Oleh : Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom
ADA yang bertanya kepada saya
jika kreativiti dan inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak
dijadikan sebagai mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah.
Jawapannya, kreativiti dan
inovasi tidak boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung
melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang.
Dengan kata lain apa sahaja mata
pelajaran kedua-dua elemen itu boleh diajar oleh guru melalui pendekatan
pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre.
Pengajaran berpusat kepada murid
maksudnya pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru
mengajar dan murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan
berfikir muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu
pengajaran yang menarik minat murid.
Mempelbagaikan aktiviti
pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja
berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah sangat digalakkan. Aktiviti tersebut
akan menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota
dan menghasilkan tugasan tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan
dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan
murid.
Sesungguhnya murid yang kreatif
dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta,
bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri
murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi
cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak
menghairankan mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk
pendidikan.
Di samping itu Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500
juta kepada Kementerian Pelajaran bagi melaksanakan aktiviti latihan guru yang
berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau high order thinking skills.
Apakah sebenarnya definisi
kreativiti dan inovasi itu. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang
mendorong mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru
dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi
suatu yang baru.
Sementara itu, inovasi pula
merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik.
Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan
menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.
Sebagai contoh jika dulu
penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui
inovasi ia digunakan sebagai alat hiburan, internet, kamera, penyampai
maklumat, memberi pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan.
Guru memainkan peranan penting
bagi menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran mereka. Sebagai penyampai
ilmu guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam
menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik.
Mempunyai kemahiran sedemikian
akan menjadikan guru berada di tahap teratas dan akan disanjung oleh muridnya.
Kualiti guru sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran
lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan
berkolaborasi dengan baik.
Peranan pengurusan sekolah tidak
kurang pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam
kalangan warganya. Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif
dan inovatif agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat,
menggalakkan pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan
teknologi serta ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum.
Pengetua dan Guru Besar bersama
pengurusan tertinggi di sekolah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya
kreativiti dan inovasi sama ada di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah
menjadi institusi yang menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi
mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam
pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.
Pihak pengurusan juga perlu
menjadikan iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat.
Sikap terbuka, mesra dan berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan
guru dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti
pembelajaran.
Bagi mewujudkan suasana
sedemikian pengurusan sekolah perlulah memastikan berlaku sistem komunikasi dua
hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan
pembangunan insan yang harmoni.
Kepimpinan sekolah hendaklah
terdiri daripada mereka yang berkebolehan dalam menguruskan organisasi
pembelajaran. Selain mendapat latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas
dalam bidang pendidikan mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat
bagi membawa perubahan kepada sekolah.
Perlu ada visi dan misi, strategi
dan perancangan yang baik. Bagi memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka
perlu mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah
termasuk ibu bapa.
Mempunyai ciri budaya sekolah
yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang
tinggi di kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha
mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik.
Dengan bimbingan dan sokongan
guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional usaha yang dilakukan oleh
murid akan membuahkan kejayaan nanti.
Keberkesanan sekolah akan
terserlah jika mereka dapat menggunakan teknologi dan ICT dalam pengurusan dan
dalam bilik darjah. Sebenarnya teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata
tetapi boleh menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.
Penggunaan ICT secara meluas
dapat membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia
akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif.
Seperti yang ditegaskan oleh
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam majlis Perhimpunan Khas Guru
Malaysia pada 3 November lepas bahawa; "Guru perlu meneliti semula amalan
bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang.”
''Kreativiti dan inovasi amat
dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad
ke-21 ini. Untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan
kecuali meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas
guru semakin mencabar."
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan