Oleh : TAN SRI LEE LAM THYE
Sambutan Hari Tandas Sedunia pada
November lalu, datang dan pergi namun persoalan yang masih wujud di dalam minda
kita ialah sama ada kita telah menerima pakai budaya tandas bersih di negara
ini. Jawapan yang jelas adalah 'tidak'.
Sejak 2001, Kementerian Perumahan
dan Kerajaan Tempatan telah menjalankan 'Kempen Tandas Bersih' di seluruh
negara yang bermatlamat ke arah negara sifar tandas kotor menjelang 2020.
Melaksanakan kempen tandas bersih
adalah untuk memupuk disiplin dalam kalangan pengguna tandas dan memastikan
kemunculan budaya tandas yang betul dalam kalangan rakyat Malaysia adalah sangat
mulia tetapi malangnya selepas 11 tahun tiada apa yang boleh dibanggakan dengan
keadaan tandas kita.
Ketua Setiausaha Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Arpah Abdul Razak malah menyatakan
bahawa tahap kebersihan tandas di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan
(PBT) belum mencapai tahap yang dikehendaki di sebalik kerajaan menyediakan
peruntukan untuk pembangunan dan penjagaan tandas.
Saya menyokong kempen untuk
menjaga kebersihan tandas awam di seluruh negara seperti juga kebanyakan orang
tetapi persoalan sebenar adalah persoalan kemampanan.
Tandas, sama ada di jabatan atau
agensi kerajaan, lapangan terbang, restoran, stesen minyak atau mana-mana
tempat awam yang lain, mesti dijaga kebersihannya pada setiap masa bukan sahaja
untuk kegunaan oleh orang awam tetapi juga untuk memberi tanggapan yang baik kepada
pelancong asing.
Semasa pelancong asing melawat,
pertemuan pertama mereka adalah dengan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh
pihak berkuasa lapangan terbang serta di tempat-tempat awam lain terutamanya
kawasan pelancongan.
Maka, jika mereka masuk ke dalam
tandas yang kotor, pemikiran pertama mereka akan menggambarkan mengenai negara
dan budaya yang tidak begitu menyenangkan. Tetapi jika tandas yang bersih dan
terjaga dengan baik, ini akan menjangkau lebih daripada apa yang boleh
dinukilankan dengan perkataan.
Kebimbangan utama saya adalah
berkenaan dengan tandas awam serta tandas di restoran, kedai kopi dan medan
selera. Dalam kebanyakan tempat dan kedai makan ini, keadaan tandas amat
memerlukan perhatian malah ia boleh terus menghilangkan selera seseorang.
Adalah dicadangkan semasa kempen
dijalankan, PBT perlu melipatgandakan pemeriksaan ke atas kemudahan ini,
termasuk pengusaha pengendalian kebersihan tandas di kompleks beli-belah,
restoran-restoran, dan memastikan tahap kebersihan tandas dalam keadaan yang
memuaskan.
Kebarangkalian kita akan
mengecapi kemudahan tandas bersih bergantung kepada penyedia perkhidmatan serta
pengguna kerana kedua-duanya mempunyai peranan penting di dalam membangunkan
budaya pengunaan tandas yang betul.
Membangunkan budaya pengunaan
tandas awam yang sesuai adalah penting kerana pengguna tandas awam mesti
mempunyai satu tabiat yang mencerminkan perwatakan baik mereka.
Masanya sudah tiba untuk kita
merevolusikan tanggapan terhadap tandas. Kita perlu menukar tanggapan kita
tentang subjek tandas. Kita tidak boleh lagi mempunyai pandangan bahawa tandas
adalah tempat yang kotor dan kita tidak perlu untuk berbuat apa- apa.
Sebaliknya, kita mesti menerima
hakikat bahawa kita perlu menjaga tandas supaya bersih sepanjang masa walaupun
ia adalah tempat pembuangan najis.
Keprihatinan yang disuarakan oleh
rakyat Malaysia yang berfikiran sivik tentang keadaan kotor dan tidak sihat ini
yang berkaitan dengan keadaan tandas di negara ini bukanlah sesuatu yang tidak
berasas.
Seseorang hanya perlu berjalan
masuk ke sebuah tandas atau mana-mana tandas di negara ini untuk menyedari
betapa jijiknya keadaan tandas kita.
Walaupun tandas di kawasan rehat
di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan agak memuaskan dari segi kebersihan masih ada
ruang untuk penambahbaikan.
Malangnya, kebersihan tandas di sepanjang Lebuhraya dari KL ke
Gambang, Pahang adalah jauh daripada memuaskan. Saya telah membuat aduan
sebelum ini tetapi masih tiada perubahan yang dibuat.
Malah tandas di pusat beli-belah
dan pejabat juga didapati tidak bersih walaupun orang ramai perlu membayar
untuk menggunakan kemudahan ini. Ia bertitik tolak kepada soal penyelenggaraan,
pengunaan dan tentu sekali tentang budaya kebersihan.
Dari satu sudut ia adalah
berpunca daripada masalah penyelenggaraan. Kemudian terdapat juga isu pengguna yang
tidak tahu bagaimana untuk menggunakan tandas awam dengan cara yang bersih dan
dari sudut yang lain terdapat juga masalah vandalisme terhadap tandas awam
kita.
Sudah tiba masanya bagi orang
ramai untuk dididik bagaimana untuk menggunakan tandas dengan cara yang betul.
Terdapat juga keperluan untuk
menyemai dan memupuk budaya kebersihan tandas awam supaya mereka dapat
menjadi mesra pengguna. Dan mereka yang bertanggungjawab untuk menjaga
kebersihan dan penjagaan tandas awam mesti bertanggungjawab melaksanakan tugas
mereka.
Penulis ialah aktivis sosial.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan