Pelajar gagal harus diberi peluang kedua bagi mencapai kejayaan |
Oleh : REJAL ARBEE
BANYAK akhbar memberi tumpuan
kepada calon yang mendapat 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
minggu lalu.
Ia dipaparkan di muka depan
kebanyakan akhbar arus perdana, dan dinyatakan 15,793 calon tahun lalu mendapat
gred A bagi semua mata pelajaran diambil, meningkat 0.13 peratus berbanding
15,079 calon pada 2011.
Penulis bukan hendak
mempersoalkan tumpuan akhbar kepada keputusan cemerlang ini, tetapi ia
hendaklah tidak menjadi suatu yang dimegahkan dalam mana pelajar lain juga
mendapat keputusan baik atau lulus.
Apa yang perlu dipertimbangkan juga
ialah kedudukan murid-murid yang gagal dalam peperiksaan itu, termasuk yang
hanya memperoleh kelulusan ‘borderline’.
Apakah mereka ini harus diabaikan
sahaja untuk berusaha sendiri menghadapi masa depan yang tidak menentu atau
apakah tidak boleh dilakukan usaha untuk memberi mereka ini peluang kedua bagi
mencapai kejayaan.
Mereka ini juga adalah rakyat
yang boleh memberi sumbangan berguna kepada negara sekiranya diberi bimbingan
baik. Maka itu usaha perlu diberikan kepada mereka yang tercicir ini.
Pelbagai usaha boleh difikirkan
supaya aset muda-mudi yang gagal atau lulus tahap biasa ini tidak terus
menghadapi kegagalan dalam kehidupan hingga akan membebankan keluarga dan
akhirnya negara sendiri.
Memang murid yang mencapai tahap
kecemerlangan patut diberi pengiktirafan. Tentunya ibu bapa, sekolah dan
guru-guru berbangga dengan pencapaian tersebut.
Dalam mengiktiraf pelajar-pelajar
demikian, keputusan baik dalam peperiksaan tidak harus dianggap satu-satunya
pengukur terhadap kecemerlangan pelajar.
Banyak lagi pencapaian lain perlu
mendapat perhatian seperti berakhlak mulia walaupun pencapaian dialam bidang ini
sukar diberikan markah secara objektifnya.
Apa pun, salah satu tujuan persekolahan
mengikut apa yang ditetapkan Kementerian Pelajaran, selain berusaha melahirkan
suatu bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu ialah juga untuk
melahirkan pelajar beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan
sejahtera.
Falsafah pendidikan seperti
diterapkan kementerian tidak ada cacat celanya kerana sememangnya usaha untuk
memperkembangkan potensi individu bagi mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berasaskan kepercayaan
kepada Tuhan diterima ramai.
Juga tiada kekurangan dengan
matlamat melahirkan rakyat berilmu, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berupaya mencapai kesejahteraan diri bagi menyumbang
kepada keharmonian dan kemakmuran negara.
Persoalannya apakah hasrat ini
dapat diterapkan ke dalam sanubari semua murid setelah meninggalkan dunia
persekolahan? Kiranya wujud sebilangan besar antara mereka yang masih tidak
dapat memenuhi kehendak itu tentunya ada kekurangan dalam usaha sekolah
melaksanakan apa telah ditetapkan itu, kalau pun tidak dianggap suatu
kegagalan.
Malangnya buat masa ini belum ada
sebarang usaha untuk menilai tahap pencapaian itu atau diwujudkan suatu sistem
untuk mengukur tahap pencapaian yang subjektif demikian ini. Mungkin kini sudah
tiba masanya Jabatan Pelajaran memikir bagaimana pencapaian perkara subjektif
demikian boleh diukur.
Sememangnya akhlak mulia dan
keterampilan sesetengah lulusan sekolah kelihatan tidak menyenangkan dan perlu
dibaiki. Benar usaha memupuk akhlak mulia bukan tanggungjawab sekolah dan guru
sahaja. Tidak kurang penting adalah peranan ibu bapa dan penjaga untuk
membimbing anak-anak mereka mencapai matlamat dikehendaki.
Akhbar sendiri juga berperanan
membantu usaha demikian supaya tidak lagi akan wujud cerita-cerita menyayat
hati bagaimana bayi hasil keterlanjuran seseorang murid dibuang dalam tandas
atau tong sampah. Dan dalam pada itu yang menghadapi padah tindakan hasil
keterlanjuran itu ialah murid perempuan yang sudah pun menghadapi trauma perlu
pula menghadapi tuduhan membunuh.
Padahal mereka ini telah
mengambil keputusan nekad demikian kerana sudah buntu pemikiran sebab tiada
tempat mengadu dan terpaksa menghadapi tekanan emosi dan kepahitan. Mereka ini
sebenarnya memerlukan bimbingan untuk mengubah sikap supaya insaf dengan
perlakuan terlampau mereka itu, bukannya menghadapi kemungkinan dihukum bunuh.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan