GEORGE TOWN : Persatuan Pendidik
Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) akan menubuhkan badan penulis buku-buku
ilmu dalam kalangan pendidik bagi memperbanyak jumlah buku ilmu dalam koleksi
penerbitan buku di negara ini.
Penasihat PPBMM, Prof Emeritus
Abdullah Hassan berkata bilangan penulis buku ilmu dalam negara perlu
diperbanyak setanding negara-negara luar bagi melahirkan sebuah masyarakat yang
berilmu hasil pembacaan bahan-bahan penerbitan seperti itu mulai sekarang.
Katanya, negara sudah terlalu
banyak menghasilkan penulis dalam bidang novel, puisi, cerpen dan drama yang
berbentuk kreatif tetapi masih kekurangan dalam menghasilkan penulis buku-buku
ilmu untuk menambah pengetahuan rakyat.
"Kebanyakan buku ilmu yang diterbitkan
adalah hasil terjemahan karya penulis
barat yang kebanyakan ilmunya berpandukan idea dan pengetahuan barat,"
katanya ketika menutup mesyuarat agung PPBMM yang diadakan di Universiti Sains
Malaysia (USM) pada Sabtu.
Justeru, katanya, satu usul telah
diluluskan sebulat suara supaya PPBMM menubuhkan badan penulis buku ilmu dalam
kalangan pendidik termasuk daripada kalangan pensyarah dan pelajar universiti,
institusi pendidikan perguruan dan guru sekolah yang kemudian boleh diguna pakai
sebagai bahan rujukan kepada pelajar dan murid di institusi pengajian tinggi
dan sekolah-sekolah.
Bercakap kepada Bernama selepas
itu, Abdullah berkata dalam mesyuarat itu, PPBMM meluluskan sebulat suara usul menjalin
kerjasama dan persefahaman dengan
universiti luar negara terutamanya dari Jepun, Korea Selatan, Jerman dan China
dalam bidang bahasa mulai tahun ini.
Katanya, dengan usaha itu Bahasa
Melayu boleh diperluas ke peringkat antarabangsa selain membuka peluang kepada
anggota PPBMM mempelajari bahasa asing.
Sementara itu, Prof Madya Dr
Hashim Othman dari USM mengekalkan jawatannya sebagai Presiden PPBMM bagi sesi
2013-2015. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan