Khamis, 29 November 2012

ISU PENDIDIKAN : Tiada pengambilan guru sandaran


Oleh NORIZAN ABDUL MUHID

KEMENTERIAN Pelajaran memaklumkan tidak ada pengambilan baharu bagi jawatan guru sandaran sepanjang tahun ini manakala pelantikan guru tetap pula hanya dibuat berdasarkan keperluan pengisian serta kekosongan jawatan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, pihaknya perlu meneliti secara terperinci di peringkat proses temu duga calon guru sebelum diserapkan ke dalam profesion perguruan.

Menurutnya, selain mempunyai pencapaian akademik cemerlang, calon guru yang ditemu duga pada masa depan wajib memenuhi kriteria bersikap patriotik dan berperwatakan sesuai.

Misalnya, kita hanya memilih 30 graduan terbaik daripada 10,000 permohonan guru, itu pun setakat kita tawarkan temu duga dan bukannya tawaran kemasukan jawatan guru,’katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya dekat Putrajaya baru-baru ini.

Tegas Ghazali, langkah berhati-hati yang diambil itu bertujuan membetulkan persepsi masyarakat yang beranggapan profesion perguruan sebagai pilihan kerjaya terakhir setelah pelajar tamat pengajian.

Sepanjang proses temu duga ini berlangsung, kita akan mengambil langkah penambahbaikan pengambilan guru bagi memastikan keperluannya menepati matlamat guru cemerlang seperti dihasratkan oleh kerajaan.

Kita mahu menjadi seperti negara-negara maju lain yang mana pelajar mereka menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya utama mereka selain bidang kejuruteraan dan perubatan," ujarnya.

Beliau menambah, pengalaman pengambilan guru sebelum ini menjadi contoh terbaik kepada kementerian untuk melakukan proses penambahbaikan.

Hal ini demikian kerana, ujarnya, sebelum ini, sebahagian calon guru yang mempunyai kelayakan akademik yang cemerlang namun gagal memberikan jawapan terbaik apabila disoal mengenai keperluan profesional perguruan.

Sehubungan itu menurut Mohd. Ghazali, pihaknya perlu berhati-hati dan melakukan proses temu duga yang teliti semata-mata memastikan calon guru memenuhi piawaian dan keperluan pembelajaran dari semasa ke semasa.

Pada masa yang sama, katanya, kementerian akan memastikan pengambilan guru pada masa depan adalah mereka yang memiliki imej guru cemerlang dan mempunyai semangat patriotik tinggi, seterusnya menjadi ikon kepada pelajar.

Sementara itu, menurut kenyataan akhbar Unit Maklumat kementerian, tiada pengambilan pelantikan terbaharu Guru Sandaran Terlatih (GST) dan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT).

Jelas kenyataan tersebut, prosedur pelantikan guru melalui kaedah pelantikan secara tetap selepas calon lulus urusan temu duga jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 ditentukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan