Oleh : ILAH HAFIZ AZIZ
TIADA siapa mampu menyangkal
teknologi dan kemajuan Internet hari ini memberi kemudahan kepada semua pihak.
Bagaimanapun bagi pihak tidak
bertanggungjawab, teknologi itu menjadi alat efektif untuk melakukan jenayah
penipuan.
Maka sebab itulah, jenayah siber
kini muncul sebagai cabaran yang paling sukar untuk ditangani oleh pihak
berkuasa di seluruh dunia di abad ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Malah nilai kerugian direkodkan
pula oleh mangsa bukanlah kecil tetapi boleh mencecah sehingga berbilion
ringgit.
Menurut statistik yang
dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM, sebanyak RM1.6
bilion kerugian akibat jenayah siber dicatatkan di Malaysia pada tahun lalu,
iaitu peningkatan daripada 1.1 bilion pada tahun sebelumnya.
Perkara berkenaan diakui Pengarah
JSJK Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang berkata, populariti
Internet menjadi penyumbang besar berlakunya jenayah siber di negara ini
berikutan kemudahan dan kemajuan yang dicapai Malaysia pada hari ini.
"Jenayah siber berlaku di
seluruh dunia dan di Malaysia, jenayah seperti ini semakin rancak berikutan
kemudahan dan infrastruktur yang baik menyebabkan banyak sindiket menyasarkan
kita.
"Malah rakyat juga semakin
menerima kehadiran teknologi dan Internet kini menjadi sebahagian keperluan
yang melengkapi kehidupan mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia
baru-baru ini.
Syed Ismail berkata, warga
daripada benua Afrika dikesan cenderung terlibat dalam jenayah itu dan modus
operandi mereka juga sama, iaitu datang ke Malaysia atas tiket pelajar tetapi
menjalankan penipuan dalam talian.
"Gerak kerja warga asing ini
juga sama iaitu menyasarkan penduduk negara atau luar negara menyalurkan wang
dalam jumlah yang banyak dengan menggunakan identiti individu yang tidak wujud.
Kes-kes sebegini walaupun kerap kali dilaporkan namun masih tiada kesudahan
hingga kini," jelasnya.
Kata Syed Ismail, selain jenayah
membabitkan Internet, warga Afrika dikesan turut aktif melakukan pelbagai
jenayah lain seperti pemalsuan wang, penipuan, sindiket bungkusan serta cakera
video digital (DVD) haram di negara ini.
Perangkaan pada 2012 menyaksikan
sebanyak 434 warga Afrika ditahan JSJK dan daripada jumlah itu, warga Nigeria
mendominasi tangkapan iaitu 378 orang.
Selebihnya adalah dari beberapa
buah negara Afrika Selatan, Cameroon, Sudan, Congo, Ghana, Guinea, Uganda,
Sudan, Somalia, Zambia, Liberia dan Tanzania.
Sepanjang hampir 3 bulan pertama
tahun ini pula, sebanyak 61 orang ditahan dengan 50 daripadanya warga Nigeria
manakala bakinya Guinea (4), Afrika Selatan (2), dan masing-masing satu dari
Nigeria, Congo, Ghana, Zambia dan Liberia.
"Kita sentiasa melakukan
pelbagai usaha untuk memerangi jenayah penipuan yang dilakukan warga Afrika
kerana kita tidak boleh menyekat kemasukan mereka ke dalam negara ini sebagai
pelajar.
"Ini kerana dasar kerajaan
Malaysia adalah untuk menjadikan negara ini sebagai satu hab pengajian
terkemuka. Kita tidak boleh menentang usaha dan dasar kerajaan kerana kelebihan
yang diperolehi akan dinikmati oleh semua rakyat negara.
"Tetapi kita juga harus
sedar kemudahan itu ternyata diambil kesempatan oleh warga asing untuk
melakukan pelbagai aktiviti penipuan sekali gus menjejaskan banyak pihak,"
katanya.
Dalam usaha memerangi jenayah
siber ini, Syed Ismail berkata, JSJK sentiasa memastikan anggota dan pegawai
mereka bersiap-sedia sepenuhnya dalam menempuh cabaran semasa terutama sekali
berkaitan perkembangan teknologi.
"Dengan kepantasan teknologi
dan kemampuan setiap manusia untuk melangkaui pemikiran satu-sama lain, JSJK
perlu bergerak bukan sahaja seiringan tetapi beberapa langkah ke hadapan bagi
memastikan jenayah siber ini boleh diatasi.
"Oleh sebab itu, kita
sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi profesional yang akan
membantu meningkatkan ilmu pengetahuan setiap anggota dan pegawai JSJK,
terutama sekali ketika menjalankan siasatan," katanya.
Tambah beliau, pegawai JSJK yang
berkebolehan dan memiliki integriti mampu meningkatkan perkhidmatan dalam
penyiasatan kes.
"Apa yang kita mahu adalah
setiap elemen jenayah dikenal pasti dan siasatan dipercepatkan supaya setiap
pertuduhan di mahkamah akan dapat ditingkatkan.
"Oleh sebab itu juga, kita
memilih pegawai-pegawai yang mempunyai pelbagai latar belakang pengajian bersesuaian
sebagai nilai tambah dalam pasukan. JSJK kini mempunyai pegawai berkelulusan
dalam perbankan, perakaunan, jenayah komputer dan pelbagai lagi," ujarnya.
Ditanya tentang harapan JSJK
sempena sambutan Hari Polis yang disambut kali ke-206 ini, Syed Ismail
memberitahu, pihaknya berharap aduan (mangsa) jenayah komersial akan
berkurangan dari semasa ke semasa.
Ini berikutan, berbanding 2011,
jumlah kes pada tahun lalu berkurangan sebanyak 36.21 peratus dan sebanyak
6,657 individu telah didakwa.
"Tahun lepas, kami menerima
sebanyak 22,033 aduan tetapi berkurangan kepada 18,381 pada 2012. Ini ternyata
membanggakan kita malah kita telah melepasi 10 peratus daripada sasaran
pengurangan jenayah siber yang ditetapkan PDRM.
"Kami gembira jika orang
ramai kurang membuat aduan sekali gus jenayah komersial turut
berkurangan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan