KUALA LUMPUR : Global
Terrorism Index meletakkan Malaysia antara negara yang aman daripada
ancaman militan iaitu di tangga ke-90 daripada 158 negara di dunia.
Menurut Pengarah Pasukan Petugas
Khas (Operasi dan Counter Terrorism) Bukit Aman Datuk Muhamad Fuzi
Harun, laporan yang dikeluarkan Institute for Economics and Peace dari
Amerika Syarikat itu berdasarkan kajian serangan pengganas seluruh dunia bagi
tempoh 2002 hingga 2011.
Kejayaan negara berada sebaris
dengan negara yang kurang dari segi aktiviti keganasan adalah hasil kecekapan
dan ketangkasan pihak risikan polis serta kejayaan menumpaskan kegiatan
pengganas di negara ini, katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Khamis.
"Kita kena ingat masalah
keganasan ini bukan masalah domestik sebaliknya masalah antarabangsa, jadi
inisiatif yang polis ambil selain memperkasakan unit risikan ialah kita
sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan polis antarabangsa (Interpol) dan polis
dari negara lain," katanya.
Beliau menambah kerjasama erat
bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadikan aktiviti militan di negara
ini dapat dikekang dengan baik.
"Kita sentiasa bekerjasama
dengan ATM terutamanya dalam bidang logistik, inipenting bagi kita untuk
membawa suspek yang disyaki menjadi anggota kumpulanmilitan dengan bantuan
logistik dari ATM," katanya.
Mohamad Fuzi berkata pemantauan
dan tindakan yang diambil secara berterusanmelalui maklumat yang diterima
menjadikan Malaysia mampu mengawal aktiviti militan di negara ini dengan
sempurna.
Panglima Angkatan Tentera
Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pula memberi jaminan aktiviti
militan mampu dikekang di negara ini berdasarkan pemantauan dan risikan yang
dilakukan oleh tentera dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata Malaysia tidak
dapat lari daripada menerima tempias kumpulanmilitan berdasarkan faktor
kumpulan pengganas menjadikan negara jiran sebagaitempat untuk merekrut anggota
baharu.
"Namun di Malaysia,
keadaannya terkawal dan sentiasa dipantau," tegasnya.
Menurut laporan Global
Terrorism Index yang dikeluarkan pada Rabu, untuk tempoh 10 tahun sejak
2002, Malaysia hanya mencatatkan enam insiden militan iaitu dari tahun 2008
sehingga 2010.
Laporan itu menyebut tiada aktiviti
militan di Malaysia pada 2011 dan pada 2002 sehingga 2007.
Pada 2010 tiga kes pengganas
dilaporkan berlaku di negara ini yang tidakmelibatkan kerosakan harta benda,
kecederaan dan kematian.
Pada tahun itu polis berjaya
menghalang cubaan meletupkan kuil di Batu Caves, Selangor dan kuil Kuan Yin di
Air Itam, Pulau Pinang serta menahan sembilan warga asing dan seorang warga
tempatan kerana terbabit dalam aktiviti pengganas antarabangsa di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri.
Pada 2009, hanya satu insiden
pengganas dilapor dan melibatkan satu kecederaan, manakala pada 2008 hanya dua
kes kegiatan pengganas dilapor, melibatkan kerosakan kepada harta benda tanpa
mengakibatkan kematian dan kecederaan.
Laporan itu yang dikeluarkan
untuk menepis tanggapan silap dan membantu usaha menangani keganasan di
peringkat antarabangsa, mencatatkan kedudukan 158 negara berdasarkan jumlah
insiden keganasan, jumlah kematian akibat keganasan, jumlah kecederaan akibat
keganasan dan anggaran kerosakan harta benda akibat keganasan.
Iraq, Pakistan, Afghanistan dan
India adalah antara negara yang paling teruk menerima kesan akibat keganasan
dan militan. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan