Rabu, 27 Mac 2013

Uthman El-Muhammady cendekiawan ulung


Oleh : Imlan Adabi
 
Lelaki yang berbadan kecil dan kelihatan serius itu lebih mesra dipanggil ustaz. Ramai pelajar mengakui Dr Muhammad Uthman El-Muhammady bukan sekadar ulama, pensyarah atau guru. Malah, ada yang menggelarnya ‘ayah’ kerana tidak jemu memberi nasihat dan galakan kepada insan yang lebih muda.

Pengalaman menjadi pelajarnya adalah detik yang menyenangkan. Uthman ‘mewajibkan’ pelajar lelaki berada di barisan hadapan dalam kelasnya dan wanita di belakang.

Ketika ditanya, beliau hanya menyatakan lelaki berada di saf hadapan ketika solat dan wanita di belakang.

Secara berjenaka, Uthman menyatakan ‘bahaya’ lelaki berada di belakang wanita kerana mata dan akal mereka sukar fokus.

“Lelaki mempunyai akal yang lebih, tapi kerap disalahgunakan,” tutur Uthman sinis.

Beberapa bulan lalu kami bertemu pada majlis kesyukuran di kediaman seorang ahli korporat kelahiran Kelantan. Uthman kelihatan pucat dan kurang bermaya tapi tetap mesra seperti tiga dekad lalu.

Penulis beberapa kali menelefon Uthman ketika isu kalimah Allah begitu hangat diperkatakan. Penulis yakin beliau tokoh berwibawa dan boleh memberi pandangan mengenai sejarah penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan kesannya terhadap tamadun ummah.

Pengalaman Uthman sebagai ulama besar dan pernah mengiringi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vatican menjadi kelayakan beliau mengulas isu kalimah Allah.

Malangnya, panggilan telefon tidak berjawab dan penulis tidak menduga kesihatan beliau semakin terjejas.

Beberapa tahun lalu kami pernah terserempak di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubur, Kelantan dan sempat minum bersama. Uthman seorang yang kuat ingatan dan masih kenal pelajarnya walaupun tiga dekad berlalu.

Apabila menerima perkhabaran pemergian beliau pada 25 Mac lalu, tiada kata-kata yang dapat diucapkan selain al-Fatihah dan mengenang semula seorang ustaz yang dihormati ramai.

Tokoh Maal Hijrah 2005 ini meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC) pada jam 7.30 malam akibat sakit jantung.

Beliau meninggalkan balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta lebih 40 cucu.

Pemikir Islam tanah air

Uthman adalah pemikir Islam tanah air, dilantik Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1995 hingga 2008, sebelum dilantik semula hingga 2010.

Allahyarham juga Felo Amat Utama Akademik ISTAC UIA dan anggota lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau dilahirkan di Kampung Telok, Panji, Kota Bharu pada 1 Februari 1943. Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum Special Malay Class pada 1943 di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudian menjadi Maktab Sultan Ismail, atau Sultan Ismail College hingga ke Tingkatan 5. Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar Kedah. Pada 1963, beliau menuntut di Universiti Malaya (UM) dan mendapat sarjana muda dalam Pengajian Islam pada 1966. Kemudian beliau menjadi tutor dan mendapat sarjana pada 1969.

Beliau terus mengajar di Jabatan Pengajian Islam UM hingga 1973 apabila kembali ke Kelantan untuk menumpu masa sebagai penulis dan pendakwah bebas. Pada 1995, beliau dikurniakan Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kerana usaha dan penulisannya dalam pemikiran Islam dan dakwah.

Minat kajian beliau adalah di dalam bidang ilmu Islam dan falsafah Barat. Tidak hairanlah pelajar yang mengkaji sejarah tamadun Barat akan merujuk kepada Uthman apabila timbul isu mengenai peradaban dan krisis pemikiran Barat-Islam.

Antara karya beliau yang menjadi rujukan adalah Al-Quranul-Karim, terjemahan dan Huraian Maksud terjemahan dan huraian tambahan atas tafsir Inggeris oleh Abdullah Yusuf Ali (Dewan Bahasa dan Pustaka), Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud (Majlis Ugama Islam Negeri Kelantan), Peradaban dalam Islam (Pustaka Aman Press, Kota Bharu) dan Memahami Islam (Pustaka Aman Press, Kota Bharu).

Pemergian beliau kehilangan besar bidang akademik dan kesarjanaan Islam. Bagi bekas pelajarnya, beliau guru yang kritikal menganalisis sejarah Islam. Uthman menempelak buku sejarah yang menuduh pengasas Bani Umaiyah, Muawiyah Abu Sufyan (602-680) sebagai penipu sedangkan tokoh Islam berkenaan adalah sahabat Nabi Muhammad yang sudah dijanjikan syurga. “Mustahil seseorang ahli syurga menipu untuk mendapat jawatan khalifah!” tegas Uthman.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan