Oleh : Norhidayu Hassan
SEPERTI jabatan-jabatan lain
dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)
juga mempunyai misi dan visi - menggempur jenayah dadah dan memeranginya
sebagai musuh negara.
Dalam era perubahan zaman, JSJN
tidak ketinggalan bergelut dengan jenayah dadah yang semakin canggih dengan
peralatan digunakan, berbahaya (pemilikan senjata api malah bom) dan kompleks
menerusi modus operandi (MO) yang sentiasa bertukar-tukar.
Walaupun kerap kali mendengar
kejayaan demi kejayaan JSJN menumpaskan sindiket tempatan dan antarabangsa
serta rampasan dadah bernilai jutaan ringgit namun untuk menggempur sindiket
itu secara habis-habisan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.
Hal ini diakui Pengarah JSJN,
Datuk Mohd. Noor Rashid Ibrahim yang berpendapat PDRM hampir tidak mungkin
menghapuskan jenayah dadah 100 peratus, masalah sama dihadapi negara-negara
lain di seluruh dunia.
Ini kerana pasukan itu berhadapan
dengan pelbagai taktik atau MO baru sindiket yang sentiasa mencari jalan agar
tidak dikesan pihak berkuasa tidak kira melalui udara, perairan mahupun darat.
Ini termasuklah penyeludupan
menerusi sempadan negara yang luas selain penghantaran menggunakan kurier dan
juga 'keldai' dadah.
"Dasar negara yang liberal
dan berdiplomasi dengan negara luar juga menjadi pendorong warga asing seperti
Pakistan, Iran, Nigeria dan beberapa negara lain mengambil kesempatan untuk
menyeludup masuk atau keluar dadah di negara ini.
"Sindiket-sindiket yang
masuk melalui ruang perniagaan, pendidikan dan pelancongan kerap mengambil
kesempatan atas dasar negara kita sehingga wujud persepsi negara ini adalah transit
pengedaran dan penyeludupan barang terlarang itu," katanya kepada Utusan
Malaysia sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-206 di pejabatnya di Ibu
Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara itu turut
didorong oleh harga dadah yang melambung di negara ini ekoran kesukaran untuk
penagih mendapatkannya yang disebabkan operasi besar-besaran dijalankan pihak
berkuasa.
Hal itu menyebabkan ramai
termasuk dalam kalangan warga asing yang sanggup mengambil risiko walaupun
mengetahui harus berhadapan dengan hukuman mati.
"JSJN akan meningkatkan
pengawalan dan pemantauan laluan yang dikenal pasti termasuk meningkatkan
kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia
(JKDM) yang diakui semakin hebat menumpaskan jenayah ini bersama-sama,"
ujar beliau.
Menurut Mohd. Noor Rashid, berdasarkan statistik dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, JSJN
telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM30.67 juta dan menahan sebanyak
30,297 orang atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik.
"Jumlah itu bagaimanapun
adalah lebih rendah berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu RM52.79
juta," ujarnya.
Kejayaan itu, ujar Mohd. Noor
Rashid, tidak terhad kepada menumpaskan sindiket antarabangsa namun juga
tempatan dengan yang terbaharu membongkar enam buah makmal haram di sekitar
Lembah Klang dan beberapa negeri baru-baru ini.
Antaranya, merampas dadah
berjumlah 74.98 kilogram dalam bentuk kristal dan 48.8 kilogram dadah serbuk
bernilai keseluruhannya RM15 juta dalam serbuan Ops Lilac di enam lokasi di Kota
Kinabalu. Dalam serbuan itu, polis menangkap sembilan lelaki tempatan serta
tiga lelaki warga Hong Kong.
Pada 22 Februari lalu pula, polis
melancarkan satu serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini dan
merampas 4.2 kilogram cecair disyaki syabu, 5.2 kilogram dadah ketamin, 30.33
kilogram pil ekstasi dan 3,500 biji dipercayai pil Eramin 5 yang keseluruhannya
bernilai RM1.4 juta.
Malahan baru-baru ini juga, polis
melancarkan gerakan yang menyasarkan sindiket warga asing yang beroperasi di
ibu negara dan menahan lapan lelaki warga Nigeria dan Mongolia dan merampas 6.7
kilogram dadah bernilai RM1.38 juta.
Hasil kajian JSJN, ujar Mohd.
Noor Rashid, pengedar dari Pakistan, Iran dan India sering menjadikan Malaysia
sebagai pusat transit malah tangkapan warga India turut meningkat berbanding
Nigeria dan Iran.
"Kalau kita kaji trend tahun
ini tangkapan rakyat Nigeria menurun secara mendadak. Kebanyakan jenis dadah
yang diseludup masuk ke Malaysia datangnya dari warga Pakistan yang membawa
heroin, Iran (syabu) dan India (ketamin)," katanya.
Beliau berkata, pihaknya percaya
sindiket dari Nigeria cenderung bekerjasama dengan semua negara luar antaranya
China, Thailand dan Hong Kong untuk menyeludup masuk dan keluar dadah daripada
Malaysia dengan menggunakan keldai dadah tempatan.
Jelasnya, sindiket dari India
menggunakan lapangan terbang untuk menyeludup masuk dadah dengan membawa dalam
bagasi manakala warga Pakistan pula menggunakan kontena dan agak sukar untuk
menjalankan siasatan.
Walaupun dadah dianggap sebagai
ancaman negara, Mohd. Noor Rashid memberitahu, situasi penyalahgunaan dadah
dalam negara masih terkawal dan pihaknya mempunyai kerjasama yang baik dengan
negara luar terutama negara serantau dalam perkongsian maklumat.
Apa yang membimbangkan pihaknya
kini adalah penglibatan rakyat negara ini yang ditangkap sebagai keldai dadah
di luar negara menunjukkan peningkatan saban tahun terutama di Indonesia dan
Thailand.
"Statistik yang kita
peroleh pada 2009, seramai 125 orang ditahan; 2010 (142 orang); 2011 (143
orang); 2012 (171 orang) dan bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini sudah
seramai dua lelaki ditahan di Indonesia dan sembilan di Thailand dengan
tangkapan terkini adalah 11 orang.
"Jumlah tangkapan itu
dianggap serius kerana menunjukkan ramai rakyat kita mudah diperalat oleh
sindiket pengedaran dadah antarabangsa untuk menjadi 'keldai dadah' setelah
dijanjikan upah lumayan dan penularan ini perlu disekat segera," katanya
Dalam menangani penularan keldai
dadah dari negara ini, PDRM selalu menjalankan kempen kesedaran dan bekerjasama
dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai langkah pencegahan dan
memberi kesedaran kepada masyarakat dan penagih.
Mohd. Noor Rashid seterusnya
memberitahu, beliau berazam melihat JSJN di bawah pentadbirannya terus komited
untuk mencipta kejayaan demi kejayaan dalam menjayakan agenda memerangi najis
dadah di negara ini.
"Saya mahu memastikan JSJN
menjadi penyumbang kepada kejayaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan
memantapkan lagi sumber manusia jabatan ini yang terdiri daripada kira-kira
4,000 pegawai dan anggota dalam beberapa aspek seperti pengetahuan
undang-undang, serbuan, penyiasatan bekalan dan pengedaran dadah, tangkapan
pengedar, pertuduhan dan sistem pengumpulan maklumat serta risikan.
"Jumlah seberapa ramai
sumber manusia di dalam sesebuah jabatan itu tidak penting kerana bagi saya
memastikan kualiti siasatan sesuatu kes adalah keutamaan dan fokus JSJN,"
katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan