Khamis, 29 November 2012

ISU BAHASA : UMS-SIL Malaysia meterai MoU pelihara bahasa ibunda Sabah



KOTA KINABALU 27 Nov. - Menyedari bahaya ancaman kepupusan bahasa ibunda di Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalinkan kerjasama dengan Summer Institute of Linguistics (SIL) Malaysia iaitu sebuah organisasi yang mempunyai kepakaran dalam pembangunan mapan bidang linguistik.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS di sini baru-baru ini.

Dalam majlis itu, UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah manakala SIL Malaysia diwakili oleh Pemangku Pengarahnya, Cynthia M. Spoelman.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd. Harun berkata, MoU itu mampu merangsang pembangunan penyelidikan dan pengajaran bahasa ibunda di Sabah.

Katanya, generasi muda zaman sekarang kurang cenderung untuk mempelajari dan menggunakan bahasa ibunda, sekali gus memberi impak negatif yang akan membawa kepada kepupusan bahasa kebudayaan masing-masing pada masa hadapan.

''Diharapkan, melalui kerjasama ini ramai pakar bahasa akan mengambil cabaran untuk melakukan sesuatu bagi memastikan bahasa-bahasa ibunda yang terdapat di Sabah tidak hilang ditelan zaman," katanya.

Mohd. Harun berkata, melalui kerjasama tersebut, para penyelidik UMS boleh menggunakan pangkalan data yang dikumpul SIL mengenai bahasa tempatan di negeri ini yang telah dikumpul sejak SIL menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri pada 1978.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan