Rabu, 27 Mac 2013

Perginya ilmuwan : Dai’- Murabbi

Allahyarham Dr. Muhammad Uthman El Muhammady

Oleh : PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

PERGINYA Tokoh Maal Hijrah Negara 2005, Dr. Muhammad Uthman El Muhammady amat dirasakan oleh rakan dan taulan. Sikapnya yang ramah, pendirian dakwah yang tegas dan jelas, istiqamah dalam menyantuni umara adalah ciri penting peribadinya. Sehingga akhir hayatnya, beliau amat mendekati ilmu dan sangat rajin membaca dan bertukar-tukar fikiran. Maklumat daripada anaknya Ahmad, sehingga menghembuskan nafas yang terakhir buku adalah bersamanya.

DAI-MURABBI SEPANJANG HAYAT

Saya mengenali Allahyarham sejak awal tahun 1970-an lagi. Beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya dan aktif dalam jamaah Ar Rahmaniah. Sewaktu saya terlibat dalam Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Malaya (PMIUM), Allahyarham adalah penceramah popular diundang ke program Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya yang banyak melahirkan kader-kader dakwah.

Penguasaan bahasa Melayu, Arab dan Inggerisnya ternyata amat baik sekali. Kekuatan berbahasa ini menyebabkan Allahyarham mempunyai sumber rujukan yang kaya dan menyebabkan ceramahnya mantap dan mendukung risalah ilmu.

Sebagai seorang pendakwah dan pendidik, Allahyarham amat mengutamakan dustur (etika dakwah). Maksud Surah An Nahl ayat 125 mengenai dakwah dengan hikmah, pekerti teladan yang baik, berhujah dengan hujah terbaik menjadi pedoman dirinya bila menyampaikan tazkirah, syarah dan kuliah kerana risalah dakwah itu sifatnya mengajak, memanggil dan menyeru bukan sebaliknya.

Beliau amat sensitif dengan gelagat sesetengah pendakwah dan pendidik yang tidak mematuhi etika dakwah iaitu gopoh, biadap, asal sampai, tanpa dukungan ilmu dan sumber rujukan yang sahih dan tidak ke arah membina fikrah yang betul.

Allahyarham sering berpesan - Islam itu sejahtera. Dakwah Islam menyuburkan rasa sejahtera bukan rasa duka dan hampa. Justeru sifat kasih sayang dan belas kasihan seharusnya menjadi intipati dakwah. Pendekatan keras, gopoh dan melampau bukanlah pilihan dalam kerja dakwah dan tarbiyyah Allahyarham.

Hubungan rapat saya dengan beliau sehingga menjelang akhir hayatnya sentiasa menekankan kepentingan istiqamah dengan cita-cita Islami tetapi menuntut kebijaksanaan dalam melaksanakanya. Ia menjadi pedoman saya sebagai dustur dakwah bijaksana.

Mengikuti ceramah Allahyarham menuntut kesabaran. Allahyarham bukan mahukan populariti tetapi setiap patah yang diucapkannya terkandung makna bagi mereka yang menilai ilmu dan rujukan sumber adalah sesuatu yang amat penting.

PENULIS BUKU DAN PENTERJEMAH GIGIH

Allahyarham juga seorang penulis yang gigih dengan sumber rujuk yang kaya. Saya masih ingat setiap ceramah beliau dalam program Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (LAKIUM) disertakan dengan kertas kerja yang agak tebal dan rujukan yang banyak. Saya sendiri melakukan kompilasi tulisan beliau dan banyak daripadanya sudah dibukukan.

Bila saya dan rakan-rakan menghadapi beberapa isu ilmu dan dakwah beliaulah menjadi orang rujukan dan penjelasan yang diberi oleh beliau dengan nas yang jelas amat meyakinkan. Allahyarham sering berpesan dakwah bukan sesuatu yang bersifat emosi tinggi. Dakwah perlu didekati dengan kebijaksanaan akal dan ketinggian hati budi. Dari situ lahirnya kasih sayang dan menyebabkan mad‘u atau sasaran disantuni dan kesan pada dirinya abadi.

Suatu usaha besar beliau melalui Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1991 ialah menterjemahkan tafsir al-Quran dalam bahasa Inggeris The Holy Quran oleh Maulana Abdullah Yusuf ‘Ali dalam tujuh jilid memberi impak yang besar kepada dakwah Islamiah di Malaysia. Terjemahannya amat lancar dengan bahasa yang amat mesra pembaca. Kekuatan berbahasanya menjadi suatu keunikan dalam terjemahan Al Quranul Karim - Terjemahan dan Huraian Maksud.

TEGAS DENGAN PENDIRIAN AHLUS SUNNAH WALJAMAAH

Di tengah-tengah simpang-siur aliran dan pendekatan dakwah yang pelbagai, Allahyarham amat tegas dengan pendirian sebagai pendukung fahaman Ahlus Sunnah Waljamaah merujuk kepada Mazhab Shafieyah sebagai sandaran utama.

Beliau amat tegar mempertahankan aliran bermazhab dan sering tampil dalam muzakarah di mana-mana dalam mempertahankan aliran ini dengan hujah-hujah yang amat tersendiri. Saya amat terkesan mengiringi beliau sewaktu di Jakarta beberapa tahun lalu berdebat dengan tokoh salafi Indonesia dan tokoh-tokoh Salafi Wahabi Malaysia mengenai isu usul (pokok) dan furu’ (ranting) di samping isu bidaah.

Beliau sering menyatakan pendirian bahawa rantau ini adalah rantau Ahlu Sunnah Waljamaah dan sebarang usaha merosakkan perjalanan aliran ini akan membawa bencana kepada perpaduan ummah. Pada hemat saya pendirian ini jugalah yang dipegang oleh beliau sehingga ke akhir hayatnya. Memang ada yang tidak setuju tetapi itu watak dan pendirian Allahyarham Ustaz Uthman el Muhammady.

MENYANTUNI UMARA

Allahyarham amat berpegang kuat dengan pendekatan menyantuni umara atau Ulil Amr. Di mana-mana dalam ceramah beliau beberapa tahun kebelakangan ini menekankan pentingnya umara disantuni. Asas beliau sangat kukuh. Kalangan umara mempunyai latar pendidikan dan pemikiran yang tidak sama dengan ulama dan ilmuwan Islam.

Menyantuni umara dengan idea, program dan strategi bijaksana melaksanakan Islam dalam sistem tidak perlu gopoh. Oleh kerana Malaysia bukan negara sekular kepentingan terhadap Islam semakin meningkat. Keperluan ulama-ilmuwan menyantuni Ulil Amri menjadi sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Ia mengingat saya dengan seorang tokoh ilmuwan berwibawa, Allahyarham Tan Sri Prof. Ahmad Ibrahim yang banyak menyantuni umara dan sistem dari sudut perundangan dan syariah. Usaha beliau telah menghasilkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam yang lebih baik dan asas undang-undang syariah yang berkaitan dengan muamalah dan kewangan negara sehingga resam muamalah yang patuh-syariah menjadi sesuatu yang diamalkan di Malaysia dan dijadikan model kepada dunia Islam yang lain.

Allahyarham Uthman el Muhammady berpendirian memang menjadi kewajipan ulama-ulama sekali gus dai’ dan murabbi menyantuni umara dengan sabar dan bijaksana. Beliau selalu membisikkan kepada saya supaya istiqamah dengan pendirian ini dengan jiwa yang ikhlas dan hati yang teguh. Jangan jadi seperti pengkritik program Islamisasi, menyantuni umara jauh sekali tetapi apabila tegak sistem patuh - syariah dan ruang untuk pendidikan Islam, merekalah orang pertama memanfaatkannya. Itu tidak adil, kata Allahyarham.

Sikap beliau menyantuni umara sering menjadi bahan kritik dalam kalangan mereka yang anti-establishment. Allahyarham tidak pernah gusar dengan kritik itu malah menjadikan beliau lebih gigih untuk terus berjuang kerana keyakinan beliau ialah di Malaysia banyak ruang Islamisasi terjadi. Ia bergantung kepada kebijaksanaan ulama-ilmuwan melakukannya.

Salah satu pengiktirafan besar terhadap wibawa beliau, sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad melawat Pope di Vatican beberapa tahun lalu, Allahyarham adalah salah seorang yang ikut serta.

MENENTANG PLURALISME AGAMA

Suatu ketika sewaktu isu pluralisme agama hangat di Malaysia hasil ucapan seorang ahli politik di London Scool of Economics saya berbincang lama dengan beliau mengenai isu itu. Beliau secara tegas menyatakan bahawa pluraliti dan pluralisme agama tidak sama. Allahyarham berkongsi dengan saya mengenai pemikiran Johh Hicks yang menjadi rujukan tokoh politik itu dan menyebabkan ia adalah salah dan bercanggah dengan pemikiran Ahlus Sunnah Waljamaah.

Tidak lama selepas itu terhasillah suatu kertas kerja yang panjang berkaitan dengan pluralisme agama dan dihubungkan dengan pemikiran John Hicks dan dibentangkan di banyak tempat dan kini sudah menjadi sebuah buku.

Bagi Allahyarham aliran pluralisme agama ini iaitu menyamakan semua agama sama adalah sesuatu yang sangat berbahaya di Malaysia. Sekiranya aliran ini tidak dibendung ia menjadi faktor lain ke arah kekacauan berfikir umat Islam dan menyebabkan faham liberal bakal bermaharajalela dan boleh menyebabkan akidah umat terjejas.

Perginya tokoh ilmuwan, dai’ dan murabbi yang sepanjang hayatnya menyumbang kepada kerja-kerja Islam amat dirasai. Seorang tokoh yang humble , tidak memberi syarat dibayar apabila menyampaikan ceramah adalah suatu prinsip yang amat murni. Usianya dihabiskan untuk menyeru kepada makruf dan mencegah kepada kemungkaran, beriman kepada Allah secara bijaksana memancarkan jiwa besar menyantuni mad‘u atau sasaran.

Kalau Allahyarham berkelapangan, payah untuk beliau menolak undangan ceramah. Baik di TV atau Forum Perdana mahupun di kuliah-kuliah khusus walaupun kesihatannya terganggu, beliau tetap meraikan tanpa mengeluh.

Jejak perjuangan inilah yang patut dicontohi. Jiwa tenang dan sabar yang dimilikinya adalah lambang yang patut diteladani. Moga-moga Allah SWT mencucuri Rahmah dan Nikmah-Nya kepada hamba ini dan menempatkan beliau dalam kalangan orang yang diredhai-Nya.

Penulis ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan