Oleh : ABD JALIL ALI
KITA mencatat satu lagi rekod
dunia. Seperti yang ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, tiga hari lalu: “Kita akan menjadi satu-satunya
negara mempunyai peraturan ini.” Boleh masuk dalam Guinness Book of World
Records!
"Peraturan itu ialah pindaan
Parlimen terhadap Peraturan Mesyuarat 36 (4) yang sebelum ini berbunyi: “Adalah
menjadi kesalahan bagi Ahli-Ahli Dewan menggunakan bahasa kurang sopan
(biadab).” Setelah dipinda ayatnya berbunyi: “Adalah menjadi kesalahan bagi
Ahli-Ahli Dewan menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat
pernyataan yang seksis.”
Jika disebut dalam bahasa mudah,
para YB kita – termasuk juga YAB! – tidak dibenarkan lagi menyebut istilah
lucah @ mencarut semasa sidang Dewan yang mulia itu. Ertinya kita negara
pertama di dunia ada peraturan tidak boleh mencarut.
Dengan pindaan tersebut
mengesahkan bahawa ada dalam kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat kita memang suka
mencarut, sehingga terpaksa dibuat peraturan untuk melarang mereka mengeluarkan
perkataan tidak senonoh.
Tidak dapat dipastikan sama ada
rekod yang satu ini patut dibanggakan. Apa yang pasti mungkin dapat meredakan
kekecewaan setelah sehari sebelum kenyataan Nazri kita menyaksikan Harimau
Malaya dibaham teruk 0-3 di kandang sendiri oleh Singa dari seberang Tambak
Johor. Alahai, kalau tidak dapat rekod AFF, dapat rekod mencarut pun kira okey.
Secara peribadi, saya menyokong
seratus peratus pindaan yang dibuat terhadap Peraturan 36 (4). Dengan pindaan
itu diharapkan sidang Parlimen kita tidak menjadi medan pertukaran kata-kata tidak sopan @ kurang ajar.
Seperti yang diketahui umum
memang sesetengah YB – tidak kira pihak kerajaan atau pembangkang – berperangai
tidak waras ketika berbahas di Dewan tersebut. Ada yang menggunakan bahasa
isyarat yang amat tidak sopan, betul-betul macam mat rempit.
Ada yang mengeluarkan kata-kata
kesat sambil menjerit, macam puntianak sundal malam. Ada pula yang berani –
malah megah – menumbuk dan mengetuk meja, betul-betul macam ah long minta
hutang. Macam mana orang berperangai seperti ini boleh dipilih sebagai wakil
rakyat!
Paling memalukan lagi meloyakan
ialah apabila terlalu bersemangat berhujah ada YB tergamak mengeluarkan
kata-kata lucah lagi seksis, tanpa sedikit pun menimbangkan perasaan dan
sensitiviti YB wanita. Tidak patut sekali
semangat di gerai kopi tepi longkang terbawa-bawa hingga ke Dewan yang mulia.
Namanya ahli Yang Berhormat,
sepatutnya gelaran hebat itu dipelihara menerusi perkataan dan perbuatan. Tentu
sekali pengundi memilih mereka, semasa pilihan raya, untuk menyampaikan masalah
rakyat dengan berhujah secara bermaruah dan berhemah tinggi, bukan dengan
mencarut.
Dengan pindaan tersebut, Speaker
mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada kata-kata dan istilah yang digunakan
oleh seseorang YB itu seksis atau tidak. Kebijaksanaan beliau akan menetapkan
sama ada satu-satu istilah itu boleh digunakan atau sebaliknya.
Maka Speaker perlu mengetahui
sekian banyak istilah. Bergantung pada cara penggunaan, satu istilah boleh
dianggap seksis, tetapi istilah yang sama juga boleh jadi tidak seksis. Contoh,
sekiranya menyebut “Bumbung Parlimen bocor”, itu tidak seksis.
Tetapi jika berkata “YB (wanita)
pun setiap bulan bocor”, istilah ‘bocor’ itu tentu sekali seksis.
Seyogia diingat ada nama-nama
tempat di negara kita yang bunyinya bernada seksis, ala-ala lucah. Contohnya,
kawasan Batu Buruk di Kuala Terengganu. Jika disebut “YB dari Batu Buruk”, itu
tidak seksis, sebab dia merujuk kepada wakil rakyat kawasan berkenaan.
Tetapi jika ada mana-mana YB,
terutama YB wanita berkata “Pada hemat saya lelaki batu buruk tidak akan
berupaya memainkan peranan sebagai suami yang baik” tentu sekali Speaker kena
menghalang istilah ‘batu buruk’ itu dari terus digunakan.
Juga tidak lucah sekiranya dalam
perbahasan Parlimen ada yang membuat kenyataan: “Tuan Speaker, saya ingin
menarik perhatian mengenai potensi Batang Berjuntai sebagai kawasan pertanian
moden.”
Tetapi Speaker kena memberi
amaran sekiranya ada YB yang celupar dan mengeluarkan kenyataan: “Saya harap
mana-mana lelaki batang berjuntai yang lepak di Dataran Merdeka perlu diambil
tindakan tegas.”
Semoga lepas ini para YB kita
lebih bersopan – buang semua sifat mat rempit, dan jangan berperangai seperti
ah long atau puntianak.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan