kita akan bantu mereka.
Bagaimana caranya?
Kita dekati mereka untuk
pertingkatkan lagi nilai-nilai prosedur kerja supaya proses dan perkhidmatan
yang diberikan sentiasa adil, tidak menyalahi undangundang dan tidak menidakkan
hak pengguna.
Contohnya, pada 6 November lalu,
kita mengadakan Konvensyen Integriti Nasional melalui kerjasama Suruhanjaya
Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM). Ia melibatkan 19 agensi penguatkuasa.
Di situ kita berbincang bagaimana
cara untuk menyediakan perkhidmatan terbaik untuk penguatkuasa, terutamanya
cara mengurangkan salah guna kuasa.
Akhirnya, satu resolusi
ditetapkan dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasa.
Di situ kita dapat lihat peranan
IIM. Tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan tetapi berperanan dalam memastikan
penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh agensi penguatkuasa dengan penuh berhemah
dan berintegriti.
Jika bercakap tentang
membentuk masyarakat berintegriti, ia perlu bermula dari rumah. Apa usaha IIM
dalam hal ini?
Melahirkan masyarakat yang
berintegriti perlu bermula dari rumah. Ibu bapa berperanan besar menerapkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan anak-anak.
Melalui kajian, institusi
kekeluargaan dilihat semakin rapuh. Dalam kehidupan seharian, ibu bapa yang
berkerjaya kurang meluangkan masa bersama anak-anak. Walhal mereka berperanan
untuk membentuk jati diri generasi Y.
Anak-anak sentiasa diabaikan dan
nilai murni dalam diri mereka tidak mantap. Itu dapat menjadi punca mereka
boleh terjebak dalam aktiviti menyalahi undang-undang.
Pucuk pangkalnya, anak-anak perlu
dididik. Ibu bapa perlu menunjukkan tauladan yang baik. Mereka ‘role model’ di
dalam rumah.
Contohnya, jika bergaduh, jangan
di depan anak-anak.
Kanak-kanak merupakan generasi Y
yang akan memimpin negara pada masa
hadapan. Kita tidak mahu tumbesaran mereka dicemari oleh budaya tidak sihat
yang dilihat oleh mata mereka.
Kita ada usaha untuk melahirkan
generasi Y yang cemerlang dan itu merupakan tumpuan kita.
Caranya, kita dekati mereka di
sekolah. Melalui kerjasama Kementerian Pelajaran, kita menerbitkan tiga buku,
Nilai Dalam Membina Integriti, untuk tahap satu (darjah satu hingga tiga),
tahap dua (darjah empat hingga enam) dan tahap sekolah menengah rendah.
Kita menggunakan ilustrasi
berwarna yang mudah difahami. 1,000 naskah sudah diedarkan dan boleh didapati
di pusat sumber sekolah.
Dari sini kita harapkan nilai integriti
itu dapat disematkan sejak dari kecil dan apabila besar, mereka mampu
mengatakan tidak kepada perkara yang tidak betul contohnya dalam isu rasuah
tadi.
Apakah harapan IIM dalam
mencapai matlamat PIN?
Bukan IIM tetapi kita sendiri.
Kita perlu ada tahap nilai dan etika yang tinggi.
Integriti perlu ada dalam diri
kita semua bagi menjamin masa depan yang berjaya. Bukan hanya pada diri sendiri
tetapi buat bangsa dan negara.
Tanpa integriti, negara boleh
musnah dalam sekelip mata. Jika kita tidak mahu lihat semua itu berlaku, kita
perlu persiapkan diri bagi melahirkan generasi yang lebih berkualiti dan salah
satunya adalah masyarakat yang bebas rasuah.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan